Saturday, September 5, 2009

UMNO Terengganu masih kukuh

Sumber: Utusan Malaysia

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin UMNO negeri kini masih dalam kedudukan kukuh walaupun terdapat perselisihan faham dalaman.

Katanya, segala penyelesaian terhadap isu berbangkit sebenarnya dilakukan secara senyap dengan pihak-pihak atau personaliti tertentu untuk penambahbaikan.

“Keadaan sekarang amat jauh berbeza dengan dulu dan walaupun demikian saya akui memang ada perkara yang perlu ditangani lagi demi kebaikan parti,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian selepas menghadiri gotong-royong bersama penduduk di Kampung Penarik di sini, awal pagi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang menyatakan kesediaan membantu menyelesaikan beberapa isu berbangkit dalam kepimpinan UMNO negeri.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, masalah yang berlaku sebenarnya bukan saja di negeri ini malah beberapa negeri lain.

“Negeri lain pun ada masalah dalaman dan semua dapat diselesaikan,” katanya.

Mengenai ketidakhadiran beberapa ahli Exco kerajaan negeri, beliau berkata, mereka mungkin mempunyai beberapa program lain di kawasan masing-masing.

Katanya, ini bukan menjadi masalah kerana yang penting sokongan semua pihak dalam menjayakan program yang diatur.

No comments:

Post a Comment