Berbohong
dalam isu penyerahan royalti minyak kepada kerajaan Terengganu yang dikatakan
TERHALANG?
Siapa
berbohong dan kenapa berbohong?
Atau
memang sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang tidak dimaklumkan atau tidak ambil tahu mengenai penerimaan royalti
minyak kepoada Terengganu?
Laporan
media menyebut Menteri Besar Terengganu hanya
pada 25 November lalu mengakui negeri
itu telah menerima RM300 juta sejak Ogos lalu.
Beliau
membuat kenyataan itu selepas
membentangkan Bajet Terengganu 2019 yang turut memasukkan sumber kerajaan
negeri adalah daripada royalti petroleum.
Persoalan
di sini, apakah kerannya menyebabkan
wujud pertelingkahan kenyataan antara Presiden PAS itu dengan Menteri Besar, Dr
Ahmad Samsuri Mokhtar?
Persoalannya
juga kenapa Hadi beria-ia benar
memperkatakan mengenai royalti minyak kepada kerajaan Terengganu?
Lebih
memburukkan keadaan beliau jelas mengatakan melalui status Facebooknya bahawa
pemberian royalti minyak kepada Kelantan
dan Terenganu berada pada peringkat ‘terhalang’.
Lebih
mengejutkan orang yang cuba mempertahankan beliau mengatakan apa yang
dimaksudkan oleh Hadi ialah ‘terhalang bermaksud terhalangnya pembayaran penuh
seperti dijanjikan’.
Sengaja
mengelirukan keadaan atau memang pemimpin PAS jenis tidak konsisten?
Juga,
kenapa pula selepas hampir dua bulan menerima pembayaran royalti sebanyak RM300
juta, Hadi hanya diberitahu atau mengetahui mengenainya begitu lambat?
Apa
rahsia PAS Terengganu menyembunyikannya (jika benar) dalam konteks personaliti
dan pentadbiran ketika ini?
Jika
beliau dimaklum, Hadi mungkin tidak membuat kenyataan di status Facebooknya
pada 20 Oktober bahawa Terengganu dihalang daripada mendapat royalti.
Menimbulkan
persoalan jika benar ada pihak di
Terengganu yang dilihat cuba ‘menyorokkan pemberian itu’ daripada Hadi. Pertanyaan
ialah kenapa?
Mungkin
ada sebab tersendiri kenapa penerimaan wang itu cuba dirahsiakan daripada Hadi.
Mungkin
benar kenyataan Hadi mengenai Kelantan. Namun kenyataan oleh Ahli Parlimen Marang pada 20 Oktober yang
mendakwa pembayaran royalti kepada Terengganu juga ‘terhalang’, tidak benar dan
songsang.
Malah
tuduhan HARAPAN seperti ingkar meskipun royalti dijanjikan dalam Manifesto HARAPAN sebelum ini, adalah tuduhan berat.
Berikutan
itulah makanya kenyataan Hadi itu dilihat sebagai berbohong.
Sedangkan
pemberian royalti dibuat pada 21Ogos
sebanyak RM100 juta, pada 8 Oktober pula sebanyak RM200 juta dan terbaru
sebanyak RM150 juta.
Ini
bermakna ketika Hadi membuat kenyataan pada 20 Oktober itu, kerajaan Terengganu
dah sudah menerima RM300 juta. Sekali lagi bagaimana Hadi tidak tahu?
Perkara
itulah disebut oleh Senator Datuk Razali
Idris ketika membahaskan Belanjawan 2019 HARAPAN di Dewan Negara, tengahari Selasa, 11 Disember lalu.
Razali
mempersoalkan tindakan Hadi yang mendakwa pemberian itu terbantut.
Sedangkan
menurut Razali yang juga Ketua Pimpinan BERSATU Terengganu ketika kenyataan itu
dibuat oleh Hadi, pembayaran mula sudah dibuat pada Ogos dan September 2018.
Apa
yang ditimbulkan oleh Razali ini penting kerana pertamanya, Hadi seperti menafikan bagaimana kerajaan
Pakatan Harapan (HARAPAN), apabila berjanji ia tepati.
Dengan
kata lain HARAPAN mulai menunaikan janji manifestonya.
Apakah
Hadi mempunyai niat memburuk-burukkan kerajaan HARAPAN dengan mengatakan royalti
minyak terhalang?
Kedua
ialah, dengan mengaitkan kononnya
Kementerian Kewangan dan menterinya Lim Guan Eng sengaja ‘menyekat royalti
berkenaan’, ia bagaikan niat buruk Hadi dengan cuba bermain api ‘perkauman’.
Sangat
wajar jika kenyataan Hadi itu disambut oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang
bahawa Presiden PAS itu jelas sekali memalukan politik Islam kerana mengatakan
DAP mendiskriminasikan pembangunan saksama di Pantai Timur.
Wajarkah
pemimpin tertinggi sebuah parti yang mendakwa ia parti Islam membuat tuduhan
tidak berasas? Apalagi ia jelas TUDUHAN
PALSU.
Apakah
Hadi bersuara bagi menunjukkan beliau seolah-olah berjuang untuk rakyat
Terengganu agar royalti disalurkan kepada kerajaan negeri?
Persoalannya,
jika kerajaan HARAPAN menunaikan janjinya bermakna Putrajaya juga mengambil
berat mengenai nasib dan kepentingan rakyat Terengganu. Ia tidak wajar dipertikai
dan diletakkan sebarang syak-wasangka terhadap HARAPAN.
Di
sebalik itu, apakah tanpa royalti kerajaan Terengganu tidak mampu mencari hasil
lain untuk pembangunan dan kos pentadbiran yang di negeri berkenaan?
Ketiga,
tuduhan Hadi juga seperti mencabar kelangsungan amalan federalism antara kerajaan
negeri dan Kerajaan Posit. Ia tidak wajar dilakukan oleh Hadi sedangkan
pentadbir negeri sekarang tidakpun berlagak dan bersifat angkuh seperti Hadi.
Di
sudut hati Hadi, beliau mungkin bimbang wang royalti itu tidak disalurkan terus
kepada kerajaan negeri atau diberhentikan.
Beliau
bimbang kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS sekarang akan mengalami nasib
yang sama seperti ketika beliau menjadi
Menteri Besar.
Tetapi
Hadi perlu telus dan berani menyatakan kenapa royalti dihentikan pada tahun
2000? Juga sebab-sebab bagaimana RM400 juta, iaitu bayaran pertama dibelanjakan
oleh pentadbiran Hadi ketika itu?
Dokumen
mengenai bagaimana wang RM400 juta ‘didapati tidak diakaun’ akan kekal menjadi
sejarah. Pemimpin-pemimpin seperti Datuk
Seri Idris Jusoh, Tan Sri Rais Yatim, Tun Abdullah Ahmad Badwi dan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri amat tahu
mengenai episode kehilangan wang berkenaan.
Ia
wang rakyat bukan wang kerajaan PAS Terengganu atau wang milik Hadi.
Razali
mempunyai hak sebagai Senator HARAPAN untuk memperbetulkan keadaan, kesan
daripada kenyataan Hadi dan dilakukan secara
santun di Dewan Negara.
Razali
cuba memberitahu rakyat melalui
ucapannya di Dewan Negara bahawa kerajaan HARAPAN melaksanakan janji untuk
menyerahkan royalti.
Namun
persoalannya, untuk apa wang itu dibelanjakan? Apakah cara berbelanja seperti
ketika era Hadi menjadi Menteri Besar akan berulang?
Mungkin
kekecohan dan ‘pertelingkahan’ yang dikatakan berlaku di kalangan kepimpinan
PAS Terengganu baru-baru ini ada kaitan dengan isu wang royalti ini.
Hanya
mereka yang boleh menjelaskannya. Ini kerana kekecohan itu dikatakan melarat
sehingga ada suara mahu menggantikan Menteri Besar sekarang dengan tokoh lain.
Hadi
atau PAS Terengganu boleh menafikannya. Namun dahan-dahan pokok yang bergoyang
dan patah kerana ribut kencang dalam PAS sukar untuk tumbuh kembali.
Amat
nyata kenyataan Razali di Dewan Negara itu mampu menjelas dan menjernihkan kerajaan
HARAPAN Pusat daripada tuduhan Hadi bahawa ia menyekat pemberian royalti.
Sehingga
kini royalti kepada kerajaan PAS Terengganu sudahpun berjumlah RM450 juta yang
dibayar sebanyak tiga kali. Pada Ogos, Oktober (RM200 juta) dan baru-baru ini
sebanyak RM150 juta.
Amat
nyata, kerajaan HARAPAN tidak bermain politik dan tidak ‘menganak-tirikan’
kerajaan dan rakyat Terengganu.
Namun
semuanya itu bergantung di atas kebijaksanaan pentadbiran negeri
menguruskannya.
Bak
kata Razali dengan amaran, jika disalah urus atau wang itu dibelanjakan demi
‘modal politik PAS’, bukan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat, Putrajaya
wajar menilai semula pemberian itu.
Malang
sekali, Senator Datuk Husin Awang yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam
usahanya cuba pertahankan Hadi dalam ucapan perbahasannya di Dewan negara,
petang Khamis 13 Disember, sangat mengelirukan kononnya apa yang Hadi maksudkan
dalam kenyataan sebagai ‘terhalang’ itu bermaksud ;terhalang daripada mendapat
pembayaran penuh’.
Di
status facebook Hadi hanya menyebut perkataan ‘TERHALANG’.
Beliau
mempersoalkan kenyataan Razali yang dianggap bersifat songsang sambil
melahirkan rasa kecewanya kerana orang
yang dituduh oleh Razali iaitu Hadi
tidak berada di Dewan Negara untuk menjawab tuduhan berkenaan.
Mengejutkan
daripada kenyataan Husin ialah seolah-olah Hadi hanya tahu mengenai pemberian
royalti itu hanya sebelum persidangan DUN Terengganu.
Jadi
benarlah pendapat bahawa Hadi menang tidak diberitahu mengenai pemberian
royalti itu. Sekali lagi, persoalannya kenapa?
Walau
apa juga yang berlaku di kalangan kepimpinan PAS Terengganu atau hubungan
antara pentadbiran negeri dan Hadi, yang nyata, bayaran yang dijanjikan sedang
ditunaikan oleh HARAPAN.
Ia
dibuat di atas perjanjian bersama sebelum
ini selain semangat federalisme yang ditunjukkan oleh kerajaan HARAPAN.
Jadi
tidak perlu lagi ada keresahan atau kebimbangan pemberian royalti TERHALANG.
Untuk
waktu sekarang, kerajaan PAS Terengganu perlu bersabar tunggu untuk bayaran
seterusnya.
Itupun
JIKA ADA!