Tuesday, April 11, 2017

Sekadar Usul, Tunggulah Keputusan Muktamar PAS...


Jalan tetap ada untuk PKR dan PAS berbaik semula.

Segala-galanya bergantung kepada Muktamar Tahunan PAS Kali ke-64 yang dijadualkan berlangsung 28 April hingga 1 Mei ini.nanti.

Bagaimanapun, siapa tidak terkilan apabila cadangan timbul, iaitu usul dibawa PAS Kawasan Kuala Terengganu bagi mendesak PAS Pusat memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Usul dibuat oleh  PAS Cawangan Kampung Padang dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-42 di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menyifatkan usul itu sebagai usaha menggagalkan usaha pembangkang menggantikan BN pada PRU14.

Menurut Azan, pembangkang termasuk PAS tidak sepatutnya menzahirkan perkara yang boleh menampakkan kelemahan atau perpecahan sesama parti,

Ini kerana keadaan ketika ini sangat genting dalam keadaan negara bakal berhadapan pilihan raya.

Pembangkang termasuk PAS sepatutnya perlu memberi tumpuan menumbangkan kerajaan BN dengan menyusun strategi memperkuatkan pembangkang.

“Kalau perkara itu (usul) datang daripada ahli PAS, pemimpin PAS, saya anggap itu dalaman mereka. Terpulang!

Saya nasihatkan bahawa ini adalah masa memperkukuh susun atur dan sebagainya untuk tujuan tawan Malaysia yang perlu dilakukan oleh pembangkang.

“Cara tawan bukan tunjuk kita bergaduh, berpecah belah. Itu formula kelemahan bukan kekuatan,” katanya kepada Sinar Harian, di Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau engulas mengenai PAS Kawasan Kuala Terengganu mendesak PAS Pusat memutuskan kerjasama politik atau tahalluf siyasi dengan PKR.

Azan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata pihaknya tidak emosi dengan tindak-tanduk PAS Kawasan Kuala Terengganu yang membawa usul tersebut.

Apa yang penting PKR  sedang menyusun strategi ke arah memantapkan pembangkang sambil meminta pemimpin PAS memikirkan kaedah sama menguatkan pembangkang bagi menggantikan BN di negeri ini bukan membawa isu yang melemahkan keyakinan rakyat menyokong pihak terlibat.

“Kita harap pemimpin PAS berfikir. Kita tidak mahu masuk campur tetapi saya harap parti yang lama bertapak di Terengganu matang dan cukup menilai macam mana untuk menang di Terengganu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menganggap usul tersebut menunjukkan kemungkinan terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan ahli PAS yang cukup bijak menilai bahawa usaha menjatuhkan BN tidak boleh dilakukan secara sendirian.

Jelasnya, dalam keadaan negara bakal berhadapan pilihan raya, sudah tentu pembangkang perlu meletakkan keutamaan untuk memastikan kekalahan BN.

“Tetapi kalau kita letak prioriti kita untuk berpecah, kita sebenarnya beritahu pengundi yang pembangkang belum sedia. Kalau pembangkang belum sedia, bermaksud memberitahu pembangkang tidak sedia jadi kerajaan," tegasnya.

Bagi Azan adalah amat  malang dan sedih kepada rakyat Terengganu yang berharap ada perubahan sebaliknya pembangkang meraikan untuk tidak memantapkan dalaman sesama sendiri.