Thursday, June 25, 2009

EPIC labur RM60 juta bangunkan pangkalan bekalan

Anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) melabur sebanyak RM60 juta bagi membangunkan fasa ketiga Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Kemaman.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ramli Shahul Hameed berkata, pembangunan melibatkan kawasan seluas 30 hektar itu dijangka disiapkan dalam tempoh setahun.

Menurut beliau, pihaknya menjangka pembangunan fasa tiga itu akan membolehkan KSB meningkatkan perkhidmatan sokongan kepada industri petroleum kepada 80 hingga 100 syarikat lagi.

''Ketika ini, sebanyak 240 syarikat minyak dan gas beroperasi di KSB," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan EPIC di sini hari ini.

Beliau berkata, projek fasa ketiga tersebut juga dijangka menyediakan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya kini merancang untuk menambah bank tanah sebanyak 200 hektar di sekitar KSB.

''Penambahan kawasan KSB yang ketika ini seluas 200 hektar akan membantu kami menarik lebih banyak syarikat minyak dan gas untuk beroperasi di sini.

''Ia merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan lima tahun EPIC dalam meningkatkan daya saing, diversiti dan pendapatan syarikat," ujarnya.

Beliau memberitahu, penambahan pemilikan tanah itu dijangka mampu meningkatkan pendapatan syarikat kepada 30 hingga 40 peratus.

Sementara itu, Ramli berkata, EPIC mencatatkan perolehan sebanyak RM42.34 juta pada suku pertama tahun ini.

Tambah beliau, kumpulan itu juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM11.77 juta dalam tempoh yang sama.

''Kumpulan EPIC turut memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM8.08 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, EPIC mencatatkan perolehan sebanyak RM244.791 juta bagi tahun kewangan berakhir 2008, peningkatan sebanyak 39 peratus berbanding tempoh yang sama bagi 2007.

''Kami juga memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM39.83 juta dan keuntungan bersih RM25.9 juta dalam tempoh 12 bulan tahun lepas," ujarnya.

No comments:

Post a Comment