Saturday, November 7, 2009

Amaran Peringkat Merah, 24 Pusat Pemindahan Banjir Bersedia

Amaran hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat yang berlaku di Kelantan dan Terengganu sejak beberapa hari lepas telah ditingkatkan kepada amaran "peringkat merah" pada pukul 4 petang semalam.


Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi daerah yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Bachok, Kota Baharu, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai, manakala di Terengganu adalah Besut.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga esok. Amaran peringkat merah merujuk kepada ribut tropika atau taufan dengan kelajuan angin sekurang-kurangnya 60km sejam disertai hujan sederhana menjadi lebat.

Keadaan itu dijangka menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah di tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu mempunyai pusat pemindahan banjir yang mencukupi untuk menempatkan mangsa banjir di negeri itu.

Jurucakap majlis itu berkata terdapat 327 pusat pemindahan banjir yang boleh menampung 48,039 mangsa banjir di seluruh Terengganu.

"Kita tidak menjangkakan sebarang masalah daripada segi penempatan mangsa banjir dan daripada segi lojistik termasuk makanan serta keperluan mereka kerana persediaan dibuat dari awal lagi dan mendapat kerjasama 19 agensi kerajaan," katanya.

Setakat ini 24 buah pusat pemindahan di Besut, Hulu Terengganu, Setiu dan Dungun telahpun beroperasi dengan lebih 1,200 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat berkenaan, kata beliau.

Banjir musim tengkujuh mula melanda Terengganu awal pagi tadi berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.

Sehingga petang Jumaat, lebih seribu penduduk dari beberapa daerah di negeri itu dipindahkan ke kawasan selamat.

Dijangkakan lebih ramai penduduk terpaksa dipindahkan berikutan keadaan banjir yang semakin buruk dan paras air sungai juga semakin meningkat, ada di antaranya telahpun melepasi paras bahaya.

Antara agensi kerajaan terlibat ialah polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat daerah.

Katanya setiap daerah mempunyai pusat pemindahan banjir masing-masing terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid, dewan orang ramai dengan daerah Besut mempunyai 87 pusat pemindahan diikuti Hulu Terengganu (73), Dungun (52), Kemaman (33), Setiu (31), Kuala Terengganu (27) dan Marang (24).

Sebanyak 386 buah bot penyelamat turut disediakan di seluruh negeri untuk operasi pemindahan mangsa banjir.

No comments:

Post a Comment