Tuesday, July 7, 2009

BENGKEL GARAP 9 TERAS PEMBANGUNAN

‘Rakyat Di hatiku’.

Sewajarnya itulah falsafah dan pegangan setiap kakitangan pentadbir Terengganu, sesuai dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diilhamkan Datuk Ahmad Said.

Namun, apakah mekanisme dan cara menjayakan slogan dan falsafah itu?

Menteri Besar pernah mengutarakan falsafah bahawa `kalau rakyat mahu berubah, kita perlu berubah dan mesti mengubahnya’ dan berlandaskannya bengkel ini digerakkan melalui tiga fasa iaitu membentuk prinsip awal, menilai dan memilih prinsip sesuai dan akhirnya merumus teras utama menggerakkan agenda pentadbiran dan pembangunan.

Bertempat di sebuah hotel terkemuka Kuala Terengganu, kira-kira 60 pegawai kanan kerajaan negeri menghadiri bengkel bengkel tiga hari bermula 4-7 Julai (kelmarin) bertujuan merangka prinsip utama agenda menjayakan pentadbiran yang digarapkan oleh Ahmad Said.

Bengkel Anjakan Paradigma Mencapai Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan itu menggabungkan pegawai daripada pelbagai jabatan yang ada kena mengena dengan pembangunan rakyat – fizikal dan spiritual.

Berucap merasmikan bengkel, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda berkata peserta perlu menyelami hasrat dan matlamat Menteri Besar yang meletakkan rakyat sebagai asas dalam segala perancangan, perlaksanaan dan pemantauan.

Beliau menjelaskan usaha mencari teras ini sebagai sokongan dan dokongan kepada 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan.


“Kita berharap dengan adanya teras ini, 1Malaysia akan dapat dijayakan melalui ‘selera tempatan’ berasaskan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Bengkel di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu itu pada sesi pertama di bahagikan kepada lima kumpulan sebelum digabungkan dalam bengkel utama.

Setiap kumpulan mencadangkan prinsip untuk digarapkan sebagai teras utama Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang akhirnya dipersetujui bahawa ilmu, amanah, cakna, keterbukaan, setia, muafakat, cemerlang, istiqamah dan bersyukur menjadi pilihan.

Teras ini akan dinilai oleh satu jawatankuasa tertinggi sebelum dipersetujui oleh Menteri Besar.
Katanya, sebagai pentadbir, mereka harus faham agenda yang mahu direalisasikan oleh Menteri Besar yang bertujuan mengutamakan rakyat dalam segala aspek sama ada pentadbiran atau pembangunan.

No comments:

Post a Comment