Monday, January 30, 2017

PAS Tawarkan Menu ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’ Untuk Rakyat


PAS sudahpun mengumumkan menu kepada rakyat Terengganu untuk datang makan dan menyokong restoran mereka.

Kali ini menu atau hidangan paling istimewa yang ditawarkan oleh PAS untuk pengguna di Terengganu ialah  “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”.

Menu ini mulai dipamerkan sejak kelmarin (28 Januari 2017) sehinggalah menjelang Pilihan Raya Umum (PPRU) ke-14 akan datang.

Apakah rakyat Terengganu akan datang untuk menikmati sajian berkenaan?

Menurut pengurus restoran (Pesuruhjaya PAS Terengganu) Satiful Bahri Mamat menu itu dianggap paling menarik dan sesuai untuk rakyat Terengganu dengan beberapa isu yang menyentuh hati rakyat akan digabung-jalingkan.

Sebagai parti berteraskan Islam, sudah pasti menu PAS tidak akan lari daripada asas perjuangannya, iaitu isu agama.

“Ia masih lagi dianggap penting kerana dasar perjuangan sejak dari dahulu lagi bagi menegakkan syariat Islam.

“Ada beberapa isu yang perlu kita gabung-jalinkan. PAS ini dasar kita dari dahulu, untuk menegakkan Islam. Isu agama masih lagi menjadi isu penting, “ tegasnya.

Kerana itu, menurutnya, menu utama (tema) yang akan PAS  utarakan dalam manifesto menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, akan datang ialah “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”.

“Berkat merupakan salah satu elemen yang kita menterjemahkan dasar dan prinsip perjuangan kita (PAS) untuk mencari keberkatan di sisi Allah SWT.

“Maju dan sejahtera di dunia ini dan juga untuk mendapat keberkatan di sisi Allah Ta’ala,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Isu anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paka menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang merupakan satu komitmen PAS.

ia penting kerana RUU Akta 355 itu merupakan isu agama yang melibatkan dasar serta prinsip perjuangan PAS.

Menurutnya, kerana mempertahankan dasar dan prinsip tersebut menjadi salah satu punca terputus hubungan PAS dengan DAP.

“Isu-isu agama di peringkat nasional seperti Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ini yang dibawa oleh Presiden PAS (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) menggambarkan komitmen PAS, dasar-dasar (Islam) apabila kita telah memutuskan hubungan dengan DAP,” tegasnya.

“Bukan faktor kerusi atau bukan faktor Putrajaya tetapi faktor betapa PAS ini berpegang kepada dasar dan prinsip dia, Islam sebagai matlamat perjuangan.


Apabila ada pertembungan dengan prinsip kita…kita tetap berpegang dengan prinsip kita,” tegasnya di hadapan peserta taklimat tersebut.