Tuesday, October 27, 2009

Jangan guna Internet pejabat muat turun bahan fitnah

Semua penjawat awam dilarang menggunakan Internet di pejabat untuk mendapatkan serta menyimpan maklumat membabitkan sebarang pernyataan fitnah atau hasutan yang memburuk atau menjatuhkan imej kerajaan.

Naib Canselor Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Prof. Datuk Dr. Alias Daud berkata, ia adalah antara perkara yang melanggar tatacara penggunaan Internet berdasarkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam membabitkan agensi-agensi kerajaan.

Menurutnya, perbuatan berkenaan termasuk penyebaran berita dan provokasi perkauman atau agama dalam internet boleh menggugat kestabilan politik negara.

Katanya, kakitangan juga dilarang menyimpan, menyedia, memuat naik dan turun, menyimpan material, teks, imej atau bahan yang berunsur lucah.

''Larangan lain adalah menyalahgunakan kemudahan perbincangan awam selain memuat turun, menyimpan dan menggunakan perisian berbentuk hiburan atas talian seperti permainan elektronik, video dan lagu.

''Menggunakan kemudahan sembang dalam talian, menjalankan aktiviti komersial dan politik serta memuat naik dan turun, menghantar dan menyimpan kad elektronik, video, lagu dan kepilan fail melebihi saiz dua megabait yang mengakibatkan kelembapan perkhidmatan dan operasi sistem rangkaian komputer juga dilarang,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Ancaman dan Keselamatan Siber 2009 anjuran UDM di Hotel Felda Residence di Kuala Terengganu semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UDM, Nurulhuda @ Ariffin Muda.

Kolokium sehari itu yang objektifnya antara lain bagi memberi pendedahan mengenai ancaman dan keselamatan siber masa kini disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada pelajar universiti berkenaan.

Dr. Alias turut menarik perhatian bahawa di UDM sendiri, kemudahan internet berkelajuan tinggi turut disediakan bagi kemudahan seluruh warga universiti tersebut.

Menurutnya, kemudahan itu untuk membolehkan kakitangan UDM berkomunikasi menerusi emel, blog, khidmat pesanan ringkas (sms) dan bersembang dalam talian yang menjadi medium komunikasi digital pada era kini.

No comments:

Post a Comment