Razali, Ketua Penaja PPBM Kuala Nerus. |
Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggotai
bekas pemimpin UMNO tidak menjadi ancaman kepada Barisan Nasional (BN) untuk
memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Berita Harian memetik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad
Razif Abd Rahman dilporkan berkata, penubuhan parti itu membuktikan amalan demokrasi
masih subur di negara ini walaupun PPBM akan menentang calon BN pada PRU akan
datang.
Kelmarin, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Razali Idris yang dilantik sebagai Ketua Bahagian PPBM di Kuala Nerus merasmikan penubuhan parti itu di bahagian tersebut.
Ahmad Razif yang juga Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus berkata bekas pemimpin parti itu yang secara
keseluruhannya pernah memegang jawatan utama di peringkat negeri dan bahagian
tidak berlakon, sebaliknya berterus terang dan mengisytiharkan menyertai serta
menubuhkan parti itu.
"Walaupun saya dimaklumkan PPBM akan meletakkan calon
untuk bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan kerusi
Parlimen pada PRU akan datang, tetapi BN negeri menganggap kehadiran pemimpin parti
itu bukanlah satu ancaman.
"Semua pengundi di negeri ini kenal dan tahu punca
bekas pemimpin BN itu menyertai parti PPBM, termasuk ketua bahagian parti itu
di Kuala Nerus," katanya ketika diminta mengulas mengenai penubuhan parti
itu di semua bahagian di negeri ini.
Berita Harian difahamkan, pemimpin utama PPBM di peringkat
bahagian sudah mengenal pasti calon dari parti itu untuk bertanding di 32
kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang.