Dewan Undangan Negeri Terengganu yang bersidang hari ini meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM280.814 juta bagi perbelanjaan rancangan kemajuan di negeri itu tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM250.214 juta dibelanjakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, RM600,000 (Pejabat Kerja Raya negeri) dan RM30 juta lagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, peruntukan tersebut adalah dibenarkan dalam undang-undang dan dibuat oleh mana-mana kerajaan.
''Yang penting kesemua peruntukan disalur untuk membantu melicinkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini," katanya.
Beliau menggulung pelbagai isu dibangkitkan oleh beberapa wakil pembangkang selepas usul mengenai permohonan peruntukan tersebut dilulus dan dibentangkan Ahmad Razif Abd.Rahman (BN-Seberang Takir).
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, peruntukan tambahan diperlukan kerana kerajaan negeri ingin melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat.
Katanya, yang utama kerajaan negeri ingin membina sebanyak 10,000 unit rumah kos rendah mampu milik kepada golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka mendiami rumah lebih selesa.
Selain itu, jelasnya, kerajaan negeri juga akan membina 5,000 unit rumah dan sebahagian lagi pembinaan 5,000 unit rumah kos rendah.
Mengenai soalan tambahan Datuk Harun Taib (Pas-Manir) berhubung pembinaan jambatan baru di negeri ini, Ahmad berkata, tidak timbul pelaksanaan berkait rapat dengan politik.
Katanya, hasil pengalaman ada juga pembinaan projek kemudahan asas termasuk jambatan dibuat kerana janji kerajaan manakala ada juga kerana keperluan atau permintaan semasa.
No comments:
Post a Comment