T-Team tetap mempunyai harapan cerah ke final Piala
Malaysia 2016 selepas juara bertahan, Selangor sekadar meraih kelebihan satu
gol selepas menang tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di
Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi separuh akhir
kedua, 15 Oktober ini di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu.
Di Kuala Terengganu, T-Team memerlukan jaringan 1-0 atau
2-1 untuk layak berbekalkan satu gol di tempat lawan.
Pada aksi di Stadium Shah Alam semalam anak buah K
Gunalan berdepan tekanan tersendiri khusunya di separuh masa pertama.
Tampil menguasai perlawanan sebaik wisel sepak mula,
Selangor sempat merekodkan beberapa percubaan menarik menguji benteng
pertahanan lawan.
Selangor hampir menggembirakan penyokong mereka seawal
minit ketiga sepak mula melalui percubaan Patrick Ronaldhinho.
Namun, rembatan lemah penyerang import dari Liberia
berjaya diselamatkan penjaga gol T-Team, Ilham Amirullah Razali.
Pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) diasak pertahanan T-Team, Mohd Asrol Ibrahim (kanan). |
Sepuluh minit berselang, kapten Selangor Andik Vermansyah
turut mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol.
Bagaimanapun, rembatan kencang penyerang dari Indonesia
itu sekali lagi dinafikan penjaga gol skuad The Titans.
Sebaliknya, T-Team yang turut memberi tentangan sengit
tampil mengejutkan penyokong tuan rumah sebaik dihadiahkan sepakan penalti.
Kesilapan pemain pertahanan Selangor mengasari lawan
dalam kotak penalti itu berjaya disempurnakan Patrick Cruz Dos Santos untuk
pelawat mendahului 1-0 di minit ke-22.
Pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar memberikan
sepakan penalti kepada T-Team selepas Muhd. Safawi Rasid dikasari pertahanan
Selangor, Mohd. Bunyamin Umar di dalam kotak penalti. T-Team mendapat suntikan
semangat untuk terus mengasak pertahanan Selangor selepas agak selesa di depan
buat seketika.
Anak buah Rahmad Darmawan tampil mengimbangi penguasaan
jentera serangan Selangor melalui serangan balas pantas. Sayangnya mereka
dilihat mudah hilang fokus.
Banyak umpanan dan hantaran dilakukan pemain pasukan
berstatus kelab dari Terengganu itu dilihat hilang punca dan gagal dibaca
sesama mereka.
Sebaliknya Selangor yang terdesak untuk menyamai
kedudukan terus mengasak dan bijak mengambil kesempatan setiap kesilapan pemain
T-Team.
Selangor kemudian melancarkan serangan bertali arus dan
berjaya meraih gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama perlawanan
menerusi pemain terbaik perlawanan, Ahmad Hazwan Bakri membuka harapan untuk Selangor terus mengejar kemenangan
apabila meledak gol penyamaan di hujung 45 minit pertama.
Kembali dari bilik persalinan, babak masa kedua
menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi lebih agresif dengan kedudukan
terikat 1-1.
Bagaimanapun, nasib lebih berpihak kepada pasukan tuan
rumah. Ugo Ukah memastikan Selangor meraih kemenangan dengan jaringannya sekali
gus membuka harapan meneruskan misi kejuaraan ke-34.
Pemain import dari Nigeria itu menanduk masuk gol
kemenangan hasil hantaran Andik Vermansah pada minit ke-80.
Najib juara musim lepas, Kedah turut menang tipis 2-1 ke
atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada satu lagi aksi separuh akhir
pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar.