Wednesday, August 31, 2016

Polis Bongkar Kegiatan Penjualan Dadah Di Rumah Bot Tasik Kenyir

Salah sebuah rumah bot...sekadar gambar hiasan yang tidak ada kena mengena dengan kes dadah.
Sebelum ini ada khabar angin bahawa rumah bot menjadi salah satu tempat penjualan dadah di Hulu Terengganu.

Malah ada berita mengatakan rumah bot turut menjadi ‘pot’ untuk penagih dadah.

Namun semuanya tidak dapat dibuktikan.

Namun kelmarin (Isnin), polis Hulu Terengganu  berjaya membongkar kegiatan penjualan dadah di kawasan peranginan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu selepas menahan seorang buruh di sebuah rumah bot, di Jeti Tok Lawit di tasik itu.

Ia sesuatu yang membimbangkan kerana kemungkinan bukan satu rumah bot sahaja yang terbabit dengan kegiatan seperti ini.

Malah, rumah bot yang dianggap ‘bebas’ daripada serbuah polis sebelum ini, sewajarnya mendapat tempat dalam pemeriksaan polis untuk membebaskan kawasan pelancongan itu daripada kegiatan menagih dan penjualan nasjis dadah.

Jangan sampai Tasik Kenyir dianggap sebagai kawasan ‘hitam’ kerana aktiviti penagihan dan penjualan dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu ASP Mohd Haki Hasbullah berkata lelaki berumur 32 tahun berasal dari Permaisuri, Setiu itu diberkas kira-kira pukul 11 pagi ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis.

"Hasil pemeriksaan di badan mangsa kami menjumpai 19 biji pil dipercayai pil kuda dan dua botol plastik lutsinar dipercayai dadah heroin yang disorokkan di dalam sebuah beg, dan kesemua dadah bernilai RM10,000," katanya dalam sidang media, di Hulu Terengganu, semalam.

Katanya serbuan di rumah bot itu dilakukan hasil risikan sejak sebulan lepas dan suspek dipercayai menyasarkan para pekerja rumah bot di kawasan tasik itu untuk menjual dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek yang positif dadah jenis methamphetamine telah menjadikan jeti pengusaha rumah bot sebagai tempat pengedaran dadah sejak setahun lalu.


Suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah direman sehingga 5 September ini untuk siasatan, katanya.