Saturday, October 3, 2009

Laporan polis terhadap pemimpin PAS Terengganu

UMNO Bahagian Kemaman membuat laporan polis berhubung kenyataan Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat yang mendakwa Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sendiri turut terlibat dengan masalah sosial.

Setiausahanya, Rosli Ahmad membuat laporan polis jam 4.20 petang kelmarin di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan turut ditemani beberapa jawatankuasa UMNO bahagian yang lain.

Rosli berkata, UMNO Kemaman kecewa dengan artikel itu yang bertajuk ’Pemimpin UMNO menagih dadah–sudah tiba masanya menukar kerajaan’ yang disiarkan dalam sebuah laman pro-PAS pada 1 Oktober.

Menurutnya, beliau sedih dengan kenyataan berunsur fitnah itu yang secara jelas mengaitkan Ahmad dengan masalah sosial berkenaan.

Dalam artikel sama juga Hanafiah menyifatkan Ahmad Said gagal melahirkan pemimpin UMNO yang bersih.

Katanya, Hanafiah turut meminta semua rakyat menolak kepimpinan UMNO di negeri ini dan bersama-sama kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang bersih daripada masalah korupsi, bebas keruntuhan akhlak dan tinggi moralnya.

”Kita amat kesal dan sedih dengan kenyataannya yang berunsur biadap dan kurang ajar terhadap Menteri Besar Terengganu sedangkan beliau pemimpin politik yang melaungkan Islam,” katanya.

Rosli berkata, dia akan berbincang bersama Peguam UMNO yang dilantik bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Hanafiah.

”Selaku Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, saya berasa bertanggungjawab terhadap isu ini, Datuk Ahmad Said telah mengetahui kes ini dan memberi kebenaran untuk saya membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Hanafiah Mat menolak dakwaan Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad yang mengaitkan kenyataannya mengenai penglibatan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said dengan masalah sosial.

Menurutnya, kenyataan sebenarnya ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said gagal melahirkan pemimpin pelapis yang boleh menerajui UMNO dengan cara yang bersih.

“Umum mengetahui pemimpin UMNO ada dikaitkan dengan penagihan dadah, tetapi saya tidak bermaksud Ahmad Said yang terlibat, hal ini cuma salah tafsiran,” katanya.

Menurutnya lagi, kenyataannya tiada tuduhan kepada Ahmad Said tetapi lebih kepada kegagalannya di dalam memimpin anak buahnya.

“Saya sedia memberi kerjasama dengan pihak polis sekiranya dipanggil untuk soal siasat.

“Cuma buat masa ini saya masih berada di Bagan Pinang untuk melakukan kerja kempen pilihan raya sehingga 11 Oktober ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment