Wednesday, June 6, 2018

Kerajaan PAS Bersekongkol Lindungi Rasuah, Penyelewengan Pemimpin BN/UMNO?


Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF

Dalam kempen dan serangan PAS Terengganu terhadap Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO ialah penyelewengan dan pembaziran kerajaan BN/UMNO.

Isu penyelewengan dan rasuah yang ditimbulkan oleh PAS sejak lebih lima tahun lalu adalah terhadap projek-projek pembangunan di Terengganu membabitkan tiga kepimpinan  Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mereka mempertikaikan ke mana perbelanjaan hampir RM1.8 billion setahun kerana banyak projek runtuh, terbengkalai atau tidak pernah wujud sehingga sekarang.

Kini selepas berjaya mengambil alih kerajaan negeri selepas kalah pada 2004, pastinya ada perkara yang perlu diumumkan oleh kerajaan PAS, khususnya dalam menangani isu rasuah dan penyelewengan.

Tetapi yang nyata, PAS seperti gagal mengesan projek-projek yang pernah mereka sendiri ditonjolkan bersifat penyelewengan dan berunsur rasuah.

Atau apakah kepimpinan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak berani membuat pendedahan kerana kemungkinan turut mengaitkan pemimpin PAS sendiri?


Cakap-cakap di Seberang Takir, Kuala Terengganu, Dungun dan Marang menyebut bahawa ada kalangan pemimpin PAS mendapat ‘dedak’ daripada Menteri Besar Terengganu, khususnya daripada Ahmad Razif.

Dengan dakwaaan wujudnya salah guna kuasa, kroni, penyelewengan dan rasuah sebelum ini, tidak ada sebab untuk PAS berdiam diri.

Apakah PAS gentar mendedahkannya bimbang penyokong dan pemimpin mereka terlibat atau kerana sukar mencari ‘empat saksi’?

Jelas, kerajaan PAS Terengganu lemah dan tidak berupaya seperti Putrajaya mendedahkan perbuatan menyeleweng dan merugikan rakyat dan negara oleh pihak tertentu seperti dilakukan oleh kerajaan Pusat.

Apakah kerajaan pimpinan Ahmad Razif yang berjaya ditumbangkan tidak membuat dosa dan rasuah seperti yang didedahkan oleh Putrajaya terhadap Najib Razak?

Kenapa kerajaan pimpinan PAS begitu berhati-hati seolah-oleh mereka turut terpalit dengan wang daripada UMNO?

Dalam kes Taman Ilmu, kenapa soal menyiap atau menyudahkan projek itu diperbesarkan?
Bagaimana dengan wang lebih RM300 juta atau lebih untuk pembinaan dan membaikinya pada era Ahmad Said dan Ahmad Razif tidak mahu didedahkan?


Sedangkan kegagalan dalam isu seperti Taman Ilmu, Stadium Negeri dan banyak lagi begitu meresah dan memalukan rakyat Terengganu apabila digelar ‘Darul Runtuh’.

Di era Ahmad Said dikatakan banyak projek yang terbiar dan tidak dapat disudahkan sementara pada era Ahmad Razif projek-projek digelar sebagai ‘projek kroni’?

Ada pakatan atau ;udang di sebalik batu antara kerajaan PAS dengan pihak tertentu dalam isu Taman Ilmu ini?

Ini hanya satu projek. Bagaimana projek Bandar Baharu Kuala Nerus, Tasik Kenyir, projek-projek lain yang runtuh dan ranap?

Bagaimana dengan pembinaan hotel dekat masjid di Kuala Berang, sekolah yang diruntuhkan di Alor Limbat, projek penanaman padi dan perikanan yang gagal serta banyak lagi?

Apa sebenarnya di sebalik projek agropolitan?

Kenapa Kerajaan PAS Terengganu hanya membisu dan apakah mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat ‘lembab’ untuk bertindak?


Mendedahkan penyelewengan dan rasuah untuk kempen bagi kepentingan undi untuk memenangi pilihan raya - tetapi tiada tindakan selepas memang dan membantuk kerajaan adalah perbuatan zalim kepada rakyat.

Pastinya ramai yang mengundi PAS bertujuan untuk melihat perubahan.

 Selain itu mereka juga termakan dengan umpan kononnya kerajaan BN/UMNO sebelum ini banyak melakukan rasuah.

Namun apa tindakan susulan terhadap pemimpin kerajaan BN/UMNO sebelum ini yang dituduh rasuah? Buktikan tuduhan berkenaan.

Tidak mungkin tiada satu pun laporan tidak dibuat kepada SPRM mengenai tuduhan dan penyelewengan itu.

Jika kerajaan PAS dan SPRM tidak bertindak, ia bagaikan pakatan untuk menjatuhkan kerajaan BN/UMNO sebelum ini semata-mata demi kuasa. Sebaliknya ia sebenarnya tidak berani atau mampu membuktikan apaapa pun kesalahan mereka.

Adilkah kerajaan PAS berbuat demikian? Tidakkan perbutan seperti ini menipu pengundi?
Tuduhan oleh mana-mana parti, apa lagi yang mendakwa ia Islam,  hendaklah dengan bukti bukan persepsi.

Ini kerana persepsi mungkin benar dan mungkin banyak yang fitnah.

Perbuatan memburuk-burukkan kerajaan lain dan pemimpinnya tanpa bukti yang sah adalah perbuatan keji.

Tidakkah fitnah itu dalam Islam lebih buruk daripada membunuh?

Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya sedang membongkar keburukan dan penyelewengan kerajaan dan pemimpin BN sebelum ini seperti yang dikehendakli oleh rakyat melalui undi mereka.

Tetapi di Terengganu pelik kerana kerajaan PAS sedang berusaha melindungi perbuatan pemimpin kerajaan BN/HMNO sebelum ini yang mereka sendiri kata sebagai korup dan menyeleweng.

Kelak perbuatan  PAS ini pastinya akan mengecewakan mereka yang menyokong PAS untuk menghukum mereka yang melakukan rasuah dan penyelewengan di Terengganu.

Rakyat akan mempersoalkan sikap dan ketidakberanian pemimpin PAS Terengganu untuk mengotakan kata-katanya sendiri bagi membawa mereka yang melakukan rasuah dan penyelewengan ke muka pengadilan.