Monday, February 28, 2011

YT Tunggu Pengumuman MKN Sebelum Hantar Pelajar Pulang

Yayasan Terengganu (YT) menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum menghantar pulang pelajar tajaannya ke Mesir.

Ketua Penolong Bahagian Tajaan Pelajar YT, Mohd Razali Mahmud berkata beliau difahamkan beberapa buah universiti di Mesir bakal memulakan pengajian antara 12 Mac dan 8 April ini.

"Bagaimanapun YT masih menunggu pengumuman MKN sebelum membuat keputusan menghantar pelajar pulang ke Mesir," katanya semalam.

Mohd Razali berkata langkah itu bertujuan memastikan tahap keselamatan di Mesir terjamin kepada pelajar Malaysia.

YT menaja 247 pelajar di lapan buah universiti di Mesir dalam bidang pengajian Islam, perubatan dan pergigian yang pulang ke Terengganu baru-baru ini.

Pelajar tajaan YT yang paling ramai ialah di Universiti Al-Azhar iaitu seramai 95 orang yang mengikuti bidang pengajian Islam dan perubatan, diikuti di Universiti Mansoura (44 pelajar), Universiti Mansoura-Manchester (35 pelajar) dan Universiti Ain Sham (34 pelajar).

Lain-lain unviversiti ialah Universiti Tanta (21 pelajar), Universiti Alexandra (14 pelajar) dan Universiti Zagazig (empat pelajar).

Terengganu turut mempunyai seramai 509 pelajar di Mesir di bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Amanah Rakyat dan juga pelajar persendirian.

Hanya 13 pelajar persendirian yang mengambil keputusan tidak pulang dari Mesir.

Jualan Pasar Tani Di Terengganu Dijangka Meningkat RM22.5 Juta

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjangka jualan pasar tani di Terengganu tahun ini meningkat kepada RM22.5 juta berbanding RM20 juta tahun lepas.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata ini berikutan Fama akan membuka empat lagi pasar tani tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan pasar tani di negeri ini 20 buah.

Empat pasar tani yang akan dibuka itu ialah di Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman dengan masing-masing dapat menempatkan sekurang-kurangnya 50 peserta, katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Hasan berkata selain makanan basah, pasar tani di Terengganu banyak menjual ikan air tawar hidup seperti ikan keli, haruan, baung dan toman.

Ia penyumbang terbesar kepada hasil pasar tani di negeri ini setiap tahun, katanya.

Sementara itu, kira-kira 200 orang, terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri pertanian akan menyertai seminar sehari Penggredan, Pelabelan dan Pembungkusan anjuran Fama April ini yang bertujuan menggalakkan pengusaha menghasilkan produk makanan yang selamat dan berkualiti.

Perunding Dilantik Periksa Struktur Stadium

Imbas kembali - Kerja-kerja membersih stadium yang runtuh.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu akan melantik perunding bagi memeriksa kekuatan struktur bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu.

Kerja peringkat kedua susulan runtuhan bumbung stadium dijangka mengambil masa tiga bulan, sebelum rekabentuk bagi membaik pulih semula bumbung stadium berkenaan disiapkan.
Pengarah JKR Terengganu, Ir Haji Shahawai Awang, berkata hasil siasatan teknikal mengenai Stadium SMZA diserahkan kepada Pengurusan Kompleks Sukan Negeri sejak awal bulan lalu, untuk tindakan lanjut pihak kerajaan negeri.

“JKR kini dalam proses semakan integriti atau menyemak kekuatan struktur bangunan stadium melalui perunding yang bakal dilantik,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap peringkat dan fasa yang dilaksanakan memerlukan masa serta penelitian rapi bagi mendapatkan hasil kajian lengkap serta tidak timbul sebarang kesilapan teknikal.

Ir Haji Shahawai berkata, selepas kedua-dua peringkat selesai, JKR akan melaksanakan peringkat ketiga iaitu pembinaan baru yang bakal dijalankan sejurus tender dikeluarkan kepada kontraktor terpilih.

“Selepas semua peringkat itu selesai dan lengkap mengikut tempohnya, barulah bumbung stadium itu dapat dibina baru dan dijangka siap dan dapat digunakan semula tahun depan ,” katanya.

Struktur sebahagian bumbung stadium yang digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu runtuh pada 2 Jun 2009, kira-kira jam 9 pagi. Runtuhan melibatkan bahagian depan, kiri dan kanan stadium.

Menurut laporan sebelum itu, kegagalan pihak yang dilantik membina SSMZA mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak menjadi punca bumbung stadium berkenaan runtuh.
Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh. Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina.

Teganukita

Polis Tahan Wanita Disyaki Terlibat Kes Ragut Barang Kemas Kanak-kanak

Polis menahan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam kes ragut barang kemas kanak-kanak kecil perempuan di karnival Jom Heboh sejak dua hari lepas di Dataran Syahbandar di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata, wanita berumur 39 tahun itu berasal dari Pulau Pinang.

"Pada hari pertama karnival (Jumaat) dua kes melibatkan ragut rantai dua kanak-kanak perempuan telah dilaporkan dan pada hari terakhir (semalam) dia cuba meragut rantai seorang lagi kanak-kanak perempuan.

"Bagaimanapun orang ramai berjaya memberkasnya dan menyerahkannya kepada polis," kata Zamri semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sedang memburu seorang lelaki berumur 39 tahun yang disyaki telah membakar rumahnya hingga musnah di Kampung Balik Bukit, Setiu kira-kira 12.30 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata, lelaki itu bertindak demikian kerana dikatakan sering menghadapi masalah dengan isterinya.

Manoharan berkata, isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai telah membuat laporan di Balai Polis Setiu petang semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 436Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Punca Kemalangan Azizulhasni Awang Di Manchester Akan Disiasat

Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menyiasat punca kemalangan yang menimpa jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, ketika menyertai kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ini kerana ia membabitkan faktor keselamatan.

"Saya serah kepada pihak persatuan dan pihak UCI untuk membuat siasatan terhadap perkara ini kerana ia lebih kepada keselamatan bagi velodrom itu, sama ada terdapat unsur kecuaian dan kelemahan, atau bentuk kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita setelah melepaskan 30 peserta konvoi bermotosikal dan lawatan mesra di sekitar Kampung Ayer Molek, Kolam Taman Maju di Jasin, semalam.

Beliau mengulas insiden betis kiri Mohd Azizulhasni ditusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter di Manchester pada minggu lepas.

Bagaimanapun, pelumba trek berbasikal yang menjadi sandaran utama negara meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di London tahun depan, berjaya menamatkan perlumbaan dan meraih pingat gangsa bagi terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Menyentuh perkembangan terkini Mohd Azizulhasni, Ahmad Shabery berkata walaupun kecederaan yang dialami memerlukan masa untuk pulih, namun beliau boleh beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda 23 Mac ini jika pakar memberi 'lampu hijau'.

"Tiada sebab untuk kita hendak menghalang orang yang begitu bersemangat sepertinya untuk terus bertarung," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Australia pada Mac ini dan beliau dijangka sempat menjenguk Mohd Azizulhasni di Melbourne, yang kini menjalani proses pemulihan akibat kecederaan itu.

"Saya percaya lawatan Najib akan menambahkan dan memberi suntikan baru ini, kerana ketika dalam kesakitan dan tidak sedarkan diri pada hari kemalangan, apa yang keluar dari mulutnya ialah beliau hendak jadi juara (Sukan) Olimpik (di London) dan beliau bimbang takut tidak dapat ke Olimpik.

"Beliau (Azizulhasni) tetap hendak jadi nombor 1 kerana atas nama 'Saya orang Malaysia' dan 'Saya mahu menaikkan nama Malaysia...inilah semangat Mohd Azizulhasni Awang," katanya.

Operasi Gempur Pelajar Ponteng Bersama Polis

Razali Daud (kanan) menyampaikan sijil kepada Pengerusi PIBG SMK Seberang Marang, Nik Din Nik Wan Ku pada majlis Memperkasakan Permuafakatan Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu di Marang, Terengganu, kelmarin.

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan bekerjasama dengan polis untuk melancarkan 'gerak gempur' ke atas pelajar yang ponteng sekolah di negeri ini dalam waktu terdekat ini.

'Operasi' itu turut disertai beberapa agensi penguat kuasa lain serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya bercadang melancarkan gerak gempur dalam minggu ini bagi membendung gejala tersebut di kalangan pelajar.

Beliau menyifatkan gejala tersebut semakin serius di Terengganu dan ia perlu dikawal serta dicegah secara bersungguh-sungguh membabitkan semua pihak.

Sehubungan itu, katanya, pihak PIBG dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan JPNT untuk tindakan selanjutnya.

"Gejala ponteng di Terengganu adalah serius dan ia perlu dibendung membabitkan semua pihak. Jadi, di mana saja 'sarang' atau kubu mereka termasuk kawasan semak semasa mereka ponteng, kita akan serbu," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Memperkasakan Pemuafakatan Melestarikan Pendidikan Terbilang Negeri Anjung Ilmu Pengarah Pelajaran Bersama Warga Seberang Marang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Marang semalam.

Turut hadir, ketua-ketua sektor JPNT, Pengetua SMK Seberang Marang, Dr. Ab. Rahman Mat, para guru serta ibu bapa pelajar.

Program tersebut kali pertama diadakan di negeri ini bagi membolehkan JPNT berkongsi maklumat dengan warga sekolah serta ibu bapa pelajar untuk sama-sama membangunkan pendidikan di negeri ini.

Razali memberitahu, usaha menangani gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah penting kerana ia menimbulkan banyak masalah sosial dalam masyarakat.

"Gejala ponteng boleh menyebabkan pelajar terjerumus dalam kegiatan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah dan sebagainya," katanya.

Dua Sepupu Maut Kereta Terbabas Rempuh Lori

Dua sepupu maut apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di kilometer 13.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rusila, di Kuala Terengganu, pagi semalam.

Muhammad Shukri Awang, 41, dan sepupunya Ismail Ibrahim, 38, dari Chendering, Kuala Terengganu, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mazlan Yahya berkata dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, kereta yang dipandu Muhammad Shukri dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bersebelahan lalu merempuh sebuah lori 16 tan yang diletakkan di tepi jalan.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang kerana Muhammad Shukri menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

"Sepupunya itu menemani Muhammad Shukri ke sana," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu.Beliau berkata kedua-dua lelaki itu bekerja sebagai jurukimpal.

Mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Sunday, February 27, 2011

Denggi : Ambil Serius Kaedah Pengurusan Sampah, Kebersihan

Terengganu adalah antara negeri paling tinggi peningkatan kes denggi dengan 12 kes sepanjang tempoh seminggu mulai 13 Februari lalu.

Negeri ini bersama-sama Johor mendahului enam negeri mencatat peningkatan kes demam denggi sepanjang tempoh itu menjadikan 420 kes direkodkan di seluruh negara, bertambah 29 kes berbanding 391 kes pada minggu sebelumnya.

Mengikut statistik terbaru yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Terengganu dan Johor meningkat 12 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kes); Sabah (sembilan kes); Sarawak (lapan kes); Melaka (tujuh kes) dan Kelantan (satu kes) sepanjang tempoh itu.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar mengajak Yang DiPertua Majlis Tempatan dan pegawai daerah seluruh Terengganu mengambil serius kaedah pengurusan sampah dan kebersihan di kawasan masing-masing.

Ia bagi mengelak peningkatan kes demam denggi di negeri ini.

Dr A Rahman Mokhtar, berkata peranan dua pemimpin di setiap daerah itu amat penting untuk memastikan wabak denggi tidak terus menular dan mencatat angka yang membimbangkan.

Katanya, dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri pada minggu lalu,Jabatan Kesihatan Negeri turut meminta dipertua majlis tempatan serta pegawai daerah menekankan aspek penjagaan alam sekitar dan kebersihan di daerah masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Dr A Rahman, rekod negeri menunjukkan sejak beberapa minggu lalu, catatan kes demam denggi lebih rendah daripada tahun lalu dan berada di bawah median tiga tahun.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita sebagai mengulas laporan akhbar arus perdana hari ini (25 Februari), berhubung Terengganu antara tujuh negeri yang mencatat peningkatan kes demam denggi dalam tempoh seminggu mulai 13 Februari lalu, menjadikan 420 kes berbanding 391 kes pada minggu sebelumnya.

Dr A Rahman juga berharap semua masyarakat mengambil langkah proaktif bagi menangani isu ini lebih awal serta tidak hanya mengharapkan tindakan jabatan kesihatan dan pihak berkuasa tempatan semata-mata untuk membersihkan kawasan mereka apabila dikesan terdapat kes demam denggi.

“Kesedaran dan mentaliti individu lebih penting dalam isu menjaga alam sekitar dan kawasan sekeliling terutama sekitar rumah sendiri. Jangan biarkan sampah merata-rata, longkang dan parit tidak diselenggara dengan betul sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan punca kepada pelbagai wabak lain,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 3,282 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara sehingga Sabtu lalu, menurun sebanyak 55 peratus atau 3,946 kes berbanding dengan 7,228 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kes kematian akibat demam denggi juga menurun sebanyak 76 peratus atau 19 kematian di mana ada enam kematian bagi 2011 berbanding 25 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang minggu lalu, 96 lokaliti wabak di 24 daerah direkodkan di seluruh negara termasuk lima lokaliti ‘panas’ di Gombak, Selangor.

Mengenai penyakit Chikungunya, beliau berkata, ada tiga kes dilaporkan di Melaka, Sarawak dan Sabah dalam tempoh seminggu mulai 13 Februari lalu.

“Ini menunjukkan kes terkumpul Chikungunya ialah enam kes, menurun sebanyak 99 peratus berbanding 388 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

UMNO Terengganu Bongkar Penyelewengan PAS di Kerdau

Umno Terengganu menghantar jentera penerangan ke Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau diketuai Ketua Penerangan UMNO Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mereka akan membongkar kelemahan,penyelewengan dan kezaliman Pas semasa memerintah Terengganu 1999-2004 sehingga akhirnya ditolak rakyat Terengganu.

Ahmad Razif berkata, beberapa penceramah Umno Terengganu mula berceramah malam semalam (26 Februari), termasuk Haji Shamsuddin Sulong (Pengarah Unit Komunikasi Terengganu).

Selain itu Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri dari Terengganu juga dihantar bagi sama-sama mempastikan kejayaan calon BN di Kerdau.

Sementara itu, Unit Komunikasi Negeri melaporan, seramai 350 penceramah Umno Terengganu bersiap sedia untuk menghadapi Piliharaya Umum (PRU) 13 pada bila-bila masa.

Mereka berikrar pada Retreat Penerangan (Program Bicara Penerangan) yang diadakan di Melaka Bandar Bersejarah selama dua hari antara Khamis dan Jumaat ( 24 dan 25 Februari 2011).

Ahmad Said Yakin Calon BN Kerdau Menang Cemerlang

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yakin calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama akan memang cemerlang pada Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata keyakinan itu juga berasaskan pergaulan calon BN itu yang baik dan pengalaman kerja kerajaan dan parti yang pastinya mampu untuk memberi kemenangan cemerlang kepada BN.

Beliau menyatakan demikian selepas mengiringi calon bersama-sama pimpinan Umno/Barisan Nasional lain termasuk Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengiringi calon Barisan Nasional (BN) ke pusat penamaan calon bagi PRK DUN Kerdau semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut menyertai perarakan bermula dari Dewan Tun Abdul Razak menuju ke Dewan Majlis Perbandaran Temerloh tempat penamaan calon dilangsungkan.

Penamaan calon bermula jam 9.00 pagi semalam dan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad bersama penyokong yang diketuai oleh Timbalan Presiden Umno/BN itu tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.

Beliau ialah Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad ditentang oleh PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim.

Pengawaii Pengurus bagi PRK Kedau, Datuk Tarif Abd Rahman mengumumkan pertembungan satu lawan satu pada jam 11.30 pagi semalam dan hanya menerima satu bantahan daripada calon-calon yang bertanding sepanjang tempoh bantah dari jam 10 hingga 11 pagi.

PRK diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim, Adun BN Kerdau sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan berkata sebelum ini tiada isu besar yang boleh dicanangkan oleh pembangkang.

"Yang ada hanyalah isu setempat berkaitan tanah dan isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air, yang semuanya akan diselesaikan secepat mungkin" katanya.

Adnan berkata BN akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui dan menyelesaikan masalah mereka.

Kerusi Kerdau dahulunya dikenali sebagai Sanggang dan terletak dalam kawasan Parlimen Mentakab. Selepas persempadanan semula pada 2004, Kerdau diletakkan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau.

Berdasarkan calon BN yang disifatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang "bukan sahaja boleh menang tapi cemerlang itu", Syed Ibrahim, dilihat tidak akan menerima "serangan peribadi" daripada parti lawan.

Syed Ibrahim sering mengadakan ceramah agama di masjid-masjid di Kerdau sekaligus memperlihatkan beliau seorang yang berkualiti sebagai pemimpin akar umbi.

Naib Ketua Umno Cawangan Kerdau, Abdul Rahman Abdul Rashid, juga menegaskan tiada isu besar di Kerdau kerana kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di situ sejak dahulu lagi.

Beliau berkata semua kampung tradisonal termasuk kawasan Felda mempunyai rangkaian jalan bertar, balai raya, dewan, masjid dan surau.

Malah, sebuah perkampungan Orang Asli disitu juga telah dibekalkan dengan kemudahan elektrik dan air paip 24 jam.

Mengenai pemilihan Syed Ibrahim, Abdul Rahman berkata ia adalah pilihan tepat kerana Syed Ibrahim mampu menjadi wakil rakyat yang baik untuk membantu penduduk di situ.

Najib Yakin Calon BN Di Kerdau Dan Merlimau Diterima Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Kerdau dan DUN Melaka kawasan Merlimau diterima rakyat, sekali gus mampu meraih kemenangan untuk BN.

"Mereka dipilih selepas melalui proses penapisan yang teliti dan mereka bukan sahaja ada kemampuan tetapi juga mempunyai kredibiliti peribadi yang baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia di perumahan Taman Mutiara Kampung Sungai Bedaun dekat Labuan semalam.

Najib yang juga pengerusi BN, berkata demikian ketika diminta mengulas pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS pada pilihan raya kecil masing-masing di Kerdau serta Merlimau.

Bagi DUN Kerdau, BN diwakili Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad manakala PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim.

Bagi DUN Merlimau, BN diwakili Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Jasin Roslan Ahmad, 44, manakala PAS pula diwakili Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Melaka Yuhaizad Abdullah.

Najib berkata walaupun BN dijangka dapat mempertahankan kerusi Merlimau dan Kerdau namun gagasan itu tidak memandang ringan sebarang cabaran politik daripada parti pembangkang.

"Kita mesti berusaha gigih dan menyeluruh. Kita mahu jentera kita bergerak dengan lancar dan tidak ada masalah dalaman yang menyebabkan kita menghadapi halangan atau kita berpecah dari dalam yang menyusahkan kita.

"Setakat ini laporannya positif dan kita harap jentera BN bergerak sepenuhnya. Walaupun calon daripada Umno yang bertanding namun kita akan bekerjasama dengan anggota komponen BN yang lain," katanya.

DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin daripada BN menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan undi majoriti 1,615.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau pula diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir, juga daripada BN, menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Pertandingan Seni Khat Tawar Hadiah RM61,000, Piala Menteri Besar

Zubir menunjukkan iklan pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam pada 12 hingga 13 Mac ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kepada penggiat seni khat seluruh Terengganu.

Hadiah berjumlah RM61,000 ditawarka kepada pemenang Pertandingan Seni Khat peringkat Kebangsaan yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, bulan depan.
Jangan lepaskan peluang ini untuk membuktikan bahawa penggiat khat Terengganu juga bertaraf nasional dan antarabangsa.

Pertandingan itu yang dijangka disertai kira-kira 300 peserta di kalangan penggiat serta pengkarya seni khat seluruh negara diadakan bersempena program Inspirasi Seni Khat TTI pada 12 dan 13 Mac depan.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Zubir Embong berkata, program tersebut dianjurkan kerajaan negeri menerusi agensinya, TTI Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Malaysia.

Beliau memberitahu, pada pertandingan itu nanti, para peserta juga berpeluang merangkul hadiah berupa Piala Menteri Besar Terengganu yang buat julung kali diwujudkan.

“Selain pertandingan ini, pelbagai acara menarik lain turut disediakan termasuk pameran,” katanya pada sidang akhbar mengenai program itu di Pusat Konvensyen TTI di Pulau Wan Man, baru-baru ini.


Hadir sama, Pengarah Urusan TTI Sdn. Bhd., Engku Md. Azmi Engku Abd. Rahman.


Menurutnya, program tersebut bakal menjadi platform berkesan dalam memperkasakan serta menanam minat supaya kecintaan terhadap seni khat terus subur di kalangan masyarakat terutama golongan muda.

“Selain menggalakkan penulis seni khat bergiat dan berkarya, ia diharap dapat membuka mata masyarakat mengenai keindahan dan nilai komersial dalam setiap seni yang dihasilkan di seluruh dunia,” katanya.

Kata Zubir, bagi karya spontan, dua kategori ditawarkan dalam pertandingan itu iaitu kategori terbuka untuk 18 tahun ke atas dan kategori sekolah bagi yang berusia 13 hingga 18 tahun dengan menonjolkan karya khat yang popular termasuk Thuluth, Kufi, Nasakh dan Diwani.

Bagi penulisan karya siap, katanya, peserta hanya dibenarkan menghantar satu karya daripada tiga kategori yang dipertandingkan sama ada kanvas, kayu atau logam.

“Dengan yuran penyertaan RM10 bagi setiap penyertaan, karya asli peserta hendaklah sampai kepada urus setia Inspirasi Seni Khat TTI sebelum hari pertandingan,” katanya.

Tokoh kaligrafi Islam, Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris menyampaikan ucaptama pada program berkenaan.

Program itu juga bakal mendapat sentuhan tokoh kaligrafi terkenal dunia dari Syria, Sheikh Adnan Sheikh Osman akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang tersebut melalui seminar serta demonstrasi.

T-Team Baham Singa Utara 3-0

Gambar fail - Khairul Izman (kiri)pada satu perlawanan Liga Perdana musim lalu.

T-Team mencatat kemenangan pertama setelah menang selesa 3-0 kalahkan Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam semalam.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk menggegar gawang pelawat apabila Khairul Izwan Khalid menjaringkan gol seawal minit ke-3 dan selang tujuh minit kemudian, Md Badrul Hisani Abd Rahman pula menghukum kelemahan barisan benteng pertahanan Perlis untuk merembat masuk gol kedua.

Penjaga gol Perlis Hairol Fazreen Abu Hassan tewas lagi apabila Khairul Izwan sekali lagi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-59.

Sementara pasukan Perak terus merapatkan kedudukan apabila berkongsi 11 mata dengan pendahulu takhta Liga Super Kelantan setelah menumpaskan Pahang 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Beraksi di hadapan penyokong tuan rumah, skuad bimbingan Norizan Bakar itu nyata tidak mensia-siakan peluangnya bertandang ke tempat lawan apabila Muhammad Shafiq Jamal membuka tirai jaringan pada minit ke-22 dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli seterusnya menjaringkan gol kedua pada minit ke-44 untuk mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

Kelantan mendahului di tempat teratas dengan 10 gol berbanding Perak yang menjaringkan 6 gol kini.

Di Shah Alam, impian Harimau Muda A untuk melonjak ke tangga ke-3 liga gagal apabila seri 1-1 menentang Felda United menerusi sepakan penalti, Liew Kit Kong pada minit ke-67 yang memusnahkan impian skuad anak didik Ong Kim Swee apabila pengadil melayangkan kad kuning kepada pertahanan Harimau Muda A, Mohd Amer Saidiin kerana mengasari Farderin Kadir dalam kotak penalti.

Bagaimanapun Harimau Muda A terlebih dahulu memperoleh jaringan menerusi pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang menggelecek pertahanan lawan sebelum merembat kencang bola menewaskan penjaga gol Felda United, Hamsani Ahmad seawal pada dua minit babak kedua (min-47) berlangsung di Stadium Shah Alam.

Negeri Sembilan mencatat kemenangan tipis di tempat sendiri apabila menumpaskan naib juara Liga Perdana, Sabah 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang dijaringkan oleh Hairuddin Omar pada minit ke-76.

Di Johor Baharu, juara Liga Super musim lalu, Selangor gagal mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 0-0 tanpa jaringan dalam perlawanan menentang Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Monumen Majid Sultan, Kincir Air TTI Siap Jun Ini

Monumen kincir air umat Islam zaman lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari.

Masjid Sultan, Singapura merupakan monumen ke-22 yang sedang dibangunkan di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu yang dijangka siap pada Jun ini.

Pembinaan monumen berkenaan termasuk dalam pembangunan fasa kedua dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM6 juta itu sebagai menghargai permintaan ramai pengunjung dari Singapura yang mahu supaya ada mercu tanda daripada negara mereka turut diabadikan sebagai antara monumen di pusat pelancongan terkenal itu.

Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman, berkata Masjid Sultan yang dibina pada skala 1:7 berbanding rekabentuk asal bangunan itu sebagai menghargai sokongan pengunjung negara itu yang mencatat pengunjung paling ramai ke TTI di kalangan negara Asean.

Katanya, selain Masjid Sultan, monumen Masjidil Haram turut menjalani kerja pengubasuaian yang mana teater sedia ada bakal dinaik taraf kepada 3D yang dikenali sebagai virtual Hajj.

“Apabila siapnya teater baru itu, orang ramai pastinya akan dapat merasai suasana dan pengalaman jemaah haji dengan lebih menarik dan terperinci,” katanya kepada teganukita, baru-baru ini.

Engku Md Azmi berkata, fasa kedua itu juga turut melibatkan pembinaan kincir angin yang merujuk kepada kincir air umat Islam zaman lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari.

Katanya, kincir yang berukuran diameter sembilan meter yang turut digunakan untuk sistem pengaliran ke tasik di TTI itu adalah suatu inovasi Islam silam yang mahu diketengahkan semula untuk pengetahuan dan tontonan seluruh pengunjung TTI tidak lama lagi.

Beliau berkata, dengan siapnya kesemua pembangunan itu kelak, pihaknya mengharapkan supaya mampu menarik jumlah pengunjung lebih ramai ke TTI bagi menyaksikan monumen dan seni bina Islam di dalam satu taman yang diselenggara dengan baik oleh pihak pengurusan TTI.

TTI yang dibangunkan di kawasan seluas 23 hektar ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.

Kompleks ini menempatkan 21 replika monument dan tugu sedia ada yang dibangunkan sejak 2008 berkaitan sejarah Islam dunia termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Selain itu, Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

Unit Komunikasi Negeri

Jabatan Pertanian Belanja RM1.81j Melalui PPIK

Kerajaan negeri serius melihat golongan petani di negeri ini berjaya dalam menguruskan kawasan pertanian masing-masing lebih-lebih lagi dalam mengendalikan tanaman kelapa yang kini mengalami kekurangan bekalan bahan berkenaan.

“Melalui penyelidikan dan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian terhadap beberapa jenis kelapa ternyata kelapa hibrid mampu beri pulangan lumayan kepada petani,” kata Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Encik Md Yusof Maidin (gambar kiri).

Katanya, baka baru yang dikenali sebagai kelapa matag ini berbuah lebat antara 15 hingga 25 biji setandan dengan harga sekitar RM2 sebiji.

Mengambil kira kelebihan berkenaan jabatan telah mengagihkan 7,068 benih kelapa matag kepada pekebun kecil kelapa seluruh negeri tahun lalu.

Katanya, petani digalakkan mengantikan pokok kelapa sedia ada yang tidak produktif kepada tanaman kelapa matag yang tebal isinya dan banyak santan.

“Jabatan juga telah memperuntukan RM1.18 juta bagi tujuan penanaman semula dan pemulihan kawasan tanaman menerusi Program Pembangunan Industri Kelapa (PPIK),” katanya.

Menurut beliau, jabatan juga sudah ada kawasan perintis penanaman kelapa matag yang sudah dimulakan beberapa tahun tahun namun penanaman secara lading masih belum dapat dilaksanakan kerana kesukaran mendapatkan benih.

Unit Komunikasi Negeri

Saturday, February 26, 2011

Pastikan Terengganu Tidak Dijadikan Transit Dadah

Polis Terengganu akan memastikan negeri itu tidak dijadikan laluan transit kepada pengedar dadah dari utara menuju ke ibu kota dan selatan tanah air.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustaffa berkata kes jenayah melibatkan dadah termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati masih tinggi dan perlu diberi perhatian serius.

"Kita yakin dengan perancangan strategik dan teliti, Terengganu mampu dibersihkan daripada menjadi negeri laluan dadah dalam jangka waktu terdekat," katanya kepada pemberita selepas Program Polis Bersama Komuniti di Pekan Sehari Kuala Besut semalam.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar dan pegawai-pegawai kanan polis.

Jamshah berkata Terengganu setakat ini masih kekal sebagai negeri terendah kes jenayah berbanding negeri-negeri lain ekoran kerjasama erat yang diwujudkan antara polis dan masyarakat.

Mengenai usaha mengurangkan kes-kes jenayah, beliau memuji keberkesanan langkah diambil pihak majlis tempatan seluruh negeri memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat strategik, yang banyak membantu polis dalam memerangi jenayah selama ini.

Berbanding dengan negeri-negeri lain, kata beliau Terengganu mempunyai kekuatan sendiri apabila menjalinkan banyak program kemasyarakatan seperti 1Polis 1Masjid, 1Polis 1JKKK dan 1Polis 1Sekolah.

Mengenai kutipan saman trafik di Terengganu, Jamshah berkata purata setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri itu berjaya mengutip RM34,000 daripada orang ramai sejak pengumuman diskaun diberikan sebelum tarikh akhir 28 Feb ini.

Penuntut Malaysia Boleh Kembali Ke Mesir Mulai 12 Mac

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berbual dengan pelajar Terengganu yang pulang dari Mesir di kediaman rasmi Menteri Besar, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Penuntut Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti di Mesir boleh kembali ke negara itu untuk menyambung pengajian mereka mulai 12 Mac ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu dicapai hasil pertemuan pasukan khas negara dengan universiti-universiti di negara itu sejak Ahad lepas hingga Khamis bagi menentukan tarikh mula pengajian.

Penuntut bagaimanapun diminta menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara mengenai kepastian tahap keselamatan di Mesir sebelum kembali ke sana, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Mohamed Khaled berkata hasil pertemuan dengan universiti di sana itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Universiti Kaherah akan memulakan semula pengajian perubatan peringkat pengajian pra klinikal dan klinikal pada 12 Mac ini.

Begitu juga dengan Universiti Al-Azhar yang turut memulakan pengajian program pergigian pra dental pada hari yang sama, katanya.

Mohmaed Khaled berkata program perubatan di semua peringkat pengajian di Universiti Al-Azhar pula akan bermula pada 15 Mac, manakala penuntut program Pengajian Islam perlu mendaftar semula selewat-lewatnya 8 April.

Beliau berkata Universiti Iskandriah akan memulakan pengajian farmasi mulai 17 Mac dan diikuti program pra klinikal perubatan pada 19 Mac, klinikal pada 26 Mac dan pergigian pada 2 April.

Universiti Mansurah pula akan memulakan pengajian bagi program perubatan klinikal bermula 15 Mac dan pra klinikal pada 19 Mac, manakala program pergigian dan farmasi pula bagi semua peringkat pengajian bermula pada 19 Mac.

Bagi program perubatan, pergigian dan farmasi di Universiti Tanta, Zagazig dan Ain Shams, tarikh pengajian akan bermula pada 15 Mac bagi semua peringkat pengajian, katanya.

Ahmad Maslan Puji Usaha Biro Penerangan Terengganu

Calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil DUN Merlimua, Roslan Ahmad meluangkan masa menziarahi pusara bapanya Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin yang juba bekas ADUN Sungai Rambai, di Tanah Perkuburan Islam Merlimau, di Melaka, 24 Feb.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan memuji usaha Biro Penerangan Umno Terengganu yang mengumpulkan anggotanya dalam satu seminar bagi menerangkan isu-isu semasa dan hala tuju biro itu.

"Ini negeri pertama lakukan seumpamanya, saya juga cadangkan agar negeri-negeri lain contohi Terengganu kumpulkan jentera penerangan serentak," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Bicara Penerangan anjuran Biro Penerangan Umno Terengganu, di Melaka, semalam.

Ahmad turut meluahkan kehairanan dengan kesungguhan PAS untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka sedangkan suara pembangkang sudah diwakili DAP yang juga rakan sekutu PAS.

"Kawan sepermainan PAS ialah DAP jadi gunakanlah DAP hendak suarakan apa sahaja (dalam DUN di Melaka)," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd Yusof (kanan) bersama Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye (dua kanan) meninjau persekitaran pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau, di Dewan Politeknik Merlimau, Melaka, 25 Feb. menjelang hari penamaan calon pilihan raya kawasan itu hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan PAS bersikap sedemikian kerana tidak percaya kepada kemampuan DAP membawa suara pembangkang khususnya berkaitan Islam.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin PAS yang mahukan kemenangan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau bagi menyuarakan isu membabitkan Islam dan orang Melayu semasa sidang DUN Melaka.

Isu itu kata Ahmad, tidak sepatutnya timbul kerana PAS pernah menguar-uarkan untuk mengajar DAP mengenai agama Islam.

Beliau juga mencadangkan kepada PAS agar meninggalkan pakatan pembangkang jika sudah tidak mempercayai kemampuan parti sekutu memperjuangkan agenda Islamnya.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN yang mana 23 daripadanya dimiliki Barisan Nasional (BN) manakala lima lagi diwakili DAP.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, yang mewakili BN meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung dan Sabtu adalah hari penamaan calon, manakala pengundian pula pada 6 Mac ini.

Friday, February 25, 2011

Kerajaan Ambil Kira Beban Rakyat Sebelum Buat Keputusan Mengenai Harga Minyak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengambil kira bebanan kepada rakyat dalam membuat apa jua keputusan berkenaan harga minyak RON95 yang pada masa ini tidak akan dinaikkan.

Harga RON95 sekarang adalah RM1.90 se liter.

"Apa juga keputusan kita akan buat kita akan ambil kira bebanan kepada rakyat. Ini yang kita akan utamakan meskipun kita terpaksa mengeluarkan subsidi yang besar," kata Najib, yang juga Menteri kewangan, memberitahu sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur, petang ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Harga minyak mentah di pasaran dunia berada pada paras AS$112.60 setong Jumaat selepas mencapai A$120 Khamis berikutan bekalan terganggu akibat krisis politik di Libya, salah satu negara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Kerajaan, katanya prihatin tentang soal belanja dan kos hidup rakyat yang perlu dikawal supaya "keadaan inflasi kita tidak meningkat lebih tinggi daripada apa yang dihadapi sekarang ini, yang masih dalam keadaan terkawal."

"Kita tidak mahu ini (inflasi) menjadi satu sungutan di kalangan rakyat," kata Najib, apabila ditanya mengenai bimbangan yang harga minyak akan dinaikkan seiring dengan kenaikan harga minyak dunia sebab pergolakan politik di Timur Tengah.

Indeks Harga Pengguna, yang merupakan ukuran inflasi, bagi Januari 2010 meningkat 2.4 peratus kepada 101.8 berbanding 99.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata bahawa kerajaan akan terus memantau keadaaan.

"Saya tidak boleh nak kata apa-apa dari segi masa akan datang (tetapi) buat masa ini kita tidak ada cadangan untuk menaikkan harga minyak," katanya.

Beliau berkata kalau keadaan di timur tengah ini dapat reda cepat, harga pasaran dunia akan turun.

Bagi tahun ini, jumlah subsidi untuk harga minyak adalah RM10.3 bilion

Halliburton Mahu Bantu Malaysia Jadi Hab Perkhidmatan Lapangan Minyak

Halliburton Energy Services (M) Sdn Bhd, unit tempatan penyedia produk dan perkhidmatan kepada industri minyak dan gas kedua terbesar dunia, mahu membantu Malaysia menjadi hab utama Asia dalam perkhidmatan lapangan minyak, kata Naib Presiden Kawasannya, Rao Abdullah.

Halliburton memainkan peranan penting dalam ekonomi negara sejak ia diperbadankan 33 tahun lepas di Malaysia.

Daripada lebih RM500 juta ia laburkan dalam kilang pembuatannya di Senai (Johor), Halliburton mengembangkan kemudahan dan perkhidmatannya dalam tempoh beberapa tahun lepas ke Kuala Lumpur, Miri (Sarawak), Kemaman (Terengganu) dan Labuan.

Pertumbuhan industri minyak dan gas merupakan satu daripada objektif utama dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara.

Sehubungan itu, Halliburton berharap dapat membantu Malaysia menarik lebih banyak syarikat bertaraf dunia untuk menjadi rakan kongsi dan memantapkan pembina tempatan bagi mendapatkan kontrak utama dan mengukuhkan kedudukan dalam bahagian pemasangan lapangan minyak, termasuk pembinaan telaga minyak.

Dalam proses itu, ia berharap dapat menjadi satu daripada kuasa pemacu membantu mengembangkan ekonomi Malaysia, bermula dengan 7.0 peratus tahun ini, katanya.

Beliau berkata matlamat jangka panjang Halliburton juga untuk membantu Malaysia menjadi hab bagi modal insan dalam industri minyak dan gas, terutamanya dengan latar belakang syarikat yang dipilih sebagai satu daripada tujuh peneraju dunia dalam Pembangunan Modal Insan, Standard bagi Pembekal, Tadbir Urus Korporat, dan Pengurusan Hubungan Pelanggan.

Syarikat itu, katanya, juga komited untuk meningkatkan peratusan kepakaran tempatan di Malaysia dan di tempat-tempat lain di dunia di mana ia beroperasi.

"Kami mencari ramai jurutera, juruteknik dan profesional muda untuk menyertai organisasi kami," katanya, sambil menambah beliau percaya terdapat ramai orang di Sabah dan Sarawak yang berminat dengan kerjaya dalam industri minyak dan gas.

Ketika ini Halliburton mempunyai hampir 1,000 pekerja di seluruh negara, dengan lebih 200 sahaja di Labuan, di mana lebih 95 peratus adalah rakyat Malaysia.

Di Labuan, Halliburton baru-baru ini berpindah ke kemudahan baharu yang menelan kos RM50 juta terletak di Asian Supply Base.

Rao berkata syarikat itu berbangga dengan peranan perintisnya dalam membangunkan kerjasama perniagaan yang berjaya dengan syarikat tempatan.

Satu contoh ialah Inno Marine Services Sdn Bhd (IMS), di mana Halliburton bekerjasama rapat bagi menyokong syarikat minyak antarabangsa beroperasi di Malaysia, Brunei dan Thailand.

Sektor minyak, gas dan tenaga telah menjadi teras kepada pertumbuhan Malaysia dan menyumbang kira-kira 20 peratus kepada KDNK negara.

Sebagai sebahagian daripada kepentingan jangka panjangnya di Malaysia, beliau berkata syarikat itu juga komited untuk membangunkan dan menggunakan sumber-sumber Malaysia, memindahkan teknologi, membentuk usaha sama dan bekerjasama dengan Petronas menerusi Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Pada September tahun lepas, Halliburton menyumbang perisian kejuruteraan petroleum dan geosains bernilai US$17.9 juta kepada UTP untuk meningkatkan pengalaman praktikal para pelajarnya dalam bahagian eksplorasi dan penghasilan hidrokarbon dalam persekitaran cari gali dan penggerudian yang sangat mencabar.

Majlis Raja-raja Dengar Taklimat Keselamatan Dan Pertahanan Negara

Tuanku Mizan Zainal Abidin bertanya sesuatu kepada Muhyiddin Yassin pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-223 di Istana Negara yang berakhir semalam.

Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat hari kedua semalam mendengar taklimat mengenai keselamatan dan pertahanan negara, masing-masing oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad, dalam kenyataannya berkata mesyuarat Majlis Raja-Raja selama dua hari bermula Rabu, antara lain, membincangkan perkara berkaitan agama Islam dan pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan.

Mesyuarat kali ke-223 itu dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Menurut kenyataan itu, semua Raja kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang diringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

"Baginda semua diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi oleh Ketua Menteri masing-masing.

"Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng diiringi wakil Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Abang Zohari Tun Abang Openg," menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat menghadiri mesyuarat dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baginda semua diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi oleh Ketua Menteri masing-masing.Yang Dipertua Negeri Sarawak diiringi wakil Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Abang Zohari Tun Abang Openg.

Terpukau Keindahan & Keunikan Terengganu

Ahli BISTARI memilih pakaian batik di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Selepas terpesona dengan panorama Bandaraya Warisan Pesisir Air dan melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, batik dan songket Terengganu pula memukau rombongan Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI).

Kerana itu mereka mengambil kesempatan singgah di Pasar Kedai Payang sambil menjamu mata melihat dan membeli batik serta songket buatan Terengganu.

Mereka meluang masa kira-kira tiga jam mengunjungi beberapa buah kedai yang menjual pakaian itu dan membelinya sebagai buah tangan untuk dibawa balik ke Melaka. Selepas itu ahli BISTARI turut mengadakan lawatan ke Bazar Warisan bersebelahan Pasar Kedai Payang.

Kunjungan ke Pasar Kedai Payang salah satu aktiviti sampingan dalam rangka lawatan selama tiga hari ahli BISTARI ke negeri ini bermula hari ini (25 Februari).


Pagi tadi, mereka menikmati panorama indah Bandaraya Warisan Persisir Air sebelum melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.

Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah dan To' Puan Seri Norliza bersama rombongan menjamu selera nasi dagang di atas bot sambil menikmati permandangan Bandaraya Warisan Pesisir Air ketika melakukan lawatan ke negeri Terengganu selama tiga hari bermula hari ini.

Mereka jelas kagum dengan keindahan serta keunikan negeri Terengganu ketika mengadakan lawatan selama tiga hari ke negeri ini bermula hari ini (25 Feb).

Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah yang juga merangkap Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) disambut isteri YAB Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang juga merangkap Yang Di-Pertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (SERIKANDI) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum rombongan menaiki bot menyusuri Sungai Terengganu di Riyaz Pulau Duyung.

Sepanjang perjalanan, rombongan dari Melaka itu disajikan makanan tradisi Terengganu iaitu nasi dagang di atas bot sambil melihat panorama Bandaraya Warisan Pesisir Air dan melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.

TeganuKita

Terengganu Bantu Malaysia Catat Kejayaan Besar Dalam Sektor Minyak Dan Gas

Semasa Malaysia memasuki fasa baharu industri minyak dan gas, negara menerima berita yang menggembirakan pada pertengahan Februari dengan penemuan besar di luar pesisir timur Sarawak.

"Ini merupakan berita yang amat baik bagi sektor yang berdepan dengan penurunan pengeluaran tahunan dan prospek kehabisan hidrokarbon yang menjana ekonominya dalam 15 tahun dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)," demikian menurut Oxford Business Group (OBG), kumpulan perundingan risikan perniagaan.

Ia berkata penemuan itu seharusnya membantu menghentikan secara sementara penyusutan keluaran minyak dan gas Malaysia, menyambung dengan baik langkah untuk merangsang penerokaan dan pengeluaran daripada prospek laut dalam dan marginal.

OBG sebelum ini berkata kontrak perkhidmatan risiko (RSC) baharu yang Petronas kini laksanakan merupakan suatu yang berbeza daripada kontrak sebelumnya.

Kontrak ini memperuntukkan pemilikan medan minyak marginal kepada Petronas, yang sebaliknya akan membayar sebuah konsortium syarikat-syarikat D&P untuk perkhidmatan mereka selepas pengeluaran bermula.

Petronas mengambil risiko yang tinggi dan keuntungan konsortium berdasarkan kepada harga minyak dan dengan mengambil pegangan ekuiti dalam aset.

Pada awal Februari, Petronas menganugerahkan RSC pertama kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Petrofac, dengan pegangan 50 peratus, dan dua syarikat tempatan iaitu Kencana Energy dan Sapura Energy Ventures, masing-masing dengan 25 peratus pegangan. Kontrak itu bagi membangunkan medan minyak dan gas di pesisir Berantai, Terengganu pada anggaran kos sebanyak RM2.44 bilion (US$800 juta).

Beberapa syarikat itu dikatakan berminat dalam kontrak perkhidmatan itu merupakan peserta khusus yang telah berada di Malaysia, seperti Petrofac dari UK, Newfield Exploration Company yang berpangkalan di Texas dan Lundin dari Sweden.

Nama lain dikatakan ialah Perenco, Roc Oil, Petro-Canada dan Salamander Energy, yang kini tidak berada di Malaysia, tetapi dikatakan berminat dalam kontrak kerana mereka boleh membawa kepakaran dan teknologi yang sewajarnya seperti meningkatkan pengeluaran minyak (EOR) di medan marginal.

Apa sahaja kedudukan mereka, konsortium itu perlu mempunyai modal yang cukup: Petronas telah membayangkan yang pembangunan medan marginal akan memerlukan RM730 juta (US$238.9 juta) bagi setiap medan, satu harga yang tinggi bagi penyertaan syarikat bukan utama.

Mereka juga perlu memperuntukkan sejumlah minimum 30 peratus daripada ekuiti mereka kepada rakan kongsi tempatan, mungkin syarikat-syarikat D&P tempatan baharu, kata OBG.

Mengenai penemuan di pesisir Sarawak, ia akan digerudi antara 3,000 dan 4,000 meter di bawah paras laut, telaga luar pesisir timur Sarawak itu mempunyai simpanan pada anggaran 79.28m meter padu gas dan kira-kira 100 juta tong minyak.

Petronas kini menyediakan pelan tindakan untuk mengeluarkan 1.7 bilion tong minyak dari telaga sedia ada, atau "matang", dan marginal.

OBG berkata pengurangan pengeluaran ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah, medan minyak yang pada suatu masa dahulu terlalu mahal untuk diterokai kini menjadi sasaran utama bagi cari gali dan pengeluaraan (E&P).

Bagi menarik pelaburan dan syarikat-syarikat E&P ke telaga-telaga ini, kerajaan mengkaji semula Akta Cukai Pendapatan Petroleum dengan pengecualian cukai baharu bagi pelaburan domestik di medan minyak dan gas tertentu.

Insentif berkenaan disediakan bagi menarik pelabur swasta asing ke medan marginal E&P dan projek-projek laut dalam berintensifkan modal.

Selain itu, kerajaan berharap untuk menggunakan pelan bagi mengeksplotasikan medan marginalnya sebagai satu peluang untuk merangsang ekonomi dalam masa dua tahun akan datang, kata OBG.

"Ini melibatkan pelaburan berbilion ringgit bagi mendapatkan minyak di medan marginal serta menggalakkan syarikat-syarikat bebas Malaysia menjadi syarikat-syarikat pengeluaran dan pembangunan (D&P) di bawah kontrak perkhidmatan yang baru disusun," katanya.

Medan minyak marginal dianggap sebagai medan pengeluaran rendah dengan kos yang lebih tinggi, menjadikannya kurang menguntungkan berbanding medan biasa. Malaysia mempunyai 106 medan seperti ini, yang dijangka mengandungi kira-kira 580 juta tong bersamaan minyak secara kumulatif.

Pengembangan dalam pengeluaran, bagaimanapun dicapai, merupakan perkara utama kepada ETP kerajaan, yang bergantung kepada minyak dan gas untuk menyediakan 14 peratus daripada pendapatan negara kasar menjelang 2020.

Ini mungkin menjelaskan sebab, dalam masa tiga tahun akan datang, Petronas dan kontraktornya menjangka mengerudi lebih 50 telaga di luar pesisir, kata OBG.

Isu yang turut dibangkitkan ialah sama ada penggantungan kerajaan terhadap syarikat bukan utama berperanan penting dalam pelaksanaan ini munasabah atau sebaliknya.

Bagaimanapun, jika D&P Malaysia berupaya dan mempelajari daripada syarikat khusus yang berpengalaman, syarikat tempatan boleh menjadi syarikat serantau suatu hari nanti atau mungkin peserta global dalam teknologi yang lambat laun, banyak negara pengeluar hidrokarbon perlu bergantung kepadanya, kata OBG.

Sejak bertahun, sektor kontrak industri hidrokarbon Malaysia melalui siri perubahan, bermula dengan pengenalan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) pada 1976.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan skim konsesi di mana minyak dimiliki syarikat-syarikat minyak asing dan pihak berkuasa hanya dibenarkan mengenakan cukai levi dan mendapatkan royalti daripada hasil yang diperoleh.

Selepas 1976, PSC Petronas menukar sistem konsesi kepada sistem fiskal berasaskan bahagian pengeluaran, dan Petronas mengambil alih pemilikan rizab minyak dan gas negara.

Mengikut PSC, kontraktor-kontraktor (utama minyak seperti Shell dan Total) menanggung semua risiko dan menyediakan semua pembiayaan bagi E&P. Sebagai balasan, mereka menerima bahagian jumlah pengeluaran yang diperoleh daripada medan mereka.

PSC diubah suai pada 1985, 1994 dan 1997 bagi menarik pelaburan asing dan syarikat-syarikat masing-masing dengan pengalaman dalam cari gali di laut dalam, pembangunan dan pengeluaran serta bagi membolehkan usaha "mendapatkan minyak di formasi yang sukar dan berisiko tinggi" atau EOR.

Petronas sekali lagi "mengusik" peraturan ini dan mengharapkan RSC berusaha untuk dapat memberi faedah kepada negara.

Bernama

RTM Terengganu Adakan Uji Bakat TV 2011 Mulai Hari Ini

Unit Hiburan TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menerbitkan rancangan "Bakat TV 2011" yang akan mula siarannya pada 1 Mei ini.

Sehubungan itu, bagi mengisi penerbitan itu, uji bakat akan diadakan di Auditorium Terengganu FM, Bukit Pak Apil esok (Sabtu) dan Ahad ini bermula 9 pagi.

Pengarah Penyiaran Terengganu, Dr Nawiyah Che Lah, dalam satu kenyataan, berkata individu yang berbakat dalam bidang nyanyian, tarian, bermain alat muzik, silap mata dan komedi dijemput untuk mencuba uji bakat itu.

Antara kategori uji bakat ialah nyanyian berkumpulan, silap mata, pemuzik solo atau berkumpulan dan bakat seni yang bersesuaian.

Syarat-syarat penyertaan termasuk peserta mestilah warganegara Malaysia, tiada had umur dikenakan dan terbuka kepada amatur dan profesional.

Peserta juga perlu mengisi borang terlebih dahulu dengan menyertakan salinan kad pengenalan, sekeping gambar berukuran penuh dan membawa sendiri muzik "minus one" atau membawa peralatan sokongan bagi persembahan masing-masing.

Maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi talian 09-6222200 sambungan 204 atau layari laman web www.rtm.gov.my.

RTM Terengganu Adakan Uji Bakat TV 2011 Mulai Sabtu Ini

Unit Hiburan TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menerbitkan rancangan "Bakat TV 2011" yang akan mula siarannya pada 1 Mei ini.

Sehubungan itu, bagi mengisi penerbitan itu, uji bakat akan diadakan di Auditorium Terengganu FM, Bukit Pak Apil esok (Sabtu) dan Ahad ini bermula 9 pagi.

Pengarah Penyiaran Terengganu, Dr Nawiyah Che Lah, dalam satu kenyataan, berkata individu yang berbakat dalam bidang nyanyian, tarian, bermain alat muzik, silap mata dan komedi dijemput untuk mencuba uji bakat itu.

Antara kategori uji bakat ialah nyanyian berkumpulan, silap mata, pemuzik solo atau berkumpulan dan bakat seni yang bersesuaian.

Syarat-syarat penyertaan termasuk peserta mestilah warganegara Malaysia, tiada had umur dikenakan dan terbuka kepada amatur dan profesional.

Peserta juga perlu mengisi borang terlebih dahulu dengan menyertakan salinan kad pengenalan, sekeping gambar berukuran penuh dan membawa sendiri muzik "minus one" atau membawa peralatan sokongan bagi persembahan masing-masing.

Maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi talian 09-6222200 sambungan 204 atau layari laman web www.rtm.gov.my.

Pemandu Lori Miliki Kanabis Dihukum Penjara 10 Tahun, 10 Sebatan

Seorang pemandu lori yang Khamis mengaku salah terhadap dua tuduhan pindaan memiliki dadah jenis kanabis, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Bagi tuduhan pertama iaitu memiliki 708 gram kanabis di rumah bernombor 28, Kampung Lak Lok, Jerteh, Besut pada pukul 4.30 pagi, 26 Mei tahun lalu, Ibrahim Daud, 45, dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan terhadap pertuduhan memiliki 143.7 gram kanabis pada masa dan di tempat yang sama.

Bagaimanapun, Ibrahim hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 26 Mei, 2010.

Ibrahim yang awalnya menghadapi pertuduhan mengedar kanabis itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, mengaku salah terhadap tuduhan pindaan memiliki dadah itu mengikut Seksyen 6 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Peguam Othman Bakar yang mewakili tertuduh semasa merayu hukuman ringan untuk anak guamnya itu berkata mahkamah perlu menimbangkan pengakuan salah tertuduh yang telah menjimatkan masa mahkamah.

Hakim Mohd Yazid bagaimanapun berkata mahkamah perlu mengambil kira beberapa faktor dalam menjatuhkan hukuman termasuk untuk memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan najis dadah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang@Mamat.

Kediaman Mewah Kuala Terengganu Golf Resort Dapat Sambutan

UDA Land (East) Sdn Bhd (UDA Land) dijangka memulakan pembinaan 25 unit kediaman elit di Taman Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) lebih awal dari yang dijadualkan.

Ini kerana 27 unit kediaman jenis sama menerusi Fasa 4 Zon A, bertempat di Tok Jembal, Kuala Nerus, yang dibuka pada 7 Ogos lalu, telah habis dijual pada Khamis.

Ketua Pegawai Operasi UDA Land (East) Sdn Bhd Mohmad Sallihhudin Barlin berkata konsep reka bentuk kediaman moden dan elit yang disasarkan kepada golongan profesional ditawarkan syarikat itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

"Semua unit banglo dua tingkat berharga antara RM414,897 hingga RM483,455 seunit yang ditawarkan menerusi Fasa 4 Zon A, telah habis terjual."

"Kami berpendapat permintaan terhadap produk yang ditawarkan di sini sangat menggalakkan. Sebelum ini, banglo dua tingkat untuk Fasa 3 berharga RM411,000, habis terjual dalam masa seminggu," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya Fasa 4 Zon A menawarkan tiga jenis banglo iaitu Alocasia berharga RM414,897 yang berkeluasan 2,215 kaki persegi, Palma berharga RM479,088 (2,531 kaki persegi) dan Bayan M483,455 dengan keluasan 2,521 kaki persegi.

Sehubungan itu, katanya Fasa 4 Zon B yang dijadualkan bermula Jun depan dijangka dimulakan lebih awal iaitu pada Mac ini.

Mohmad Sallihhudin berkata pembeli berpotensi terdiri daripada kalangan ahli perniagaan, kontraktor dan pensyarah institusi pengajian tinggi di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya kediaman yang ditawarkan bersifat elit, selesa dengan pemandangan padang golf 18 lubang yang menghijau dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan dengan adanya pengawal dan berpagar.

Lokasinya juga strategik, dengan hanya 3.2 kilometer dari lapangan terbang, 15 kilometer dari pusat bandaraya, dan hanya satu kilometer dari pusat rekreasi Pantai Teluk Ketapang.

Beliau berkata Fasa 5 yang melibatkan 36 unit kediaman mewah pula dijadualkan bermula tahun depan.

Selain di Kuala Terengganu, UDA Land juga mempunyai projek pembangunan di daerah Kemaman dan Dungun.

Selain menawarkan projek perumahan siap, UDA Land turut menawarkan lot tanah kepada mereka yang berminat untuk membangunkan sendiri kediaman masing-masing.

Setakat ini, sebanyak 407 unit pelbagai jenis kediaman termasuk rumah kos sederhana dan kos rendah, selain kawasan komersil dengan keluasan 30.496 hektar (76.24 ekar) tanah telah diusahakan syarikat itu di Terengganu melibatkan tiga daerah itu.

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), katanya UDA Land memberi keutamaan kepada pembeli dan memberi peluang kepada konsultan dan kontraktor Bumiputera untuk mengendalikan projek pembangunan di negeri itu.

