Sumber: Utusan Malaysia
Rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memberi perhatian serius terhadap sebarang langkah kerajaan untuk mengekang penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, meskipun setakat ini wabak itu di negeri ini masih terkawal, namun rakyat perlu lebih berwaspada.
Jelasnya, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebelum wabak itu menjangkiti ahli keluarga dan jiran mereka.
"Janganlah setelah ada ahli keluarga atau jiran terdekat dijangkiti wabak itu baru kita nak bertindak, ia dah terlambat.
"Sepatutnya penjagaan kebersihan diri, kediaman serta kawasan perlu diutamakan pada setiap masa, bukannya ketika dilanda wabak baru kita beri perhatian," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Hari Bersama Pengguna Peringkat Daerah Besut di Pasar Pagi Kuala Besut semalam.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu dihadiri Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Umar Naim Saidin dan Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Abdul Ghani Harun.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, kes terbaru H1N1 di negeri ini adalah membabitkan pelatih Kem Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) Peladang Setiu dua hari lalu.
"Daripada simptom yang ditunjukkan, seramai 12 orang pelatih disyaki dijangkiti virus tersebut dan Jabatan Kesihatan negeri telah mengarahkan kem itu ditutup selama seminggu sementara menunggu tindakan lanjut," ujarnya.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa memantau perkembangan wabak tersebut dan berharap kerjasama orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom H1N1.
Orang ramai juga tambahnya, perlu mendapatkan penerangan lanjut daripada klinik atau hospital terdekat selain media mengenai perkembangan wabak itu dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment