Tuesday, June 30, 2009

Tiga Sayap Umno Negeri Sedia Pikul Perjuangan

Sumber: Bernama

Ketiga-tiga sayap Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri Umno negeri Terengganu bersedia untuk memikul perjuangan yang lebih besar demi masa depan Umno dan rakyat di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau yakin bahawa apa yang dibincangkan hari ini tidak berkisar kepada kepentingan kumpulan tertentu.

"Saya boleh beri keyakinan kepada mereka bahawa ketiga-tiga sayap hari ini telah bertekad untuk bersama-sama memikul perjuangan yang lebih besar. Ketiga-tiga sayap ini juga telah berikrar kepada saya bahawa pertimbangan yang menjadi keutamaan kepada mereka ialah demi masa depan perhubungan umno negeri Terengganu dan rakyat Terengganu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga sayap berkenaan di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, katanya usaha itu banyak bergantung kepada cara mengatur langkah ke hadapan dan pengisian program yang akan dilaksanakan.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata dengan mengetuai negeri itu pada hari ini, mungkin tugasnya ialah untuk merapatkan hubungan antara Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh kerana beliau tidak ada masalah bekerja dengan mereka.

"Saya sedar apa yang berlaku sebelum ini di Terengganu menuntut saya sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menjadi "jambatan" kepada menteri besar dan bekas menteri besar, dengan syarat mereka meletakkan soal parti sebagai keutamaan dan bergerak bersama-sama dengan saya.

Bagaimanapun, katanya jika masih wujud polemik berkisar kepada isu-isu bahagian dan puak tertentu bermakna usaha untuk bergerak ke hadapan tidak akan dapat direalisasikan.

No comments:

Post a Comment