Thursday, December 9, 2010

Tasik Kenyir Bebas Daripada Pencemaran – Pakar

Abdul Rahin(belakang) melihat sistem tandas yang diubah suai di rumah bot Pangkalan Gawi, Kuala Berang, kelmarin.

Pengarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT),Profesor Dr Faizah Shaharom berkata, tidak ada sebarang pencemaran air berlaku di Tasik Kenyir.

Malah tasik terbesar buatan manusia itu selamat digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk beriadah.

Dr Faizah berkata kualiti air tasik itu juga tidak berbahaya atau membimbangkan seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan semalam.

Kajian kualiti air tasik yang dijalankan sekumpulan saintis universiti itu dengan mengambil sampel air Sungai Comor di tasik itu, mendapati hanya suhu air mengalami kepanasan sehingga 31 darjah Celsius yang menyebabkan ikan mati.

"Kalau ada pun bakteria e-coli di situ, ia tidaklah ditahap yang berbahaya seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika menghadiri pelepasan peserta pertandingan memancing Piala Kenyir yang melibatkan kira-kira 80 warga negara China di Tasik Kenyir, semalam yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beberapa akhbar tempatan telah melaporkan air Tasik Kenyir dikhuatiri dicemari bakteria e-coli berpunca daripada sisa kumbahan daripada beberapa rumah bot yang beroperasi di dalam tasik itu, menyebabkan air tasik itu tidak selamat.

Pengerusi Persatuan Bot Pelancong Tasik Kenyir Bakar Mamat ketika ditemui melahirkan rasa kesal terhadap laporan media massa.

"Media tidak seharusnya menyebarkan berita-berita yang tidak benar sehingga boleh membantutkan kedatangan pelancong ke sini dan menjejaskan mata pencarian kami," katanya.

Dr Faizah berkata, berdasarkan kajian itu, kepanasan berlaku kemungkinan disebabkan oleh 'thermal bar' iaitu lapisan air yang panas yang sering berlaku di dalam tasik-tasik yang mempunyai kedalaman sehingga 100 meter.

Katanya, sehingga ini ada dua tasik di dunia iaitu di Amerika Syarikat dan Afrika Selatan yang mengalami masalah seperti itu iaitu lapisan air yang panas yang boleh menyebabkan hidupan air seperti ikan mati.

Bagaimanapun ia tidak memberi mudarat kepada manusia.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata kajian yang dibuat itu mendapati suhu air di tasik berkenaan mencapai kepanasan sehingga 31 darjah Celsius walaupun ketika hujan ataupun pada waktu malam.

"Jadi, sekiranya air di kawasan Sungai Comor itu panas berterusan, kita sarankan pengusaha ikan sangkar yang ada di situ supaya memindahkannya ke kawasan air yang lebih sejuk," katanya.

Kelmarin Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut diarah menyiasat kandungan air Tasik Kenyir yang didakwa dicemari bakteria e-coli.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan siasatan itu dijangka diketahui dalam masa terdekat.

"Bakteria e-coli memang biasa terdapat di tasik-tasik, namun pada tahap tertentu yang tidak membahayakan kesihatan orang ramai.

"Kita dah arahkan pegawai kita untuk ambil sampel air itu dan lihat sejauh mana tingginya e-coli dalam air Tasik Kenyir," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan media bahawa jumlah bakteria e-coli di Tasik Kenyir berada pada tahap membimbangkan berdasarkan kajian oleh Universiti Malaysia Terengganu.

Liow berkata kementerian akan memastikan kebersihan di Tasik Kenyir itu dijaga termasuk dengan memastikan sistem kumbahan dari tandas-tandas awam dan longkang diuruskan dengan baik.

"Kita takut saluran air dari tandas masuk ke tasik kenyir tapi kita akan cari juga punca dan sebab peningkatan e-coli di Tasik Kenyir," katanya.

No comments:

Post a Comment