Monday, August 24, 2009

Serang polis : 4 warga Bangladesh ditahan

Polis menahan empat lagi warga Bangladesh berhubung kejadian dua anggota polis diserang sekumpulan lelaki rakyat negara itu di Kampung Gemuruh, Tepoh Rabu lalu.

Penahanan itu menjadikan jumlah kesemua warga negara tersebut yang ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan berjumlah sembilan orang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, dua daripada lelaki itu yang berusia 25 dan 28 tahun ditahan pada Khamis lalu.

Katanya, kedua-duanya ditahan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Petiti, Manir, di sini kira-kira pukul 9.45 malam.

"Dua lagi yang masing-masing berusia 34 tahun ditahan di kebun getah di Kuala Belara, Manir, kira-kira pukul 12.30 tengah hari keesokan harinya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menjejaki saki-baki mereka terlibat yang merupakan pekerja di tapak projek Lebuh Raya Pantai Timur di Kampung Gemuruh. "Kita percaya sebahagiannya telah melarikan diri selepas kejadian tersebut (serang anggota polis)," ujar beliau.

Manoharan berkata, pihaknya akan turut mendapatkan penjelasan daripada dua anggota polis terbabit untuk siasatan kes berkenaan.

"Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil. Jika anggota polis itu melakukan kesalahan, mereka akan didakwa," katanya.

Rabu lalu, dua anggota polis nyaris maut selepas diserang sekumpulan 15 lelaki warga Bangladesh ketika menjalankan operasi cegah jenayah di Kampung Gemuruh, Tepoh di sini.

Salah seorang daripada anggota polis itu turut diacu dengan pistolnya sendiri selepas senjata apinya tersebut dirampas oleh salah seorang warga asing ketika mereka sedang bergelut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, kedua-dua anggota polis itu cedera di kepala dan kaki.

Mereka berdua yang menunggang sebuah motosikal pergi ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada pekerja projek Lebuh Raya Pantai Timur di Kampung Gemuruh mengenai kegiatan curi besi.

No comments:

Post a Comment