Friday, June 2, 2017

BN Terengganu Gagal Kemuka Calon MB Berkaliber Selepas PRU14...


“Siapa yang akan menggantikan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang kini dilihat ‘Berat 66’ dan ‘Tok Rok Cetong’ atau pemimpin yang  tidak berdaya dan berupaya mentadbir dan menguruskan negeri dengan baik.”

Analisis oleh Hambali Abdul Latiff

Tiada siapa boleh menolak pendapat bagi mengatakan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kedah pada pilihan raya umum 2013 kerana faktor Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Keberanian Barisan Nasional (BN) meletakkan Mukhriz sebagai ikon politik Kedah untuk menjadi Menteri Besar jika BN menang adalah tindakan berani yang jarang dilakukan BN.

Dengan kedudukan di mana Kedah bercelaru kerana kepimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang tidak menunjukkan hala tuju pembangunan dan pentdabiran diharapkan – selain beliau tidak sihat – menyebabkan BN mampu menawan Kedah.

Ini bermakna, untuk rakyat teruja dengan parti dan kepimpinan negeri selepas pilihan raya, calon Menteri Besar mestilah diketengahkan sebelum pilihan raya umum.

Meletakkan Mukhriz sebagai ikon politik di Kedah adalah formula terbaik yang kini dilihat menjadi formula sama sama ada mengekalkan BN atau menjatuhkan BN di Terengganu.

Jadi bagaimana keadaannya di Terengganu?

Kenapa dikaitkan kes Mukhriz dengan Terengganu? UMNO/BN bukannya mahu menawan daripada pembangkang.

Ya benar Terengganu diperintah oleh BN.

Tetapi hakikatnya negeri ini kini bagaikan sudah berada ‘di tangan pembangkang’ apabila kepimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dilihat tidak bermaya.

Tiada siapa boleh menafikan bahawa Terengganu hanya gah dengan slogan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) tetapi apa yang ‘ditransformkan’ dipersoalkan dan apa yang baru tidak dirasai oleh rakyat.

Juga kepimpinan Ahmad Razif dikritik hebat kerana tiada perancangan dan pengenalan pembangunan yang sesuai dengan kepentingan rakyat, termasuk mencipta pekerjaaan untuk orang muda.


Sama ada secara terbuka atau melalui kumpulan WhatsApp, Ahmad Razif kini dilihat begitu 'kecil' dan paling gagal berbanding menteri-menteri besar sebelumnya.

Banyak isu pembangunan dan ekonomi selain isu politik yang jelas wujud pertelingkahan dalaman selepas serangan hebat Datuk Seri Ahmad Said terhadap Ahmad Razif dengan meminta beliau meletakkan jawatan.


Selain itu penarikan pingat kebesaran terhadap Ahmad Razif turut menjejaskan reputasi beliau dan walaupun pingat dipulangkan, persoalan kenapa pingat ditarik belum terjawab. Pingat dipulangkan juga tetapi menjadi persoalan, kenapa?

Isu penting ialah siapa calon Menteri Besar yang dapat ‘membangunkan semula’ Terengganu yang masih menjadi negeri mundur, walaupun hasil petroleum diserhakan kepada negeri itu mencecah puluhan billion ringgit?

Cakap-cakap di Terengganu kini ialah rakyat memerlukan Menteri Besar yang mampu membuat perancangan dan menguruskan ekonomi negeri dengan baik, bukan yang 'Berat 66' dan 'Tok Rok Cetong'.

Dengan kata lain Ahmad Razif kini selain dilihat  ‘Berat 66’ dan ‘tok rok cetong’ atau tidak berdaya dan berupaya mentadbir negeri dengan baik, beliau juga kroni ketat Perdana menteri.

 Siapa akan menggantikan beliau? Apa yang berlaku di Terengganu?

Kedudukan Menteri Besar sekarang, Ahmad Razif kini goyah dan dilihat hanya ‘proksi buta’ Datuk Seri Najib Razak.

Beliau hanya penjaga kepentingan Najib dalam semua perkara di Terengganu dan tidak ada dalam kepalanya selain menjamin dirinya dan Najib selamat.

Selamat Najib selamat Ahmad Razif, namun selamat Ahmad Razif belum tentu Najib selamat.

Ghazali...eskutu Ahmad Said
Kedudukan ini menyebab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain seramai 16 itu berada dalam kedudukan tidak selesa dan bimbang akan digugurkan atau kalah pilihan raya dengan tumpuan Ahmad Razif kepada dirirnya dan kepentingan diri dan konco-konconya sahaja.

Rakyat Terengganu tahu Ahmad Razif ada duit. Dengan duit ini dia akan mencaturkan BN berdepan pilihan raya. Malah, dengan bangganya beliau mengatakan dengan wang dia ada dia berkuasa menentukan calon untuk pilihan raya.

Tetapi apakah duit untuk segalanya?

Pertanyaan juga apakah Ahmad Razif akan kekal senarai Menteri Besar jika beliau dan BN menang sekali lagi?

Dan jika beliau diselamatkan Najib dan dibawa ke Putrajaya jika BN berjaya memerintah semula, siapa akan menggantikan beliau sebagai Menteri Besar?

Sehingga kini BN Terengganu tidak menunjukkan sesiapa walaupun ada beberapa nama disebut-sebut daripada kalangan ADUN sedia ada dan tokoh-tokoh baru yang mungkin diletakkan sebagai ADUN bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Isunya sekarang , apakah BN berani mengemukakan calon Menteri Besar yang baru menggantikan Ahmad Razif dalam kedudukan beliau sendiri jelas mahu meneruskan ‘tugasnya yang beliau selesai’ di Terengganu?

Apakah Ahmad Razif sanggup tinggalkan projek-projeknya yang besar, termasuk pembangunan Bandar Baharui Seberang Takir, projek perumahan yang diserahkan kepada syarikat China, pembangunan bandar Kuala Terengganu yang diserhkan kepada syarikat China dan banyak lagi?

Jika Ahmad Razif tinggalkan separuh jalan, projek mungkin terbengkalai dan akan ada banyak masalah timbul, termasuk siasatan atau penilaian semula terhadap kelulusan projek dan perbelanjaan yang diperuntukkan.

Ahmad Razif tidak mahu perkara sama berlaku seperti Datuk Seri Ahmad Said mempertikaikan projek pembangunan dilaksanakan oleh Datuk Seri Idris Jusoh apabila beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar.
Mohd Jidin...ancaman kepada Ahmad Razif?

Kalaupun Ahmad Razif  bersetuju ke Putrajaya selepas PRU14, siapa yang akan mengganti beliau dan ‘patuh kepada kehendaknya di negeri’ agar kepentingan beliau tidak terjejas dan dilondehkan?

Atau sekurang-kurangnnya calon itu mestilah ‘orang rapat dengan Najib’ agar kepentingan Najib dan Ahmad Razif dapat dijamin berterusan.

Rasanya nama-nama seperti Datuk Mohd Jidin Shafee (ADUN Permaisuri) dan Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut) serta Datuk Tengku Putera Tengku Awang (ADUN Kuala Berang) antara yang pertama sengaja dihilangkan daripada radar Menteri Besar sebelumpun  PRU14.

Sementara Ghazali Taib dan Roslee Daud akan lenyap lebih awal. Rakyat Terengganu tahu punca utamanya.

Maka timbullah kumpulan ADUN lain seperti Muhammad Pehimi Yusof (ADUN Jerteh yang dikatakan akan bertanding di DUN Kota Putera), Wan Hakim Wan Mokhtar (Air Puteh), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (Kuala Besut yang dikatakan mungkin akan ke Parlimen Besut) , Mohd Iskandar Jaafar (Jabi) dan juga Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit).

Tiga  lagi yang dilihat benar-benar berpotensi ialah A Latiff Awang (ADUN Pengkalan Berangan), Datuk Sabri Mohd Noor  (ADUN Langkap) dan Datuk Rozi Mamat (ADUN Telemong).

Sabri dikatakan sudah meletakkan politiknya di ‘gear rendah’ kerana masalah kesihatan yang dihadapi beliau.

Persoalannya berapa ramai daripada mereka akan bertanding semula atau akan menang pada PRU14?
Jailani Johari...ke DUN kuala Berang?

Daripada kesemua itu rasanya yang berpotensi menang untuk menjadi Menteri Besar ialah Rozi serta Wan Hakim. Mohd Jidin mungkin menang tetapi dilihat sudah lanjut usia dan kesihatan yang kurang memuaskan.

Namun, apakah Rozi dan Wan Hakim merupakan calon terbaik untuk Menteri Besar Terengganu selepas ini?

Lantas timbul pertanyaan, apakah calon baru yang disebut-sebut akan dikemukakan oleh BN untuk bertanding pada PRU14 akan merupakan antara calon Menteri Besar?

Dikatakan Datuk Jailani Johari yang kini Ahli Parlimen Hulu Terengganu akan bertanding DUN Kuala Berang, Mohd Sabri Alwi dikatakan akan bertanding di DUN Ladang serta Datuk Jailani Ngah di DUN Batu Rakit akan menjadi saingan kepada Rozi dan Wan Hakim?

Dengan berita kononnya Istana Terengganu mahukan  Menteri Besar selepas ini daripada kalangan orang dari daerah atau dalam Parlimen Kuala Terengganu, apa pilihan yang UMNO Terengganu ada?

Untuk rekod, Parlimen Kuala Terengganu dimenangi semuanya oleh pembangkang di mana tiga DUN Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam oleh PAS dan Bandar oleh PKR.

Jadi untuk ada calon MB jika BN memerintah semula Terengganu, mesti ada ADUN UMNO/BN dari Kuala Terengganu untuk melayakkan apa yang ‘dikehendaki oleh istana Terengganu’ itu.

Namun persoalannya  apakah jika ada calon yang menang dari Kuala Terengganu yang diketengahkan UMNO/BN, mereka akan mendapat perkenan Istana Terengganu untuk menjadi Menteri Besar?

Mohd Sabri dan Zahid pada satu majlis.
Terengganu kini dilihat bagai ‘telur di hujung tanduk’ dan kerana itu Perdana Menteri dan Timblananya asyik datang ke Terengganu untuk menjamin UMNO/BN Terengganu tidak tumpas.

Mereka perlu ‘menggerakkan sendiri UMNO/BN’ yang dilihat longlai melalui kepimpinan Ahmad Razif.

Dengan gagalnya  UMNO/BN Terengganu mengemukakan calon Menteri Besar selepas PRU 14 bermakna UMNO/BN tiada hala tuju yang jelas.

Kegagalan ini juga menjawab kebimbangan rakyat bahawa walaupun Terengganu sebagai negeri agak kaya tetapi rakyatnya rata-rata masih miskin dan memerlukan kepimpinan yang hebat untuk memajukan Terengganu.

Jangan salahkan rakyat jika mereka menolak UMNO/BN kerana gagal mengemukakan ‘naskhoda’ untuk bangunkan Terengganu dan menjamin rakyatnya kea rah kehidupan yang semakin makmur.

Harapkan Menteri Besar yang ‘Berat 66’ dan ‘Tok Rok Cetong’ sekarang umpama menguburkan UMNO/BN walaupun sebelum PRU14.

Kini rakyat sudah faham dan tahu menilai siapaya selayaknya menerajui Terengganu selepas PRU14 nanti!!!