Thursday, July 23, 2009

Pelancong jadi duta promosi tempat menarik

Sumber: Utusan Malaysia

Pelancong asing yang melawat Terengganu diminta menjadi duta untuk mempromosikan kawasan pelancongan menarik yang telah dilawati.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, langkah tersebut perlu bagi memperluaskan promosi pelancongan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, melalui kaedah tersebut, sesebuah kawasan lebih mudah dikenali untuk dilawati.

"Walaupun pelbagai promosi telah dilakukan untuk mempromosikan kawasan pelancongan, namun perkhabaran dari mulut ke mulut paling mudah dan cepat untuk mempromosikan sesebuah kawasan pelancongan dan ia juga tidak memerlukan bajet yang tinggi.

"Apa yang perlu, pelancong yang mengunjungi sesebuah tempat menarik hanya perlu menceritakan pengalaman mereka kepada rakan-rakan dan saya yakin mereka juga ingin mengunjungi tempat yang sama," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Peserta Kursus Perancangan dan Pengurusan Integrasi Alam Sekitar di Marang River View semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di ibu negara yang melibatkan 23 peserta dari 20 negara seperti Namibia, Thailand, Mauritius, Utopia, Bosnia, Afghanistan dan Myanmar.

Program yang bermula dari 21 hingga 23 Julai itu bertujuan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan peserta dari negara tersebut selain mempromosikan lokasi pelancongan menarik.

Selain menyusuri Sungai Marang, lokasi lain yang dilawati dalam program tersebut ialah Pulau Kapas dan Tasik Kenyir.

Sementara itu, Penyelaras Program Kanan, Program Pengurusan Alam Sekitar INTAN, Rozitta Sulaiman berkata, program tersebut bakal memberi manfaat kepada kerajaan negeri.

Ini kerana jelasnya, satu kertas kerja akan disiapkan oleh peserta-peserta tersebut yang meliputi cadangan, penambahbaikan serta komen-komen yang membolehkan pengurusan dan perancangan penjagaan alam sekitar diperbaiki.

"Peserta-peserta terlibat terdiri daripada pegawai penyelidikan dan pegawai alam sekitar dan mereka mempunyai pandangan dan pengalaman dalam pengurusan alam sekitar.

"Selain itu, melalui program ini juga akan memudahkan potensi sesebuah kawasan dikenalpasti untuk dimajukan," jelasnya yang turut menyertai aktiviti menyusur Sungai Marang bersama peserta lain.

No comments:

Post a Comment