Friday, October 28, 2016

Penyelewengan Karpet Masjid di Terengganu, SPRM Buka 35 Kertas Siasatan

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu membuka 35 kertas siasatan berhubung penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di negeri ini.

Pengarah SPRM Terengganu P Ganason berkata kertas siasatan itu kini di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM.

“Kira-kira 30 saksi terdiri daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), orang awam dan kontraktor telah dipanggil bagi membantu siasatan sejak kita mendapat maklumat mengenai kes itu awal tahun ini,” katanya.

SPRM  menerima aduan ini pada April lalu yang mana ia membabitkan pemasangan karpet di 35 masjid dan surau pada tahun lalu.

"Ketika ini, kertas siasatan sudah sudah siap dan kita di peringkat akhir untuk merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Mengenai jumlah penyelewangan itu, ia masih dalam siasatan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pejabat SPRM Negeri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad di Mukim Kubang Parit, dekat Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan Datuk Seri Amer Hamzah Mohd Yunus, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu Ab Hamid Md Daud dan Penasihat Korporat Serada Realty Sdn Bhd Tan Sri Abdullah Taib.

Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata Kerajaan Terengganu tidak akan melindungi mana-mana penjawat awam di negeri ini yang terlibat dalam kes penyelewengan projek pembekalan pemasangan permaidani di masjid-masjid dan surau di beberapa daerah negeri ini.

Beikutan itu beliau mahu rakyat negeri ini memberi sepenuh kepercayaan kepada SPRM  untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung penyelewengan itu.

"Kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan terbuka demi kebaikan kepada semua pihak khususnya rakyat negeri ini.

Tiada apa yang nak disembunyikan (dalam siasatan itu), kita bagi kerjasama kepada SPRM... tak ada istilah kita lindungi sesiapa dalam hal ini.

Bagaimanapun, janganlah pula kita sewenang-wenangnya membuat sebarang tanggapan negatif terhadap kakitangan yang sedang disiasat SPRM itu...ia tidak adil untuk mereka, biar SPRM yang membuat siasatan terhadap kes tersebut, " katanya.

Ditanya tindakan yang bakal dikenakan kepada kakitangan terbabit, Ghazali berkata, ia akan ditentukan oleh ketua jabatan agar perkara itu tidak akan berulang lagi di masa depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama pegawai-pegawai JHEAT pagi esok untuk membincangkan pelbagai perkara serta penambahbaikan dalam prosedur operasi standard (SOP) di jabatan itu.

Beliau  difahamkan isu ini berpunca dari segi teknikal, tiada pemantauan yang betul dan sempurna terhadap projek pemasangan permaidani di masjid dan surau yang terlibat.
Diharap apa sahaja urusan selepas ini akan dilakukan dengan lebih teliti dan telus dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Semalam, media melaporkan Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim sebagai berkata, antara kesalahan dilakukan membabitkan penyelewengan tuntutan keseluruhan bernilai lebih RM1 juta.

Sehubungan itu, kakitangan jabatan itu akan disiasat SPRM kerana tidak membuat semakan dan pemeriksaan sama ada pemasangan permaidani memenuhi kriteria atau sebaliknya.


Mengenai pembinaan kompleks SPRM baharu itu, Ganason berkata ia akan meningkatkan lagi integriti dan imej SPRM sebagai badan yang bertanggungjawab memerangi jenayah rasuah dalam kalangan rakyat.

Bangunan baharu itu merangkumi dua blok bangunan setinggi empat tingkat melibatkan kos sebanyak RM39.1 juta dan dijangka siap pada 3 April 2019.

"Kompleks baharu ini mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk siap dibina berkonsepkan pejabat bestari dan dilengkapi kemudahan pejabat terkini yang sesuai dengan fungsinya sebagai jabatan penguatkuasaan undang-undang pencegahan rasuah," katanya.

Ganeson berkata reka bentuk kompleks baharu itu beridentitikan Terengganu dan diselitkan dengan gabungan identiti moden selain menempatkan keperluan bersesuaian termasuk ruang untuk bersukan dan beribadah.

Sunday, October 23, 2016

Liga Super 2017 – Selamat Berjuang T-Team, Selamat Tinggal Terengganu

Perlawanan T-Team- Kedah di Kuala Terengganu semalam.
Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bermain dalam Liga Perdana musim depan selepas masing-masing tewas dalam perlawanan ter­akhir Liga Super 2016 malam tadi.

Selepas mengharungi 22 perlawanan, Terengganu berada di tangga tercorot liga dengan mengumpul 19 mata, manakala PDRM menutup kempen musim ini dengan 21 mata.

Terengganu membuat penampilan pertama di Liga Super pada tahun 2007 dan pencapaian terbaik pasukan dari Pantai Timur itu ialah muncul naib juara pada musim 2011.

Pahang antara pasukan yang dilihat bakal turun pangkat pada musim depan terselamat gara-gara ‘bantuan’ Kedah selepas mendapat tiga mata percuma ekoran Kedah menurunkan pemain yang masih digantung dalam perlawanan liga pada 3 Ogos lalu.

Pulau Pinang dan Sarawak diselamatkan oleh ja­ringan pada penghujung perlawanan.

Pasukan berstatus kelab T-Team semalam gagal menamatkan saingan Liga Super dengan meraih kemenangan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Penyokong Pulau Pinang bergembira selepas tewaskan Terengganu 1-0.
Pulau Pinang, yang berada di tempat kedua terakhir sebelum perlawanan semalam  me­mintas ke kedudukan ke-10 untuk terselamat daripada ter­singkir ke divisyen dua tahun depan apabila menewaskan pa­sukan tercorot Terengganu 1-0 di Stadium Bandaraya.

Ia dibuat  menerusi jaringan Mohd. Faizat Ghazli pada minit ke-88.

Sarawak, yang sebelum ini turut berada dalam kalangan empat pasukan di zon penying­kiran, turut selamat apabila menundukkan PDRM 2-1 di Stadium Negeri.

Gol Sarawak diperoleh menerusi Gilmar da Silva pada masa kecederaan babak pertama dan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-86.

Jaringan tunggal PDRM dihasilkan oleh Guilherme de Paula pada minit ke-26.

Sementara itu, masa dua tahun yang ditetapkan untuk kembali ke kancah Liga Super berjaya dicapai oleh pasukan PKNS FC yang mengesahkan status mereka untuk mengekori jejak Melaka United selepas muncul naib juara Liga Premier pada musim ini.

Pemain pertahanan import Sarawak, Teah Baysah Dennis (tengah) menghalang pemain PDRM pada aksi terakhir Liga Super di Kuching malam tadi.
Sebagai rekod, pasukan berpangkalan di Selangor itu telah tersingkir daripada pentas Liga Super pada musim 2014 dan hanya mampu menduduki tempat keempat Liga Premier musim lepas.

Pada pertemuan T-Team dan Pahang di Kuala Terengganu, kem pelawat terlebih dahulu mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan awal, Dinesh Rajasingam, namun berjaya dinafikan penjaga gol T-Team, Wan Muhammad Azraie Wan Teh pada minit keempat.

Pahang mendapat gol pada minit ke 26 melalui  penyerang import,  Faysal Shayesteh yang berjaya apabila meledakan gol pembukaan hasil percubaannya dari luar kotak penalti untuk memastikan Tok Gajah selesa di depan.

Tuan rumah yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan bagaimanapun gagal melepasi benteng pertahanan Pahang sehingga membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Kerja keras skuad kendalian Rahmad Darmawan itu akhirnya tertunai apabila Patrick Dos Santos berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 sekaligus menceriakan 509 penyokong skuad The Titans yang hadir menyuntik semangat kem T-Team.

T-Team yang terus semangat untuk mencari jaringan penyamaan akhirnya sekadar berpuas hati dengan keputusan seri dalam menutup tirai saingan Liga Super sehingga tamat permainan.

Kelantan pula seri 2-2 dengan Perak yang bermain dengan 10 orang di Stadium Sultan Muhammad IV dan menepati sasaran meraih tempat keempat carta Liga Super.

Anak buah Velizar Popov meraih tempat keempat dalam kedudukan carta Liga Super dengan mengumpul 29 mata.

Pemain Kelantan, Blazhe Ilijoski (kiri) dihalang pemain Perak, Mohd Raffi Nagoorgani semalam.
Sementara itu, hasrat Sela­ngor untuk meraih motivasi awal menjelang final Piala Malaysia hujung bulan ini tidak kesampaian selepas tewas di Stadium Shah Alam kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), yang sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super menerusi perlawanan ke-20, awal September lalu.


Harimau Selatan terus me­ngaum dengan rekod tanpa kalah musim ini menerusi ja­ringan penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz dan Amri Yahyah, masing-masing pada minit ke-65 serta 77, manakala gol tunggal Red Giants disumbangkan oleh Hazwan Bakri pada minit ke-71.

Melaka United yang sudah pun bergelar juara Liga Perdana musim ini sekadar melengkapkan jadual terakhir saingan divisyen kedua itu de­ngan mengikat pasukan tercorot Sime Darby FC 1-1 di Stadium Hang Jebat.

Apapun pencapaian semalam, kedua-dua pasukan bola sepak Terengganu semalam, mereka akan dikekalkan dan diberi sentuhan baharu bagi menghadapi perlawanan musim depan.

Baru-baru ini Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keputusan itu diambil setelah berpuas hati dengan pencapaian pasukan The Titans yang berjaya melangkah ke separuh akhir saingan Liga Malaysia musim ini.

Ahmad Razif berkata pasukan T-Team perlu dikekalkan dan pastikan pasukan ini diberi peluang untuk diperkemaskan lagi bagi menghadapi saingan liga dan Piala Malaysia tahun hadapan.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah baru-baru ini  menyaksikan pasukan Selangor meleburkan impian T-Team untuk melangkah ke peringkat akhir selepas menang 3-0 ke atas pasukan tuan rumah.

Ahmad Razif yang kini memangku jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam pada itu berkata rombakan dan penstrukturan semula pasukan Terengganu FA akan dilakukan bagi memantapkan lagi pasukan itu yang prestasinya merudum musim ini.


PBSNT kini dalam rundingan terakhir bersama pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim bagi jawatan jurulatih baharu skuad Penyu musim depan dan keputusan mengenainya akan diketahui dalam waktu terdekat.