Awal tahun ini beberapa blog, termasuk blog di Terengganu
pernah mendedahkan bagaimana syarikat MonSpace (M) Sdn Bhd diberikan layanan
istimewa oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan
kerajaan negeri.
Monspace dan pengasasnya, Jessy Lai mendapat layan 'permaidani merah' di Kuala Terengganu pada majlis makan malam Visit Beautiful
Terengganu 2017 (VBT 2017), 2 Januari lalu.
Malah dikatakan Monspace bergerak cergas mengutip ‘saham
cepat kaya’ di beberapa daerah di Terengganu dengan menjual nama Menteri Besar
dan kononnya mendapat restu kerajaan negeri.
Juga dilaporkan ada anak seorang EXCO Kerajaan Negeri
turut bekerjasama dengan Monspace untuk beberapa ‘projek di Terengganu’ dan
dikatakan mendapat restu kerajaan negeri.
Blog ini tidak dapat mengesahkan dakwaan itu namun ia
tetap menjadi percakapan awam,, termasuk beberapa pemimpin Cina di Kuala
Terengganu.
Hari ini seramai 71 warga China datang ke Malaysia
mendakwa menjadi ‘mangsa’ MonSpace dan pengasasnya, Jessy Lai dan menuntut
bayaran balik wang yang mereka laburkan.
Laporan menyebut polis akan menyiasat MonSpace (M) Sdn
Bhd selepas laporan polis dibuat ke atas syarikat skim pelaburan itu, kata
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Polis dan Bank Negara dalam proses mengumpul bukti untuk
tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman pagi ini.
Beliau diminta mengulas mengenai 71 warga China yang
membuat laporan polis terhadap MonSpace di Balai Polis Bukit Jalil semalam
selepas mendakwa wang simpanan mereka ditipu.
Khalid juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak
melabur dalam mana-mana skim yang menjanjikan pulangan lebih 16% setahun.
“Orang ramai perlu berhati-hati dengan skim tersebut.
Tidak mungkin sesebuah skim itu mampu membuat begitu banyak keuntungan,”
katanya.
Semalam, 71 warga China mendakwa mereka adalah “mangsa”
MonSpace dan pengasasnya, Jessy Lai dan menuntut bayaran balik wang yang mereka
laburkan.
Dalam laporan polis, mereka mendakwa tidak menerima 500%
pulangan yang dijanjikan Lai dalam tempoh 6 bulan.
Mereka melabur dalam MonSpace sejak November tahun lepas.
Sebelum itu, mereka pergi ke pejabat MonSpace di Bukit
Jalil untuk bertemu Lai dan mendapatkan balik duit mereka.
Mereka berkata telah melabur sebanyak $10,000-100,000
renminbi (RM6,260-RM62,600) dalam MonSpace.
Mereka memberitahu pemberita, mereka datang jauh dari
China semata-mata untuk berjumpa Lai tetapi percubaan mereka sia-sia.
(Sumber asal FMT)