Wednesday, July 22, 2009

MB – JKK Perlu Khidmat Terbaik


















Dato' Ahmad bersama pengerusi JKKK pada majlis penyampaian watikah perlantikan Pengerusi JKKK daerah Kemaman bagi penggal 2009/2010 dan Bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Luar Bandar di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto SHUHAIMI AHMAD.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, mengingatkan semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mereka diberikan tempat oleh pucuk pimpinan bagi melaksanakan tugas sebaik mungkin manakala rakyat adalah .pelanggan.

Justeru itu, katanya, kerajaan mahu pelanggan mendapat khidmat terbaik daripada JKKK selaras dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”, agar tidak ada pihak yang tercicir daripada mendapat pembelaan kerajaan.

“Saya mahu semua Pengerusi JKKK menunaikan tugas mereka dengan berhemah bagi membangunkan kampung halaman masing-masing dan menjaga kepentingan penduduk yang diwakili,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian watikah perlantikan Pengerusi JKKK daerah Kemaman bagi penggal 2009/2010 dan Bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Luar Bandar di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, Kemaman, 17 Julai lalu.

Pada majlis itu, 121 Pengerusi JKKK menerima watikah pelantikan bagi membolehkan mereka berkhidmat untuk masyarakat, membabitkan 29 JKKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, Kijal (26), Kemasik (28) dan Air Putih (28).

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menilai prestasi setiap JKKK berdasarkan sumbangan mereka kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan yang diberi kepada rakyat.

Langkah itu bertujuan memastikan JKKK memberi khidmat terbaik untuk rakyat, selaras dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” yang kini menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment