Thursday, October 29, 2009

TNB Remaco Dapat Kontrak RM1.17 Bilion Daripada Petronas Gas

TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB Remaco), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), mendapat kontrak bernilai RM1.17 bilion daripada Petronas Gas Bhd (PGB) bagi penyenggaraan sembilan penjana turbin gas dan sistem sokongannya.

Unit-unit itu berada di kemudahan utiliti berpusat PGB di Kertih, Terengganu dan di Gebeng, Pahang.

Kontrak lapan tahun itu merangkumi pembekalan alat-alat ganti, tenaga kerja bagi pemeriksaan turbin dan pembaikan komponennya.

"Ini merupakan projek kedua yang dilaksanakan oleh TNB Remaco bagi PGB, projek pertama ialah runding cara pengurusan projek kepada PGB-Yayasan Sabah untuk pembangunan loji kuasa 300MW di Kimanis, Sabah," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh semasa majlis permeterian kontrak antara TNB Remaco, PGB dan GE Energy Services, semalam.

Kontrak itu akan menyaksikan TNB Remaco menjalankan kerja-kerja penyenggaraan di CUF sehingga 2017, memaksimumkan kandungan tempatan dalam melaksanakan skop kontrak tersebut.

Pada masa yang sama, pembaikan komponen turbin gas akan dibuat di pusat pembaikannya di Klang, Selangor.

TNB berkata kontrak itu memerlukan TNB Remaco menyiapkan sembilan pembaikan utama dan sembilan pemeriksaan laluan gas panas turbin-turbin tersebut, yang dikeluar dan dibekalkan oleh GE Energy Services.

TNB Remaco juga akan menerima sokongan pengeluar kelengkapan asli (OEM) daripada GE menerusi kontrak dengan GE yang akan membekalkan bahagian-bahagian dan menyediakan perkhidmatan termasuk nasihat teknikal dan latihan serta penyenggaraan sembilan unit turbin.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Che Khalib berkata TNB Remaco dijangka menjana perolehan antara RM300-RM400 juta bagi tahun kewangan 2010 daripada RM200 juta yang dilaporkan pada 2009 dengan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan pembaikan dan penyenggaraan bagi loji kuasa di Malaysia dan luar negara.

"Ini merupakan peluang kami untuk mempunyai pusat pembaikan sendiri," katanya sambil menambah pusat di Klang ditubuhkan dua tahun lalu dengan pelaburan RM30 juta.

TNB Remaco berupaya menyediakan perkhidmatan seperti perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan pembaharuan, ujian dan diagnostik elektrik/mekanikal, perkhidmatan O&M (operasi dan penyenggaraan) dan runding cara pengurusan projek.

Che Khalib berkata syarikat itu menyasar lebih banyak pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Brunei selepas berjaya memperoleh dua projek dari Pakistan yang bernilai AS$126 juta bagi tempoh lima tahun.

Syarikat itu juga menyediakan perkhidmatannya ke Myanmar dan Syuaiba di Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment