Oleh Haji Yahaya Ali
Timbalan Pesuruhjaya 3 Badan Berhubungan PAS Negeri
Terengganu.
Sudah lama saya menahan diri untuk tidak respons kepada
komen dan tohmahan serta fitnah yg dilemparkan kepada PAS yang saya yakin
sebagai satu-satunya wadah perjuangan Islam atas ‘platform’ parti politik dalam
negara ini yang sama-sama kita cintai.
Saya fikir kerja menjawab seumpama ini
hanya padan dijawab oleh ‘geng-geng’ nakal pemuda yang ramai sokong PAS
sekarang ini. Tetapi memikirkan ‘addinu nasihah’ dan atas dasar sayang kepada
kawan-kawan kita, perlu jugak sekali sekala ada penjelasan supaya kita tidak
menempah ‘dosa kering’ akibat mainan politik persepsi.
Kebetulan saya duduk dalam jawatankuasa program FASTAQIM
2.0 ini yang memang dirancang daripada awal dibuat di Terengganu.
Program-program besar PAS memang diputuskan di tempat yg berlainan menjelang
PRU14 termasuk FASTAQIM 1.0 diadakan di Kelantan dua tahun lepas sementara Muktamar
PAS Pusat di adakan di Kedah pada tahun ini.
Sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang
besar, PAS berhasrat melalui program ini dapat mengumpul kekuatan ahli dan
penyokongnya dan membina solidariti serta suntikan semangat di tengah-tengah pelbagai
fitnah yang dahsyat, seolaholah PAS sudah terkeluar dari arus politik perdana
dan tidak mendapat tempat lagi di hati masyarakat.
Berapa ramai jumlah tepat yang hadir dalam himpunan ini
tidak perlu dibahaskan, biar gambar berbicara. Kami pun tidak berminat untuk
komen berapa ramai pula yang hadir program PH di Terengganu yang turut dihadiri
oleh Wan Azizah, Rafizi dan lain-lain, yang dibuat pada tarikh yang sama dengan
program FASTAQIM 2.0.
Kami juga tidak mahu komen berapa ramai yang hadir dalam
program ‘Jom Heboh’ yang diadakan pada tarikh yang sama. Apa yang jelas,
ratusan ribu orang yang hadir dalam program FASTAQIM 2.0 ini hampir 80 peratus
adalah terdiri daripada anak-anak muda yang datang dari seluruh negara.
Dalam media sosial ditularkan pelbagai komen,
perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mengambil sumber maklumat yang tidak
tepat tentang program ini. Apa perlunya disiarkan gambar-gambar orang buang
najis di tempat lain dan sampah yang belum dikutip sebagai ukuran dalam membuat
penilaian program ini? Apa perlunya orang yang datang ke program ini
digambarkan adalah ‘dibayar dan ditaja’ serta semacam dipaksa untuk menderma?
Kalau kita tidak suka kepada sesuatu perjuangan atau parti
politik tertentu tidak menjadi masalah. Ini negara demokrasi. Tetapi kalau kita
berlagak serba tahu dalam soal dalaman sesuatu parti lain dan cuba menyebarkan
sesuatu yang tidak benar kepada masyarakat menggambarkan seberanya kita ada
penyakit dalaman. Penyakit seumpama ini kalau tidak cepat berubat mudah melarat
dan sukar untuk disembuhkan. Lebih parah lagi kita tidak tahu yang kita sedang
sakit. Kita harap kawan-kawan kita yang sudah masuk umur warga emas tidak
terikut-ikut dengan rentak ini. Biarlah hidup kita di penghujung hayat ini kita
pakat doa dikurniakan Allah dengan pemikiran yang sihat dan banyak buat amalan
kebajikan sebelum berjumpa dengan Allah nanti.
Kawan-kawan kita yang pakar dalam bidang ‘costing’ boleh
buat anggaran berapa banyak bajet yang perlu disediakan untuk kemudahan kepada
pengunjung program ini – kos kebersihan tempat yang asalnya tidak terurus
seluas 50 ekar di tepi pantai, bekalan air, elektrik, 60 buah tandas, tempat
solat, beratus buah kanopi (pentas utama, VIP, lebih 200 gerai), ‘sound
system’, bekalan makanan untuk petugas dan VIP dan pelbagai perbelanjaan lain
termasuk beribu orang petugas Jabatan Amal menguruskan lalu lintas beribu buah
kereta, beratus buah bas dan tidak terkira bilangan motosikal menggantikan
khidmat polis. AlhamduliLlah sebahagian besar perbelanjaan ini banyak didapati
secara percuma atau dapat diskaun yang besar dan juga tajaan hadiah dalam
pelbagai sukan dan riadhah serta pertandingan termasuk sukan air seperta jet
ski, memancing dan sebagainya.
