Thursday, August 20, 2009

Perokok Terengganu meningkat

Sumber : Utusan Malaysia

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meminta rakyat Terengganu perlu menggunakan peluang pada bulan Ramadan untuk memulakan langkah berhenti merokok.

Ini kerana jumlah perokok di Terengganu semakin membimbangkan apabila seramai 167,100 penduduk di negeri ini dikesan mengamal perbuatan yang boleh membawa maut itu.

Beliau berkata, jumlah tersebut menunjukkan sebanyak 15 peratus daripada 1.1 juta penduduk negeri ini merupakan perokok.

Katanya, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan juga menunjukkan golongan berumur 13 hingga 18 tahun dan golongan wanita semakin membimbangkan.

''Untuk itu, kerajaan negeri akan bekerjasama Jabatan Kesihatan dalam mengadakan aktiviti Kempen Nafas Baru bagi menggalakkan perokok berhenti merokok," katanya ketika ditemui di selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Nordiyanah Hassan.

Ahmad Said berkata, dalam memperhebatkan kempen berhenti merokok itu, ceramah agama di radio bertajuk Merokok dari Perspektif Islam dan Kesan Merokok Kepada Kesihatan akan disiarkan dari semasa ke semasa di saluran Terengganu.fm.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri juga akan membuka gerai bergerak Tak Nak Merokok, setiap Ahad dan Rabu setiap minggu di bazar-bazar Ramadan berlainan.

Di gerai bergerak ini, ceramah 'Tak Nak Merokok dan kuiz akan diadakan. Selain itu, risalah dan poster cara-cara berhenti merokok juga akan diedarkan," katanya.

Beliau menambah, para perokok yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kaedah untuk berhenti merokok juga boleh melawat klinik-klinik kesihatan berdekatan.

No comments:

Post a Comment