Sunday, August 21, 2016

Bersatu, Elak Pergeseran Jika Mahu UMNO Terus Memerintah


Kalau mahu terus kekal perintah Terengganu, elak pergeseran sesama sendiri dan terus bersatu.

Itu pesanan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada UMNO Terengganu.

Tegas Najib, walaupun kemelut di Terengganu ibarat 'ribut dalam cawan', ia boleh merebak sekiranya mereka tidak bersatu dan tidak berpegang pada satu ikatan.

"Dalam istilah politik, Terengganu adalah 'swing state'. Boleh beralih ke arah menang dan beralih kepada kalah. Tapi hari ini kita kena tanya diri kita...tepuk dada tanya selera.

"Angin yang bertiup hari ini ke arah mana? Angin yang bertiup hari ini ke arah BN menang? Kalau nak menang...buatlah cara nak menang. Jangan nak 'baloh-baloh' (berbalah) sesama sendiri," kata Presiden UMNO itu.

"Berbeza dengan Kelantan, kita kalah sejak 1990 sampai hari ini...26 tahun. Terengganu ini ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Ada masa kita menang cemerlang, ada masa kita menang sipi-sipi," katanya.

Najib menyatakan demikian berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Kuala Terengganu semalam.


Najib turut mengingatkan anggota UMNO supaya terus berpegang kepada prinsip kesetiaan dan kasih kepada parti yang telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

Presiden UMNO itu tidak mahu ada perbuatan mana-mana pemimpin sama ada di peringkat negeri, bahagian mahu pun cawangan ada yang bersifat ‘cakap-cakap di belakang’.

“Perkara itu jelas boleh merosakkan parti, timbul pecah belah. Jika ada masalah, sewajarnya selesai secara bersemuka, atau semoleknya serah perkara itu kepada saya sebagai Presiden Parti untuk menyelesainya,”katanya.

Menurutnya, dia juga mahu berpesan, sekiranya hendak menegur pemimpin, sebolehnya tegurlah cara elok dan sebaliknya juga pemimpin itu perlu buat rundingan dalam sebarang keputusan.

“Dalam urus tadbir kerajaan pun saya buat keputusan bersama, tidak paksa mana-mana pihak buat itu dan ini,mahu buat apa, mesti ada rundingan agar timbul sifat kerjasama,”katanya.

Beliau  yakin UMNO  Terengganu boleh menang besar pada PRU Ke-14, dengan syarat jangan `balah’ sama sendiri, buang sifat dengki dan paling penting intai-intai kelemahan pembangkang.

“Juga perlu bersatu hati di bawah panji UMNO, ramuannya dalam mana-mana pertubuhan perlu ada satu nakhota atau kapten saja dan bukannya banyak kepala untuk mengemudi kapal.

Beliau turut meminta ahli UMNO mewujudkan perasaan kasih sayang kerana jika ada kasih sayang, menghormati perjuangan UMNO, Terengganu akan dapat dipertahankan.

"Terengganu boleh terus maju, banyak program yang kita nak lakukan untuk Terengganu," katanya yang sempat mengucapkan tahniah kepada pelumba basikal trek negara kelahiran Terengganu, Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio.


Turut hadir, Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi.

Mengenai Parlimen Kuala Terengganu, Perdana Menteri berkata, bagi  memastikan UMNO memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang, UMNO Bahagian diminta mengatur strategi terbaik dan bekerja keras dalam memenangi hati rakyat.

Katanya bahagian tersebut perlu merampas kembali lima kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lepas, termasuk kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dan harus sedar serta bangkit sebelum terlambat.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kerusi DUN - Bandar, Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Buruk.

"Tidak ada sebab mengapa Kuala Terengganu tidak boleh lakukan sesuatu yang lebih baik untuk PRU akan datang. Saya datang ke Terengganu kerana saya tahu Terengganu ada keunikannya.

Ahmad Razif pula berikrar, UMNO Terengganu akan berjuang habis-habisan bagi meraih kembali kerusi di negeri itu yang jatuh ke pihak pembangkang.


Sekaligus ini membantu BN  meraih kejayaan cemerlang pada pilihan raya akan datang.

UMNO Terengganu kini memfokuskan tiga agenda utama dalam memantapkan jentera pilihan raya parti.

Tiga agenda itu katanya iaitu mengadakan pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM), mengatur gerak kerja pilihan raya dan mengadakan simulasi pilihan raya.

"Agenda ini adalah untuk menjayakan dan memastikan pada pilihan raya umum akan datang kita akan menang dengan cemerlang.

"Ia juga sebagai hadiah terbaik kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang tidak putus-putus memberi semangat kepada kita di saat UMNO negeri berhadapan dengan konflik dalaman," katanya.

“Kami akan pelihara UMNO dengan sebaik mungkin. Kami akan terus terus maju ke hadapan. Kami akan sambung legasi UMNO yang tidak putus-putus mencurah jasa dan menabur budi, kepada negara Malaysia, kepada negeri Terengganu, kepada agama dan bangsa," tegasnya.