Wednesday, August 26, 2009

Terengganu akan tarik balik saman terhadap kerajaan pusat

Kerajaan Terengganu sepatutnya menerima wang royalti minyak secara langsung daripada kerajaan persekutuan lebih RM15 bilion dari tahun 2000 hingga sekarang.

Bagaimanapun, setakat ini, kerajaan negeri belum mendapat kesemua jumlah wang royalti tersebut kerana masih dalam peringkat perbincangan dengan Petronas.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata setakat ini, pihaknya di peringkat akhir perbincangan dengan Petronas sebelum kerajaan pusat bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri.

Berikutan itu, Kerajaan Terengganu akan menarik balik kes saman terhadap kerajaan pusat berhubung isu wang royalti minyak selepas rundingan terhadap beberapa perkara berkaitan selesai.

"Rundingan untuk mengembalikan pengurusan wang royalti petroleum dan gas kepada kerajaan Terengganu sedang berjalan kerana ada perkara-perkara kecil yang kita tidak setuju.

"Sebab itu kita belum menarik balik kes (saman) tersebut. Bila perkara itu selesai baru wang royalti itu diserahkan kepada kerajaan negeri," katanya menjawab soalan Datuk Harun Taib (PASManir) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Saman terhadap kerajaan pusat berhubung isu wang royalti tersebut difailkan di mahkamah oleh PAS pada 2000 ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

No comments:

Post a Comment