Sumber: Bernama
Walaupun gagal menjadi juara Liga Super, namun Terengganu tidak berputus asa dan tetap akan memberikan fokus dalam pertandingan Piala Malaysia yang akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pengurus skuad penyu Syeikh Tajuddin Sheikh Yusof berkata kegagalan Terengganu dalam pertandingan Liga Super tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kemampuan pasukan itu dalam pertandingan Piala Malaysia.
Ini kerana rentak pertandingan Piala Malaysia tidak sama dengan rentak pertandingan Liga Super, begitu juga dari segi persiapannya, katanya.
"Fokus pertama Terengganu sekurang-kurangnya memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia musim ini dan sasaran kita bukan kosong, tetapi kita akan buktikan," katanya semalam.
Beliau berkata sebagai persediaan awal, Terengganu akan membuka peluang kepada pemain-pemain luar untuk bermain dengan pasukan negeri itu dan setakat ini beberapa pemain telah menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk bermain dengan pasukan itu.
"Mereka akan datang untuk menjalani ujian pada minggu depan dan kita ingin melihat sejauh mana kemampuan pemain-pemain berkenaan sebelum kita menagih khidmatnya," katanya.
Sheikh Tajuddin berkata Terengganu memerlukan pemain penyerang kerana pemain penyerang yang ada, Azlan Ismail tidak akan diturunkan dalam dua perlawanan awal kerana menerima kad merah dalam pertandingan Liga Super.
Bagaimanapun, Sheikh Tajuddin berkata sekiranya usaha Terengganu mendapatkan pemain luar itu tidak berjaya, beliau tidak bimbang kerana pasukan itu mempunyai pemain-pemain yang mantap.
No comments:
Post a Comment