Tuesday, October 6, 2009

Terengganu Pengeluar Utama Undang

Terengganu bakal menjadi antara pengeksport udang harimau dan udang putih utama negara apabila Projek Integrasi Taman Akuakultur Udang (I-Sharp) bernilai RM200 juta dilaksanakan di Setiu bermula tahun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industrri Asas Tani Terengganu, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri meluluskan tanah seluas 1,200 hektar untuk melaksanakan projek itu.

Katanya, projek tersebut di bawah penyeliaan syarikat milik kerajaan (GLC), Blue Archipelago Berhad yang menyelia projek ternakan undang Kerpan di Kedah.

Menurut beliau, fasa pertama melibatkan penggunaan 400 hektar tanah itu dan pembinaan 500 kolam ternakan udang dijangka beroperasi bermula akhir tahun depan.

''Ketika ini, kerja-kerja pembersihan dan pecah tanah sedang dijalankan dalam memulakan pembinaan infrastruktur untuk pelaksanaan projek tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri dan pelancaran pembangunan I-Sharp di Sekolah Kebangsaan Penarek di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago Berhad, Dr. Shahridan Faiez.

Katanya, projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan menyediakan pekerjaan dan pendapatan tambahan untuk kira-kira 1,300 penduduk.

Rozi berkata, selain kolam ternakan, kilang memproses udang, pusat penetasan udang, sebuah makmal, tempat penginapan dan bangunan pentadbiran akan turut dibina dalam projek itu.

''Sebanyak RM200 juta diperuntukan untuk melaksanakan projek I-Sharp tersebut," ujarnya.

Shahridan pula memberitahu, apabila fasa pertama projek tersebut mula beroperasi, ia akan mampu mengeluarkan antara 10,000 hingga 12,000 tan udang putih dan 5,000 tan udang harimau.

''Udang-udang berkenaan akan dieksport di pasaran premium antarabangsa terutama Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

No comments:

Post a Comment