(Bahagian Pertama)
Kliwon –jenis polong - dibela manusia. Dia mesti makan pulut kuning dan sekurang-kurangnya lima biji telur kampung setiap hari. Kalau tidak dapat makan dia akan meracau. Selain itu jika perlu minum, darah tuannya yang dihirup.
Ceritanya, selepas kemelut politik ‘berakhir’, ada dua (ekor) Kliwon wujud di Terengganu.
Satu yang besar dan satu lagi yang kecil. Kliwon Besar sudah biasa makan besar dan bertuankan orang besar sementara Kliwon Kecil pula kadang kala makan besar dan kadang kala kecil dan bertuankan orang yang sederhana besar.
Menurut ceritanya Kliwon Besar ini kini tidak bertuan. Tuan Besar Politik yang menjadi sandarannya sebelum ini kini sudah mula tidak pedulikannya. Dia bingung sebab Tuan Besar Politik sekarang semakin kurang selesa. Semuanya kerana salahnya sendiri.
Tuan Besar Politik lamanya pula lebih banyak di Kuala Lumpur. Kalau balik kawasan pun dia tidak lagi campur banyak politik Terengganu.
Lagipun Tuan kepada Kliwon Besar ini sudah mulai kecewa – dua kali dia gagal menduduki tempat penting penting kerana gara-gara ‘tangan ghaib’.
Dia marah sungguh kepada ‘tangan ghaib’ berkenaan dan tidak hairan kalau penyokongnya memberikan pelbagai gelaran kepada ‘tangan ghaib’ berkenaan.
Kliwon Besar dapat menghidu bahawa dia kini hanya mempunyai beberapa hari sahaja untuk menduduki tempatnya sekarang. Dia semakin hilang arah dan tidak tahu apa mahu dilakukan lagi.
Kerana tidak dapat makan pulut kuning dan telur ayam kampong, selain darah di badan tuannya tidak dapat lagi sedut, dia meracau ke seluruh negeri.
Di sebalik mendakwa dia Kliwon terbaik, dia sebenarnya gagal menjalankan tugas yang diamanahkan kerana dia banyak berpolitik daripada menjalankan pentadbiran.
Amanah daripada Tuan Besar Politik sekarang tidak diendahnya. Dia main kayu tiga. Kononnya hormat kepada Tuan Politik besar sekarang tetapi sebenarnya mensabotaj dengan menurut perintah Tuan Besar Politik sebelum ini.
Kliwon ini dikatakan baru-baru ini berjumpa seseorang yang khabarnya rapat dengan ‘tangan ghaib’. Sejauh mana rapat tidak diketahui namun bagi Kliwon Besar, orang ini segala-galanya.
Seolah-olah apabila bertemu orang berkenaan, Kliwon Besar ingat macam jumpa ‘tangan ghaib’.
Kerana terlalu rindukan pulut kuning dan darah, Kliwon Besar tanpa berfikir jauh, memukul canang ke seluruh negeri mengatakan dia sudah mendapat restu untuk menggantikan Tuan Besar Politik.
Dia mencanangkan kononnya sudah menghadap ‘tangan ghaib’ dan mendapat perintah untuk ‘memperbetulkan kepincangan politik dan pentadbiran Terengganu’. Malah canang ini turut dipukul kepada seluruh kakitangan pentadbiran seperti biasa dilakukan sebelum ini untuk ‘memburukkan imej’ Tuan Besar Politik.
Bagi Kliwon Besar yang memang ‘berkuasa’ ke atas pentadbiran dan tender projek kerajaan negeri – masanya sudah sampai untuk dia ‘mengembangkan semula sayapnya’ yang sekian lama terkena getah.
Bagi Kliwon Besar, dia kini ditugaskan untuk memulihkan semula imej dan semangat anggota pentadbiran yang dikatakan pada kedudukan yang moralnya begitu rendah akibat pertukaran dan sebagainya.
Kliwon Besar sebenarnya tidak tahu, malah dia mendapat informasi salah.
Pertama, ‘tangan ghaib’ begitu marah dengan cara Kliwon Besar mencanangkan bahawa beliau sudah mendapat amanah;
Kedua, Kliwon Besar lupa bahawa apa juga kejadian – runtuh, bocor atau tidak siap – ada kaitan dengannya dan dia boleh dipersoal kerana antara yang bertanggungjawab meluluskannya; dan,
Ketiga, Kliwon Besar tidak tahu dia akan digantikan dalam tempoh segera kerana pelbagai ‘salah laku’ dan ‘tingkah lakunya’ yang tidak digemari oleh ‘tangan ghaib’ dan Tuan Besar Politik.
Kliwon Besar akan dimasukkan ke dalam botol dan akan dihanyutkan di Sungai Terengganu. Nasib baik dia tersangkut di dahan dekat Kuala Berang yang ada mereka yang bersimpati dengannya dan jika tidak dia akan hilang ditelan kabus.
Kliwon Besar akan ‘hilang’ dalam beberapa minggu lalu. Tungguhlah!
(Ikuti apa akan jadi kepada Kliwon Kecil pada Bahagian Kedua nanti)
No comments:
Post a Comment