Friday, November 13, 2009

5,000 sertai larian 1Malaysia-MBNT di Dataran Batu Buruk

Seramai 5,000 peserta akan menyertai Larian 1Malaysia-Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) yang

akan bermula dan berakhir di Dataran Batu Buruk esok.

Acara larian itu merupakan kali pertama dianjurkan oleh MBNT bagi melahirkan para belia yang berdaya maju dari segi fizikal dan mental di samping menyahut seruan kerajaan bagi merealisasikan salah satu cabaran 1Malaysia.

''Program ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," kata Timbalan Pengerusi MBNT, Alias Mustaffa semalam.

Menurut beliau, acara larian tersebut tidak menawarkan tempat tetapi setiap peserta layak menerima hadiah yang disediakan penganjur hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

Katanya, sebanyak 42 agensi kerajaan dan swasta menyumbang pelbagai barangan untuk tujuan itu termasuk barangan elektrik, basikal, hamper dan baucer penginapan serta makanan yang melibatkan lebih 400 hadiah.
Antara penyumbang terbesar adalah MBKT, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Syarikat Air Terengganu (Satu).

Katanya, penglibatan pelbagai pihak termasuk swasta dalam menjayakan program tersebut membuktikan mereka turut menyokong usaha dan aktiviti MBNT dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek turut menyertai larian sejauh tiga kilometer yang bermula pukul 9 pagi itu.

Peserta yang mengesahkan penyertaan itu terdiri daripada ahli pelbagai pertubuhan belia, pelajar, penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta jabatan-jabatan kerajaan.

No comments:

Post a Comment