Wednesday, July 22, 2009

RM4.3 juta bantu keluarga miskin

Sumber Utusan Malaysia

Sebanyak 478 keluarga miskin di Kuala Terengganu menerima pelbagai bantuan berjumlah RM702,770 pada Majlis Penyampaian Bantuan Pembasmian Kemiskinan Bandar semalam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin menyampaikan hadiah berkenaan.

Majlis diadakan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.

Lajim berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM4.381 juta untuk membantu 1,919 keluarga miskin tegar yang tinggal di bandar-bandar di negeri ini bagi meningkatkan kualiti hidup sejak empat tahun lalu.

Peruntukan itu disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan di bawah program Bantuan Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

''Peruntukan yang diberikan untuk Terengganu itu merupakan sebahagian daripada RM97 juta yang diperuntukkan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dalam tempoh tersebut," katanya.

Lajim berkata, kerajaan komited membasmi kemiskinan dengan sasaran mengurangkan kadar keselurahan kepada 2.9 peratus menjelang 2010.

Katanya, daripada jumlah peruntukan itu, kira-kira RM2.267 juta diberikan dalam bentuk bantuan sewa rumah, bantuan pengurangan beban keluarga (RM2.029juta), bantuan ihsan (RM83,000) dan pendidikan serta latihan (RM1,800).

''Saya percaya bantuan yang disalurkan dapat memberi sedikit keselesaan kepada keluarga terbabit, selain dapat meringankan beban keluarga.

''Bagaimanapun, keluarga miskin perlu berusaha menambah pendapatan dengan menjalankan aktiviti ekonomi seperti menanam atau berniaga dalam usaha keluar daripada belenggu kemiskinan'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment