Friday, April 29, 2016

Majlis Rasmi Bersama Rakyat Pertama Selepas Gelaran DitarikBalik


Setelah pelbagai spekulasi berkaitan kedudukan beliau, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman hari ini berkata beliau masih lagi menyandang jawatan itu dan akan meneruskannya seperti biasa.

“Saya masih lagi memegang jawatan MB (Menteri Besar) dan saya akan teruskan tugas seperti biasa,” demikian tegasnya.

Ahmad Razif menyatakan perkara berkenaan ketika diminta mengulas mengenai perasaan beliau setelah genap seminggu menjalankan tugas selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin lucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau.

Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir itu juga turut memaklumkan bahawa fokus beliau kini adalah untuk memastikan agenda pembangunan rakyat diteruskan.

“Saya akan teruskan (pembangunan untuk rakyat)... selagi saya masih memegang jawatan MB dan saya tidak ada apa-apa lagi untuk dijelaskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah tanah Terengganu Halal Business Centre dan Perasmian Karnival Usahawan Anak Terengganu (KUAT) di Perkarangan Sabasun Hyperuncit, Gong Badak, petang tadi.


Ahmad Razif diberi sambutan hangat oleh kira-kira 200 orang semasa majlis pecah tanah Pusat Perniagaan Halal Terengganu.

Ahmad Razif disambut sebaik sahaja keretanya tiba di lokasi majlis dengan ramai yang datang menghampiri beliau untuk bersalam-salaman.

Pada Rabu, Ahmad Razif, berkata beliau menjalankan urusan seperti biasa dan langkah seterusnya adalah untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Mizan membuat keputusan.

Beliau  dilapor berkata fokus beliau kini adalah untuk memastikan agenda pembangunan rakyat diteruskan.

“Saya akan teruskan (pembangunan untuk rakyat)... selagi saya masih memegang jawatan MB dan saya tidak ada apa-apa lagi untuk dijelaskan,” katanya petang tadi.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kesahihan sama ada beliau ada mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum memulakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Rabu lalu, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak ada apa-apa ulasan...saya minta maaf...terima kasih semua,” katanya ringkas sebelum meninggalkan majlis berkenaan.

Program yang dihadiri petang ini merupakan majlis rasmi yang pertama dihadiri Ahmad Razif selepas genap seminggu berdepan dengan kemelut sehingga kesemua gelaran beliau ditarik balik.

Ahmad Razif yang kelihatan tenang sepanjang menghadiri majlis berkenaan dan memberikan ucapan dengan  memaklumkan kerajaan negeri akan merangka lebih banyak aktiviti untuk rakyat di negeri
ini.

Sumber - Sinar Online dan mStar

Tuesday, April 26, 2016

‘Gelagat Anwar’ Hempapkan Tangga Ke Atas Kepala Ahmad Razif


Oleh Hambali Abdul Latiff

Saya terkejut membaca ulasan mengenai Menteri Besar Terengganu dalam blog ‘Gelagat Anwar’ yang diterbitkan semalam.

Terkejut kerana ia ibarat menghempapkan tangga ke atas kepala Ahmad Razif Abdul Rahman yang sudahpun tertiarap akibat penarikan pingat yang dianggap sebagai ‘berkrisis dengan istana’.


Ada pihak mengatakan blog ini kepunyaan seseorang yang ada kaitan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Jika benar, bermakna soal Ahmad Razif ini banyak diperkatakan di Pejabat Perdana Menteri dan sudah pasti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sendiri mendapat input mengenai kepimpinan dan apa yang dilakukan oleh Ahmad Razif di Terengganu.

Menarik untuk meneliti beberapa perkara berikut:

1.      Blog berkenaan mengatakan : “Ini soal pemimpin yang berlagak hebat dan merasakan diri sudah sempurna. Ahmad Raziff patut sedar diri, dia tidak berada dalam senarai pemimpin utama pun pada suatu ketika. Tapi adalah pihak tertentu yang menjual namanya, sebagai seorang yang mudah mendengar kata dan tidak akan buat hal.”

Jelas di sini PMO tidak menganggap Ahmad Razif pemimpin yang hebat. Memang pun dia bukan dalam senarai pemimpin utama, malah ada calon lain yang diketengahkan untuk menjadi Menteri Besar, namun menolak untuk meletakkan Ahmad Razif yang lebih muda.

Ada mengatakan kabel Ahmad Razif dengan PM dan PMO melalui seorang Setiausaha Politik (SUP). Sedar atau tidak, orang ini sebenarnya menggunakan Ahmad Razif untuk dijadikan batu loncatan untuk dia menawarkan diri menjadi MB selepas ini.

Orang ini sering mengganggu tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di satu DUN dengan berusaha menjadi calon.

Hasrat SUP itu tidak pernah dilayan oleh kepimpinan negeri sebelum ini kerana dia ada rekod tersendiri. Di PMO pun ada rekod kurang baik. Known secret, katakan.

Seperkara lagi, apabila sahaja Ahmad Razif menjadi Menteri Besar, maka ramailah yang mengaku merekalah bertanggungjawab bekerja keras dan menjamin Ahmad Razif menjadi Menteri Besar. Yang tidak rapat dengan Ahmad Razif pun mengaku rapat.

Ramailah yang mengaku kenal orang PM dan sebagainya. Ini berita yang mudah didengar di Terengganu. Ahmad Razif pula cepat lupa kepada mereka yang ikhlas membantu untuk menaikkannya menjadi Menteri Besar. Ada rakan-rakan politik dan kenalan mula dijauhinya kerana ‘langau baru’ lebih banyak membawa suara.

2.      “Banyak perkara pentadbiran yang pelik berlaku. Ada pula think tank yang tidak mahu mendengar pandangan pegawai awam negeri. Ada bilik gerakan khas individu tertentu. Target mahu meletakkan Ahmad Raziff sebagai salah seorang pemimpin nasional yang hebat.”

Juga diberitakan, tanpa Ahmad Razif sedari dan dalam keadaan dia merasa dia kuat, Ahmad Razif hanya menumpukan kepada nasihat ‘beberapa orang sahaja’ yang punya kepentingan hebat. Malah, ‘politik dendam’ yang diamalkan oleh beberapa pihak yang mengelilingi Ahmad Razif turut mempengaruhi Ahmad Razif sehinggakan ada cakap-cakap bahawa pentadbiran Ahmad Razif tidak mahu mendengar atau melihat kelibat serta dasar-dasar pembangunan 'ala-Mat Said’.

Jika boleh diubah segala-galanya, akan dihapuskan sama sekali ‘legasi Ahmad Said’. Betul atau tidak, hanya Allah yang tahu tetapi cakap-cakap itu tetap berlegar.

3.      Negeri belum terjaga elok, sudah ada cita-cita tinggi. Mahu letakkan diri sebagai pemimpin nasional.”

Ahmad Razif sebenarnya ‘budak baik’. Dia seorang penyayang dan menghormati ‘orang tua’. Dialah yang menjaga ayahnya sebelum meninggal. Dia siang malam berada di hospital atau pusat kesihatan, apabila ayahnya di masukkan ke wad. Sebelum menjadi MB, Ahmad Razif tidak bercita-cita tinggi, sekadar menjadi pemimpin sederhana.

Namun kerana dek dibelai oleh suara-suara yang mahu mendapat dan menjaga kepentingan diri orang di sekelilingnya, tidak sampai setahun, Ahmad Razif berubah. Ahmad Razif mahu cepat berada setaraf dengan MB lain yang sudah lama berkhidmat atau berkecimpong dalam parti. Bukan salah beliau. Bila ada yang menyeru dan berbisik bahawa beliau boleh pergi jauh, lama kelamaan bisikan itu termakan juga olehnya.

Memang benar kata-kata ‘Gelagat Anwar’ bahawa ‘negeri belum terjaga elok’. Dengan hasil minyak berkurangan dan pelbagai masalah melanda rakyat, Ahmad Razif sepatutnya melihat kemiskinan dan kesusahan rakyat sebagai perkara utama. Projek-projek mega sekitar Seberang Takir tidak perlu didahulukan.

Belajarlah daripada kesilapan pemimpin yang lalu. Ahmad Razif sepatutnya mendengar dan mengambil perhatian berat terhadap kritikan-kritikan yang dilemparkan kepadanya. Walaupun bukan semua betul tetapi banyak yang betul.

 4. “Jangan berlagak macam awak pemimpin kuat, jika telur sudah di hujung tanduk. Jangan ikut cakap orang KL sangat, sebab mereka tak tahu isu sebenar di negeri.”

‘Gelagat Anwar’ turut mengatakan ‘jangan ikut cakap orang KL sangat’. Ini pun benar. Mereka bukanlah tidak tahu isu sebenar di negeri tetapi mempunyai kepentingan berbagai. Siapa orang KL tu? Ramailah yang menjadi penasihat Ahmad Razif. Bukan itu sahaja, dalam kalangan orang media yang menasihati Ahmad Razif pun ramai ‘orang luar’ yang kadang-kalanya tersasar dalam memberikan nasihat dan mempropagandakan imej Ahmad Razif. Akhirnya? Yang di KL itu datang menolong Ahmad Razif dalam keadaan sekarang?


Banyak peringatan diberikan oleh banyak pihak kepada Ahmad Razif selepas Datuk Seri Ahmad Said ‘menyerang beliau’ pada sidang DUN tahun lepas (baca di sini, di sini) yang masih tidak terjawab hingga sekarang. Malah beberapa perkara melibat soal maruah Terengganu seakan-akan tidak diambil pusing oleh Ahmad Razif. Tidak diketahui sama ada isu telaga minyak yang menjadi pertikaian dan isu 1MDB  menjadi antara sebab pihak istana mula berang kepadanya.

Sokongan terbuka kepada Perdana Menteri dalam isu 1MDB terpaksa Ahmad Razif lakukan tetapi tidakkah ini turut ‘melukai’ istana?

Ketika merasakan dirirnya tertekan dan terdeak, diberitahu bahawa Ahmad Razif mencari 'seseorang' di mana sudah dinasihatkan supaya selepas dilantik menjadi MB, buatlah kunjungan hormat kepada beliau, takut-takut ada masalah nanti.

Namun jelas Ahmad Razif tetap percayakan kata-kata orang kuatnya di PMO dan akhirnya orang yang mahu dijumpainya itu ‘bo layan’. Sehingga kini tidak dilayan dan orang ini yang memang hebat dan rapat dengan Perdana Menteri tidak akan lagi mahu menerima permintaannya.


Hakikatnya, sebelum ini pun, ‘Gelagat Awar’ sudah bantai AhmadRazif cukup-cukupnya apabila pada Mac lalu mengatakan: “Sekarang ini, MB Ahmad Razif kalau nak nafikan ramai pihak tak berpuasa hati dengan dia, mulalah kata ada orang nak jatuhkan. Ada orang taja. Ada orang tak suka dia. Ada orang benci dia. Ahmad Said pun, menurut kata MB Ahmad Razif, menurut cakap orang."

Kata 'Gelagat Anwar', MB Ahmad Razif & Co, patut tahu, Mat Said ini lain macam politik dia. Kalau tak suka, dia akan cakap tak suka. Kalau benci pun dia akan cakap begitu. Tak ada nak selindung. Depan-depan dia bagi.”

“Sebenarnya, kalau nak banding dengan Mukhriz, Ahmad Razif ini lebih teruk situasinya. Tak sedar diri menang cukup makan, tapi sombong macam bagus sangat. Atas kertas, Terengganu dah tewas. Tewas sebelum PRU14 lagi pun. Sebab tak ada kerja buat MB yang berkesan kepada hati rakyat.” dakwa blog berkenaan.

Lantas blog berkenaan mengemukakan soalan sambil menasihatkan MB Ahmad Razif & Co perhati kelemahan sendiri:

– Bajet negeri macamana? Cantik?
– Kakitangan awam sokong kerajaan?
– Siapa yang dominasi projek kerajaan?
– Abang siapa yang bermaharajalela di KT?
– Apa status pendidikan negeri Terengganu?
– Exco semua buat kerja bagus?

Blog ini membuat rumusan - insiden (penarikan pingat) ini bagus sebagai ubat kesombongan kepada pemimpin UMNO. Jangan berlagak sangat dengan jawatan. Humble sedikit.

Tengok contoh mereka yang kekal lama. Sebab apa? Sebab mereka tahu jaga adab dan sangat berhati-hati dengan Istana.

Masa masih ada, harap-harap dengan kenyataan Ahmad Razif bahawa:"Saya akan terus taat setia dan kepentingan rakyat Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi saya masih memegang jawatan.' akan menjadi pegangan setianya selepas ini.

Penarikan gelaran tidak bermakna penarikan jawatan. 

Apapun, jika kedua-duanya berlaku, beliau adalah Menteri Besar paling singkat perkhidmatannya dalam sejarah Terengganu. 

Sunday, April 24, 2016

Sultan Terengganu Seru Semua Pihak Bantu Bangunkan Tanah Wakaf


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak supaya tampil membantu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) membangunkan tanah wakaf yang berpotensi dimajukan di negeri itu.

Baginda bertitah setakat ini, terdapat 704 lot tanah wakaf dengan pelbagai tujuan antaranya wakaf tapak masjid; surau; tapak kubur; wakaf kepada anak yatim dan pendidikan agama di Terengganu.

Sultan Terengganu bertitah daripada tanah-tanah wakaf itu, terdapat tanah yang berpotensi dimajukan, namun ia tidak dapat dilaksanakan memandangkan Maidam kekurangan dana bagi tujuan tersebut.

"Beta mengharapkan supaya ada pihak seperti anak syarikat kerajaan negeri, swasta atau institusi kewangan yang sudi tampil untuk bersama Maidam bagi membangunkan tanah-tanah wakaf yang berpotensi untuk dimajukan dan bersedia untuk bekerjasama dengan menyumbangkan dana bagi pembangunan hartanah wakaf.

"Ini demi mempertingkatkan taraf ekonomi dan kehidupan rakyat di negeri ini terutamanya rakyat miskin," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Wakaf Senusantara Tahun 2016 di Kuala Terengganu,  hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sultan Mizan bertitah Maidam pada masa ini juga sedang mempergiatkan usaha mempromosi wakaf tunai dalam umat Islam di negeri ini.

Baginda bertitah dana wakaf tunai tersebut akan ditukar dengan aset kekal melalui pembangunan tanah wakaf sedia ada, pembelian aset yang strategik dan bernilai komersial seperti pembelian rumah kedai, pejabat atau membangunkan tanah perkilangan dan perladangan.

Islam menggalakkan umatnya untuk bersedekah dan menginfaqkan harta terutama untuk tujuan wakaf, titah baginda.

Baginda bertitah wakaf bukan hanya suatu ibadat untuk memperolehi pahala semata-mata tetapi ia juga merupakan instrumen bagi pengukuhan ekonomi dan sosial umat Islam.

"Secara jelasnya dengan berwakaf ia secara tidak langsung akan dapat memartabatkan agama dan juga dapat mempertingkatkan sosio ekonomi umat Islam sehingga dapat mengurangkan kemiskinan dalam kalangan umat Islam," titah baginda.

Sementara itu, Yang Dipertua Maidam Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail yakin pihaknya dapat membangunkan 704 lot tanah wakaf bernilai RM111 juta dalam tempoh lima tahun lagi berdasarkan sambutan positif terhadap wakaf tunai yang dilancarkan sejak Januari lepas.

"Memang agak sukar untuk membangunkan tanah wakaf itu mengikut hasrat pewakaf kerana kita kekurangan dana, namun dengan adanya wakaf tunai ini, ia boleh digunakan untuk memajukan tanah wakaf tersebut mengikut kesesuaian.

"Sejak Januari lalu, kita berjaya mengumpul sebanyak RM850,000 wakaf tunai dan ia hanya baru dibuka untuk petugas Maidam sahaja, jadi kita akan promosikan kepada kakitangan kerajaan, swasta dan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu.

Katanya Maidam akan bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia untuk melaksanakan pemotongan gaji kakitangan kerajaan di peringkat persekutuan yang mahu menyumbang untuk dana wakaf tunai Terengganu melalui Perbendaharaan Negara.

Beliau berkata kesemua lot tanah itu diwakafkan antaranya untuk masjid, surau, tanah kubur dan untuk anak yatim.


Sumber - Bernama