Sumber: Mingguan Malaysia Online
Jabatan Perikanan negeri akan mengerah beberapa anggotanya dalam tempoh terdekat ini untuk menangkap ikan naga atau Arapaima gigas di Tasik Kenyir.
Pengarahnya, Munir Mohd. Nawi berkata, pihaknya akan menangkap hidup-hidup ikan naga itu sekiranya ia benar-benar wujud di tasik berkenaan.
Katanya, jabatan akan menggunakan tiga bot yang sedia ada di Tasik Kenyir untuk membuat pemantauan dan seterusnya menangkap ikan tersebut.
"Usaha secara berterusan akan dilakukan selaras dengan tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Munir mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam yang menawarkan RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya menangkap ikan naga di Tasik Kenyir.
Ahmad berkata, tawaran itu dibuat bagi mengelak spesies ikan kecil lain di tasik berkenaan pupus akibat di makan ikan naga tersebut.
Mengulas lanjut, Munir berkata, ikan naga mempunyai tarikan unik dengan saiznya mampu menyamai panjang sebuah kereta Perodua Kancil.
Malah, katanya, ikan yang berasal dari Sungai Amazon itu boleh mencecah berat antara 50 sehingga 100 kilogram seekor.
Ikan naga sebesar itu pernah wujud di Sungai Kulai, Johor suatu ketika dahulu.
Jelasnya, ketika ini pula seekor ikan jenis itu dengan saiz yang sama terdapat di Ladang Ikan Hiasan Xian Leng di Batu Pahat, Johor.
"Ikan Arapaima gigas yang panjangnya menyamai kereta Perodua Kancil diternak di ladang tersebut di Batu Pahat untuk tarikan pengunjung kerana saiznya yang unik," katanya.
Ditanya bagaimana ikan tersebut wujud di tasik berkenaan, Munir menjelaskan, ia berkemungkinan besar dibawa masuk oleh pengusaha atau individu tertentu untuk dijadikan ikan hiasan di negeri ini.
No comments:
Post a Comment