Friday, July 24, 2009

Pelbagaikan produk nira nipah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia membantu para pengusaha nira nipah untuk menghasil dan meningkatkan pelbagai produk berasaskan bahan itu.

Ketua Jabatan Sains Makanan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Dr. Amir Izzwan Zamri, usaha itu mampu mengurangkan risiko kerosakan bahan berkenaan dengan cepat.

Katanya, dengan menjadikannya produk tahan lama, ia mampu diperluaskan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Air nira nipah sering mendapat permintaan tinggi di pasaran namun ia sukar diperolehi tambahan pula mudah rosak menyebabkan pasarannya amat terhad.

"Bagi menjana pendapatan jangka masa panjang, UMT akan membantu pengusaha air nira menghasilkan pelbagai produk baru berasaskan bahan itu yang lebih tahan lama," katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri Bengkel Pembangunan Produk Hiliran Berasaskan Nira Nipah di UMT di Kuala Terengganu.

Bengkel anjuran UMT dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu disertai seramai 22 orang pengusaha air nira nipah dari Kedah dan Perlis.

Bengkel dua hari yang bermula hari ini merangkumi penerangan berkenaan pengetahuan am dan kemahiran asas produk berasaskan nira nipah, kaedah pemprosesan produk dan pengawalan mutu serta jangka hayat produk yang dihasilkan.

Menurut Amir Izzwan, bengkel tersebut turut menekankan aspek kepentingan pengurusan air nira selepas proses tuaian dilakukan.

Ini kerana ujarnya, langkah itu perlu bagi menjaga kualiti nira tersebut agar tidak tercemar.
"Pengurusan yang tidak sistematik akan menjejaskan kualiti bahan tersebut malah dan membahayakan kesihatan.

"Jika pengusaha-pengusaha tidak ambil berat tentang perkara ini akan menyebabkan berlaku pembaziran dalam pengeluaran nira nipah," jelasnya.

No comments:

Post a Comment