Sumber: Utusan Malaysia
Harga borong dan runcit beberapa jenis ikan di negeri ini dilaporkan meningkat antara 25 hingga 50 peratus sebelum dan ketika bulan puasa, sekarang.
Bagi harga borong, ikan kembung dijual RM4.20 sekilogram sebelum puasa dan RM6 ketika ini.
Sotong pula dijual RM9.74 sekilogram berbanding RM8.77 sebelum bulan puasa sementara ikan tenggiri dan selayang tidak berubah dengan masing-masing dijual pada harga RM18 dan RM4.17 sekilogram.
Menurut Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Jelani Hashim, bagi harga runcit pula, ikan kembung ketika ini dijual RM12 berbanding RM10 sekilogram sebelum bulan puasa.
Ikan tenggiri dijual RM22 berbanding RM18 atau RM19 sekilogram pada bulan puasa manakala harga sotong tidak berubah.
"Kenaikan harga ikan ini bergantung kepada hasil tangkapan dan musim. Ada jenis-jenis ikan yang mendapat permintaan lebih mengikut keperluan selera dan masakan isi rumah terutama pada bulan puasa ini," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Jelani berkata, jumlah pendaratan ikan di enam kompleks LKIM di seluruh negeri ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini adalah 7,418.76 tan dan bernilai lebih RM29 juta.
Sementara bagi sepanjang tahun lalu, jelasnya, pendaratan ikan di kompleks yang sama mencecah 24,349.51 tan dengan nilai jualan melebihi RM93 juta.
"Berdasarkan statistik ini, kita jangka untuk sepanjang tahun ini jumlah dan nilai pendaratan ikan akan terus meningkat, setakat bulan April tahun ini saja sudah mencapai nilai jualan lebih RM29 juta, baki lapan bulan belum dikira," ujarnya
No comments:
Post a Comment