Sumber: Sinar Harian
A&W Malaysia Sdn Bhd akan terus mendekati masyarakat terutama ketika Ramadan demi memastikan imej restoran itu turut dikenali masyarakat luar bandar.
Usaha itu adalah program jangka panjang setelah A&W cawangan Kemaman diubahsuai menjadi lebih moden dan berimej milenium.
Ketua A&W Malaysia Sdn Bhd, Mohd Anuar Osman, berkata, sudah tiba masanya pendekatan ‘mesra masyarakat’ dilaksanakan, selain menyemai semangat cintakan bangsa sendiri.
“Ini selaras dengan pelancaran Tabung Kanak-Kanak Kelaparan Sedunia (WHRP) bertujuan mengumpul dana bagi golongan itu.
“Saya mahu semua kakitangan A&W menanam sikap menyayangi pelanggan bagaikan keluarga mereka sendiri,” katanya baru-baru ini.
Mohd Anuar berkata demikian selepas Majlis Pelancaran A&W cawangan Kemaman berwajah baru disempurnakan yang dihadiri lebih 200 pelanggan.
Menurutnya, pendekatan yang dilakukan adalah lebih kepada tanggungjawab sosial demi membantu mereka yang memerlukan.
“Semua pihak harus bekerja keras merealisasikan impian ini.
”Saya harap kakitangan A&W Kemaman bersikap proaktif selain mempunyai daya juang tinggi untuk menaikkan prestasi syarikat,” katanya.
Menurutnya, A&W Kemaman adalah cawangan ke-20 yang dinaik taraf membabitkan kos pembiayaan RM900,000.
“Hujung bulan ini, cawangan yang akan diubahsuai adalah di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
“Dalam pelan peranca-ngan jangka panjang (2015) kami menyasarkan mempunyai 100 cawangan seluruh Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, pertandingan mewarna membabitkan lebih 20 kanak-kanak tabika diadakan bagi mencari pemenang paling kreatif dan mempunyai semangat juang tinggi.:
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Mohd Anuar.
Maskot A&W, Mr Bear tidak ketinggalan menghiburkan pengunjung sepanjang majlis berlangsung.
No comments:
Post a Comment