Selangor mungkin pasukan terhandal di negara buat masa ini, namun juara Liga Super dan Piala FA itu tidak digeruni Terengganu.
Malah, pengurus pasukan Pantai Timur itu, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff, berkata Terengganu dengan rela hati berjumpa Selangor di peringkat suku akhir Piala Malaysia, Selasa depan.
Katanya, jika tidak, masakan jurulatih, Ken Worden, membuat keputusan untuk menurunkan tenaga simpanan untuk membantu lima pemain utama dalam perlawanan Kumpulan B menentang Negeri Sembilan yang berkesudahan dengan Terengganu tewas 0-2.
“Walhal, kami sudah sedia maklum yang Terengganu berupaya menjuarai Kumpulan B sekiranya menang ke atas Negeri Sembilan dan dapat mengelakkan diri daripada bertemu Selangor di pusingan suku akhir.
“Memang bukan niat kami untuk sengaja tumpas tapi kami memilih untuk tidak menurunkan skuad terkuat untuk memberi peluang kepada pemain simpanan mendapat pengalaman bermain daripada wisel permulaan hinggalah ke penamat,” katanya.
Kata Shaikh Ahmad lagi, jadual pertandingan Piala Malaysia yang amat ketat memaksa jurulatih merehatkan beberapa pemain utama kerana ada di antara mereka yang sudah terlalu keletihan dan tertekan.
“Beberapa pemain yang sudah menerima dua kad kuning terpaksa direhatkan untuk tidak menghadapi risiko digantung perlawanan dan ada juga pemain yang kami tidak turunkan supaya mereka tidak mendapat kecederaan.
“Apa yang penting, pasukan kami kini bersedia untuk bertandang ke Stadium Shah Alam dan kami semua tidak akan melepaskan peluang untuk mengakhiri pembabitan Selangor dalam pertandingan yang pernah mereka juarai sebanyak 32 kali,” katanya.
No comments:
Post a Comment