Soalan mudah - siapa luluskan projek ini?
Yang lain terserah. Integriti kerajaan tercabar.
Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 menyebut, syarikat diluluskan Kementerian Kewangan
Malaysia (MOF) sebagai kontraktor pembinaan Pusat Servis Teknikal (STC)
Penyelenggaraan dan Pembaikan Pesawat Sukhoi (SU-30MKM) di Pangkalan TUDM Gong
Kedak, Terengganu dengan nilai kontrak RM71.49 juta secara reka bina, tidak
mempunyai pengalaman kerja.
Tan Sri
Ambrin Buang berkata, Syarikat Pembenaan Setia Jaya Sdn Bhd (SPSJ) tidak mempunyai
pengalaman kerja berkaitan projek pembinaan insfrastruktur bagi penyelenggaraan
pesawat.
“Semakan audit terhadap profil syarikat SPSJ melalui
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terkini menunjukkan kerugian selepas cukai
bagi penyata kewangan syarikat bagi tahun berakhir Jun 2014.
“Pemilihan kontraktor yang tidak berkelayakan menyebabkan
projek pembinaan STC mengalami kelewatan dan gagal disiapkan dalam tempoh
ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ambrin berkata semakan audit mendapati,
Jawatankuasa Penilaian Tender mengesyorkan 7 petender daripada 9 sebagai
petender yang berjaya dengan alasan ia menawarkan harga terendah, tidak
mempunyai kerja semasa, menawarkan tempoh siap kerja (78 minggu) dalam tempoh
maksimum ditetapkan dan mempunyai modal mencukupi.
“Mesyuarat Lembaga Perolehan A, JKR pada November 2013
tidak sebulat suara dengan pengesyoran ini dan memutuskan ia dikemukakan kepada
MOF untuk memuktamadkan keputusan pelantikan kontraktor.
“Pada Disember 2013, MOF tidak bersetuju dengan pemilihan
SPSJ sebagai kontraktor dan mengarahkan projek pembinaan STC ditender semula
secara tender terbuka pra kelayakan.
“Pada tarikh yang sama JKR juga memohon kelulusan MOF
untuk menyelesaikan pelaksanaan projek ini dengan memperakukan kontraktor yang
disyorkan Jawatankuasa Penilaian Tender. Ia dipersetujui MOF,” katanya.
Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2, menambah, pada pendapat Jabatan Audit, projek
berkenaan sepatutnya ditender semula selepas semua syarikat gagal dalam
penilaian tender terhadap projek STC.
“Alasan kesegeraan projek tidak seharusnya dijadikan
sebab untuk melantik syarikat tidak berkeupayaan menjalankan projek yang
akhirnya menyebabkan projek gagal diteruskan.
Menurut laporan, objektif pemilihan kontraktor secara
tender adalah bagi memastikan hanya kontraktor berkelayakan dan berpengalaman
sahaja terlibat. Tiada syarikat tanpa kelayakan dipelawa menyertai tender dan
seterusnya dipilih melaksanakan projek.