Tuesday, December 1, 2015

Bajet 2016 - Semua Jabatan Perlu Kurangkan Perbelanjaan Hingga 30 Peratus


"Walaupun keadaan persekitaran begitu sukar dan mencabar, kita akan terus berusaha dengan penuh sabar, sentiasa berani mencabar kelaziman, sehinggalah impian menjadi kenyataan." 
- Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman

Bajet Terengganu 2016 yang dibentangkan semalam berkurangan 15.3 peratus atau RM380 juta berbanding Bajet 2015 sebanyak RM2.37 bilion.

Ini berikutan Terengganu turut menerima kesan langsung daripada penyusutan ekonomi global yang mengakibatkan  penurunan hasilnya.

Seiring dengan pengurangan jumlah bajet kepada RM2.103 bilion itu,  Perbendaharaan Negeri mengeluarkan arahan supaya semua jabatan mengurangkan perbelanjaan sehingga 30 peratus daripada peruntukan pengurusan.

Walaupun Bajet 2016 berkurangan, Kerajaan Negeri Terengganu tetap menjamin lima perkara yang menjadi teras pembangunan ekonomi negeri, dilaksanakan dengan jayanya.

Bajet 2016 akan memberi fokus kepada usaha melonjakkan pertumbuhan menerusi Transformasi Ekonomi Terengganu Baharu dan pengurusan perbelanjaan awam yang cekap lagi berhemat.

Selain itu tumpuan juga diberikan kepada pengukuhan program pengupayaan yang berteraskan ekonomi keperluan rakyat; pembinaan kapasiti sumber modal insan yang berdaya tahan dan peningkatan kemudahan awam yang mendamaikan hidup rakyat.

Biarpun dalam keadaan hasil yang berkurangan tahun hadapan, petunjuk positif ialah ekonomi Terengganu terus mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 3.4 peratus bagi tahun 2015.

Perkembangan ini disokong oleh kadar pengangguran di Terengganu masih di bawah guna tenaga penuh iaitu 3.4 peratus pada tahun 2014 dan dijangka kekal pada kadar 3.5 peratus hingga 4.2 peratus pada 2015, katanya.

Terengganu menerima jumlah pelaburan bernilai RM15.1 bilion dengan jangkaan pelaburan RM11.3 bilion daripada pelaburan swasta, RM2.02 bilion pelaburan awam dan RM1.74 bilion pelaburan bersifat pemangkin yang membuka 41,201 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan.

"Kerajaan negeri menjangkakan suatu transformasi besar dalam bidang ekonomi melalui pelaksanaan 18 EPP (Entry Point Projects) dengan 71 projek untuk dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2020," katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman semalam berkata pada 2016, anggaran hasil yang diperoleh kerajaan ialah sebanyak RM2.02 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun 2015. Ia merupakan pengurangan sebanyak 15.33 peratus iaitu RM380 juta.

"Pendapatan daripada hasil cukai dianggarkan RM58.38 juta, hasil bukan cukai RM180.6 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.781 bilion," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 penggal ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 bermula semalam hingga Khamis.

Menurutnya daripada jumlah anggaran hasil tersebut, 88.17 peratus adalah sumber hasil daripada kerajaan pusat khususnya Dana Khas Kerajaan Persekutuan serta pemberian tahunan manakala baki 11.83 peratus adalah daripada sumber hasil negeri.

Ahmad Razif yang kali kedua membentangkan bajet selepas dilantik Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014, berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan inklusif dalam melaksanakan pertumbuhan ekonomi negeri.

Melalui Bajet 2916, peruntukan RM2.103 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus, RM1.139 bilion untuk pembangunan dan RM8.88 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Di bawah Perbelanjaan Mengurus katanya, sebanyak RM85.59 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM2.017 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

“Di bawah Perbelanjaan Bekalan pula sebanyak RM1.531 billion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM267.2 juta untuk perbelanjaan Emolumen, RM202.02 juta untuk Per­khidmatan dan Bekalan, RM16.42 juta untuk Aset dan RM1.16 juta untuk perbelanjaan lain.

“Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM700 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan, RM204 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun, RM183.37 juta bagi pemberian kepada Pelbagai Agensi dan Kumpulan Wang, RM51.57 juta bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM338.24 juta bagi pelbagai program yang memberi impak terus kepada rakyat,” katanya.

Dari segi agihan mengikut sektor-sektor pembangunan, Ahmad Razif menjelaskan, RM560.57 juta (49 peratus) untuk sektor sosial yang meliputi sub-sektor pendidikan, pembangunan masyarakat, perumahan, pembangunan bandar dan luar bandar, kerajaan tempatan, sukan dan kesihatan.

“Sebanyak RM232.25 juta (20 peratus) disediakan untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sub-sektor pelancongan, pertanian, industti kecil dan sederhana, infrastruktur dan kemudahan awam manakala RM354.15 juta (31 peratus) untuk sektor pentadbiran yang meliputi sub-sektor pembangunan ICT, pentadbiran am dan projek khas,” ujarnya.

Bagi memperkasakan sektor pelancongan, sejumlah RM51 juta akan diperuntukkan termasuk mempromosikan pelancongan berkonsepkan islamik dan melonjakkan Tasik Kenyir sebagai zon bebas cukai, Pulau Bidong sebagai pulau warisan serta mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017.

Pada 15 Januari tahun ini, Ahmad Razif berkata Terenganu akan menyusun semula Bajet 2015 bernilai RM2.37 bilion kepada kadar yang lebih munasabah berdasarkan keupayaan semasa, ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Katanya, dengan hasil negeri yang banyak bergantung kepada sumber minyak, kejatuhan harga bahan itu akan memberi kesan kepada pendapatan negeri.

“Langkah penjimatan akan dipertingkatkan termasuk mengu­rangkan lawatan atau program-program ke luar negara.

“Bagi projek yang sedia ada, komitmen akan diteruskan ma­nakala bagi projek baharu, akan dinilai semula,” ujarnya.

Namun beliau menegaskan, projek yang bakal memberi impak besar akan diteruskan dengan menggunakan pelbagai kaedah atau dengan cara mendapatkan peruntukan dari kerajaan Pusat,” katanya.

Mengenai Bajet 2016, Ahmad Razif berkata semalam, bajet itu adalah satu lagi ikhtiar kerajaan negeri ke arah menzahirkan potensi negeri dan rakyat Terengganu.

"Kerajaan negeri akan memastikan rakyat terus menikmati kehidupan dalam sebuah negeri yang subur lagi makmur serta aman dan tenteram.

"Walaupun keadaan persekitaran begitu sukar dan mencabar, kita akan terus berusaha dengan penuh sabar, sentiasa berani mencabar kelaziman, sehinggalah impian menjadi kenyataan," katanya.


Sumber – Bernama, Utusan Malaysia & Berita Harian