Selain Terengganu, anak syarikat milik penuh UDA Holdings Berhad itu juga aktif sebagai pemain industri hartanah di Pahang.

UniSZA Mahu Perluas Konsep Penyembelihan Halal ke Luar Negara

Peserta menerima sijil selepas menyertai Bengkel Penyembelihan Halal, di UniSZA Kampus Kota, Kuala Terengganu daripada Prof. Dr Alias.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merancang memperluaskan konsep penyembelihan halal kepada masyarakat Muslim di luar negara tidak lama lagi.

Naib Canselor UniSZA Prof. Datuk Dr. Alias Daud berkata, masyarakat Muslim luar negara yang berminat mengetahui lebih mendalam tentang kepakaran penyembelihan halal dan bersih, bolehlah mengikutinya di universiti berkenaan.

"Kita menyediakan medium dalam bahasa Inggeris untuk peserta dari negara asing mengikuti kursus itu kelak,” katanya selepas menutup Bengkel Penyembelihan Halal anjuran UniSZA di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bengkel dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan lain-lain agensi kerajaan itu disertai 40 peserta terdiri daripada pengusaha makanan serta kakitangan mereka selain orang perseorangan yang berminat.

“Tahun ini UniSZA akan mengadakan empat siri perbengkelan mengenai penyembelihan halal ini dan orang ramai dialu-alukan untuk membabitkan diri dalam program ini,” kata Prof. Dr Alias Daud.

Tahun lalu UniSZA berjaya mengadakan bengkel ini dua kali dan tahun ini bercadang menambahnya kepada empat dimana peluang ini harus dimanfaatkan oleh orang ramai kerana asas pengetahuan dalam soal penyembelihan halal ini jarang diadakan oleh mana-mana agensi.

“Peserta akan diberi sijil penyertaan oleh UniSZA dan jika lulus dalam sesi penilian dan temuduga yang dikendalikan oleh panel dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan ,” katanya.

Sehubungan itu katanya, peserta yang berjaya akan dicadangkan kepada Jawatankuasa Persijilan Penyembelihan Halal Negeri Terengganu untuk perakuan dan dianugerahkan Sijil Penyembelihan.

Pusat Pupuk Semangat Teluk Kalong Kampus Kedua TATiUC

Kampus kedua Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal dibangunkan di kompleks Pusat Pupuk Semangat di Teluk Kalong, Kemaman bagi menampung jumlah kemasukan pelajar ke pusat kemahiran itu yang semakin meningkat setiap tahun.

Seramai 400 pelajar peringkat Sijil dan pelajar kursus pendek lepasan siswazah akan ditempatkan di kampus baru itu kelak.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata pada kemasukan sesi 2010./2011 yang lalu, seramai 780 lepasan SPM dan STPM mendaftar untuk ekmasukan di TATiUC.
Katanya, itu merupakan satu rekod kemasukan paling ramai dalam sejarah 17 tahun penubuhan Tati dan TATiUC.

“Pihak penguruasan mengucapkan berbanyak terima kasih atas segala kerjasama semua pihak menjayakan matlamat TATiUC pada 2010. Kami mengharapkan pada 2011, kemasukan akan bertambah kepada 900 orang yang mana kuota paling maksimum boleh diambil tahun ini kerana kekangan tempat penginapan di kampus,” katanya pada Majlis makan Malam TATiUC Bersama Guru Kaunselor Daerah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dr Mohd Rozailan berkata, pada sesi 2011/2012 akan datang, TATiUC bercadang menawarkan 32 program melibatkan satu program peringkat Sarjana, 11 program Ijazah Muda, 12 program Diploma, dua program peringkat HND dan enam program Sijil.

Katanya, TATiUC juga dalam rancangan menambah kemudahan di kampus utama termasuk membina sebuah perpustakaan dan kediaman baru pelajar yang masing-masing boleh menampung 1,000 pelajar serta sebuah kompleks sukan.

Beliau berkata, kesemua projek baru ini sedang dalam proses rekabentuk oleh pihak arkitek dan akan dimulakan pada tahun ini serta dijangka siap pada 2014.

“Semua pembangunan ini selaras dengan hasrat TATiUC untuk menjadi sebuah universti penuh, iaitu Universiti Kemahiran pada 2015 dan kesemua kemudahan infrastruktur serta peralatan akan disediakan sepenuhnya sebelum 2015,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

UMT tuan rumah SUKANUN 8-14 April

Dr Aziz (dua dari kiri) melancarkan maskot Hyppocampus atau kuda laut, dan bendera SUKANUN di Dewan Sultan Mizan, baru-baru ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya diberi mandat menganjurkan Sukan Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia kali ke 7 (SUKANUN) pada 8 hingga 14 Mei depan.

Sebagai permulaan, UMT melancarkan perasmian maskot Hyppocampus atau kuda laut, lagu rasmi kejohanan bertajuk ‘Legasi Timur’ dan bendera SUKANUN oleh Naib Canselornya, Prof Dr Aziz Deraman di Dewan Sultan Mizan sebagai tanda persediaan menganjurkan temasya kedua terbesar selepas Sukan Malaysia itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati di atas kepercayaan yang diberikan Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia kepada UMT untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.

“Pembabitan kami dalam SUKANUN mungkin hanya baru beberapa tahun tapi saya percaya dalam masa lima tahun lagi, UMT bakal bergelar juara.

"Sebagai langkah persediaan, pihak kami memastikan setiap kakitangan memilih satu sukan untuk dijadikan aktiviti harian sejajar dengan ‘Satu kakitangan satu sukan’ seperti yang dihasratkan pada amanat 2011," katanya.

Terdahulu program dimulakan dengan penyerahan bendera kepada Konvoi Persatuan Volkswagen Terengganu dan Persatuan Basikal UMT di Mesra Mall, Kertih, Kemaman.

Acara itu membabitkan 30 kereta Volkswagen dan Mini-cooper serta 30 basikal untuk berkonvoi bersama-sama sambil mengibarkan bendera SUKANUN sepanjang perjalanan hingga ke Dewan Sultan Mizan untuk diserahkan kepada Dr Aziz.


Dr Aziz berkata, bagi memastikan UMT memberikan saingan sengit kepada pasukan lain, pusat sukan giat melakukan pemilihan atlet untuk mewakili universiti dengan mengadakan pelbagai pertandingan sukan dalam kalangan kakitangan.

“Selain itu, dengan penganjuran SUKANUN kelak, dijangka ia bukan saja bakal menaikkan nama Terengganu sebagai negeri yang mempunyai pelbagai keunikan dan budaya, tetapi juga dapat membantu menambah pendapatan masyarakat setempat ketika sukan itu berlangsung nanti,” katanya.

Temasya berprestij itu juga menyaksikan penyertaan sebanyak 93 agensi badan-badan berkanun seluruh Malaysia membabitkan 7,000 pegawai dan atlet.

Sebanyak 17 acara sukan dipertandingkan termasuk bola sepak (9 Sebelah), bola jaring, badminton, tenis, golf berpasukan, ping pong, futsal, boling padang, perbarisan kontingen, sepak takraw, karom, dart, tarik tali, pencarian harta karun dan tenpin boling dengan pengenalan dua acara baru iaitu memancing serta bola tampar pantai.

Pada majlis sama, laman web temasya berkenaan dilancarkan iaitu www.sukanun7.umt.edu.my yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi memudahkan semua pihak terbabit mendapatkan keputusan serta maklumat terbaru sepanjang temasya berlangsung.

Kuala Lumpur Lwn Terengganu di Stadium Sultan Ismail Malam Ini

Venue pertandingan antara Kuala Lumpur dan Terengganu yang dijadual berlangsung di Stadium Kuala Lumpur di Cheras sepatutnya esok telah diubah ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam ini.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Abdullah Salleh berkata perlawanan di Terengganu akan bermula pukul 8.45 malam dengan harga tiket yang tidak berubah iaitu RM20 untuk tempat duduk berbumbung dan RM10 bagi tempat duduk terbuka.

"Perlawanan tidak dapat diadakan di Stadium Cheras kerana masalah padang," katanya dan menambah Kuala Lumpur akan tetap dianggap sebagai tuan rumah kepada perlawanan itu.

Abdullah berkata Terengganu tidak akan melepaskan peluang bermain di gelanggang sendiri untuk meraih mata penuh.