Thursday, June 25, 2009

Todt, Michelle tidak miliki tanah di Pulau Besar

Oleh ANIQ RAFIQIN

Kementerian Pelancongan menafikan Duta Pelancongan Malaysia di rantau Eropah, Jean Todt memiliki tanah di Pulau Besar, Terengganu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata Bekas Ketua Pegawai Eksekutif pasukan F1 Ferrari, Jean Todt dan tunangnya rakyat Malaysia, Datuk Michelle Yeoh tidak mempunyai apa-apa di pulau itu.

Ng menjawab dakwaan Ahli Parlimen Gombak (PKR) Azmin Ali di lobi Parlimen petang semalam.

Azmin pagi semalam mempersoalkan peruntukan wang hampir RM1 juta dengan melantik Todt sebagai Duta Pelancongan Malaysia.

Azmin mempersoalkan pelantikan itu memandangkan Tourism Malaysia mempunyai pejabat di kebanyakan negara.

Selain itu, Azmin juga mendakwa Todt dan tunangnya rakyat Malaysia, Datuk Michelle Yeoh telah ditawarkan sebahagian Pulau Besar yang terletak di Terengganu.

Menurut Azmin, sebagai perbelanjaan promosi Todt diperuntukkan RM593, 400 dan RM360,000 lagi sebagai bayaran mengunjungi negara ini.

Ketika ditanya tentang tarikh peruntukan dan tawaran itu dikeluarkan, Azmin berkata, beliau mahu Kementerian Pelancongan menjawab isu berkenaan terlebih dahulu.

"Saya akan mendedahkan kemudian," katanya.

Mengenai sebahagian tanah di Pulau Besar, Terengganu, Ng berkata, Todt dan Teoh tidak memiliki apa-apa tanah di pulau itu.

"Beliau tidak pernah memiliki apa-apa tanah di Pulau Besar," kata beliau sambil menambah, Azmin juga perlu menjelaskan mengenai perkara tersebut.

Ng mengesahkan telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk Todt yang telah diberikan penghormatan itu bermula bulan lalu untuk tempoh selama dua tahun.

Kata Ng, jumlah itu sebenarnya tidak mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja promosi di benua Eropah.

"... (peruntukan ini) bukan dalam bentuk wang tunai. Jika anda hendak melakukan promosi di Eropah, RM1 juta sebenarnya tidak mencukupi," katanya.

Mengulas dakwaan Azmin, Ng memberitahu, Azmin seharusnya memaklumkan sumber bagi maklumat yang digunakan untuk membuat dakwaan sedemikian.

Bagaimanapun Ng mempertahankan pelantikan Todt sebagai Duta Pelancongan kerana kehadiran beliau akan membantu menaikkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

No comments:

Post a Comment