Dari dahulu hingga sekarang para pendokong PAS diajar
dengan semangat pengorbanan yang yang tinggi, yang membiayai program seumpama
ini dari duit poket mereka sendiri dengan kadar dan kemampuan masing-masing,
walaupun sebahagian besar mereka sudah berbelanja dari segi kos pengangkutan,
tempat tinggal dan makan minum sepanjang dua hari mereka berada di sini. Tak
perlulah dibuat fitnah sumbangan mereka kerana dipaksa atau dimanfaatkan untuk
kepentingan lain seperti kepentingan hidup mewah pemimpin dan lain-lain!
Program ini pada asasnya adalah program dalaman PAS
dengan pelbagai pakej termasuk sidang meja bulat beratus buah NGO, himpunan
dan pelancaran jentera pilihanraya di peringkat Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan
Dewan Muslimat serta pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai
asas pemerintahan Islam selain daripada ucapan pimpinan parti dan NGO. Turut
menghibur pengunjung program ini dari beberapa selebriti terkenal termasuk Zul
Handyblack, kumpulan Hijaz dan lain-lain.
Tidak wujud yang dikatakan ‘senarai rasmi’, mereka yang
akan diisytiharkan masuk PAS sebagaimana didakwa. Yang timbul ialah soalan
wartawan apabila ditanya kemungkinan ada orang yang diisytiharkan masuk PAS.
Memang jawapannya mungkin ada atau sebaliknya. Kita tidak mahu tuduh siapa yang
buat kerja menyediakan senarai lengkap mereka yang akan masuk PAS untuk
disebarkan.
Cuma dalam ilmu ‘perang saraf’ memang biasa ia dilakukan
bagi mereka yang mahu mencipta sesuatu isu, dikaitkan dengan satu-satu pihak,
kemudian menuduh pula pihak berkenaan berbohong apabila tidak mengikut skrip.
Pada kami kehadiran orang seperti Mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid
Ibrahim, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Dato’ Huan Cheng Guan, bekas
pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato’ Seri Zakaria
Jaafar dan beberapa pemimpin NGO di atas pentas PAS sudah cukup bermakna.
Saya tak nampak apa yang negatif sangat program FASTAQIM
2.0 ini. PAS bukan sahaja mempromosikan’Tahun Melawat Trerengganu’ tetapi
membawa masuk ratusan ribu pelancong dari seluruh negara yang berbelanja di
sini sempena program ini. Mereka bukan sahaja ‘membeli belah’ di pantai Tok
Jembal tetapi di premis perniagaan lain di sekitar Kuala Terengganu. Beratus
orang peniaga gerai dapat rezeki yang banyak sementara suasana kawasan
persekitaran menjadi lebih bersih, ceria dan sedap mata memandang selepas
program.
PRU14 hampir menjelang tiba dan parti-parti politik
samada secara berseorangan atau dalam pakatan kena buat kerja masing-masing
untuk kalahkan UMNO/BN. Yang rakyat nak tengok ialah kekuatan kepimpinan
bersama polisi serta rangka kerja parti masing-masing untuk membela kepentingan
rakyat. Kalau kita rasa kita kuat tak perlulah perlekehkan pihak lain. Kita
berdiri atas kekuatan kita sendiri bukan bergantung kepada ‘serangan negatif’
kepada pihak lain.
PAS akan terus istiqamah agenda politik matang dan
sejahtera dan tidak akan sekali-kali mengadakan pakatan politik dengan UMNO
dalam PRU14 ini walau apa pun persepsi yang ditohmahkan.
Pangkalan kita ialah
orang Melayu yang merupakan kelompok pengundi terbesar dan pada masa yang sama
PAS akan berusaha menjelaskan kekeliruan ‘yang diracun’ ke dalam masyarakat
bukan Melayu/Islam. PAS bukan sahaja berhasrat pertahan Kelantan, menawan
negeri Terengganu dan beberapa negeri lain tetapi juga mahu ke Putrajaya namu tidak
akan meninggalkan agenda Islam. Sebab itu sebagai contoh PAS tetap membangkang
program ‘festival arak’ atas nama apa sekali pun walau pun.
Sebaliknta ada pihak daripada parti-parti lain boleh
bertolak ansur dalam isu ini kerana ‘kononnya’ mahu jaga hati kawan!