Sunday, September 27, 2009

Tasik Kenyir Destinasi Semakin Menarik

Pendapat

Oleh Mohd Ilham Manan

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Terengganu yang memberikan perhatian mendalam terhadap memajukan TasIk Kenyir.

Tidak lupa juga kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang turut menyertai kerajaan negeri untuk memajukan tasik berkenaan.

Pengumuman Menteri Besar, Datuk Ahmad Said Terengganu kelmarin bahawa kerajaan negeri merancang untuk membuka sebuah ladang anggur di Tasik Kenyir akhir tahun ini akan menjadikan kawasan tasik berkenaan sebagai destinasi yang lebih menarik.

Dalam konteks pelancongan, usaha kerajaan negeri ini akan menjadikan negeri ini maju setapak lagi apabila ladang seluas 10.117 hektar itu akan ditanam dengan baka anggur daripada Thailand.

Saya melihat apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar mengenai ladang anggur itu sebagai sesuatu yang realistik kerana ia bukan bertujuan untuk komersial, sebaliknya akan menjadi satu daya tarikan kepada pelancong.

Bagi pelancong yang datang ke Tasik Kenyir, mereka bolehlah membeli sekilo dua untuk makan sambil melawat-lawat kebun berkenaan.

Saya amat yakin dengan apa yang disebutkan oleh Ahmad Said bahawa kebun anggur itu akan berjaya kerana teknologi Thailand dalam bidang tanaman sudah cukup terkenal.

"Kita pilih baka anggur daripada Thailand kerana ia lebih sesuai dengan iklim negeri ini berbanding baka dari United Kingdom atau Amerika (Syarikat)," kata Ahmad Said.

Dengan kebun anggur itu dijangka mengeluarkan hasil dalam masa dua tahun, ia sangat sesuai dan seiring dengan usaha kerajaan negeri memajukan pulau-pulau di tasik berkenaan.

Bagi menjayakan usaha ini, Ketengah mungkin akan dilantik untuk mengurus ladang itu kelak.
Bagi saya memilih Ketengah adalah langkah wajar kerana ketika ini Ketengah sendiri memberikan penekanan terhadap pelancongan dan pembangunan Tasik Kenyir.

Ia menyediakan peruntukan lebih RM10 juta, tahun ini untuk pembangunan pelancongan di pulau buatan manusia terbesar itu.

Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah berkata kelmarin, melalui peruntukan itu Ketengah mengenal pasti beberapa projek, antaranya membina terminal pelancongan Gawi serta menaik taraf kemudahan di Taman Herba dan Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir.

Saya melihat usaha kerajaan Terengganu ini akan membolehkan Tasik Kenyir terus berkembang sebagai sebuah pusat pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang.
Malah, jika promosi dijalankan dengan baik, tidak hairan jika Tasik Kenyir dikenali di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment