Thursday, November 19, 2009

Celcom Kuasai 54 Peratus Pasaran Di Pantai Timur

Syarikat penyedia talian telefon mudah alih, Celcom, terus mendahului syarikat pesaingnya yang lain apabila mendominasi lebih 54 peratus pengguna talian mudah alih di Terengganu, Kelantan, dan Pahang.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad berkata ia merupakan tahun keempat syarikat berkenaan menduduki tangga teratas di wilayah Pantai Timur dengan jumlah pelanggan prabayar dan pascabayar mencecah sehingga 2.2 orang setakat ini.

"Pakej-pakej menarik yang disediakan oleh Celcom menjadi antara punca utama kita terus kekal sebagai syarikat nombor satu penyedia talian mudah alih di Pantai Timur," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis Program Ordinary Dealer Tradel Pantai Timur semalam.

Selain itu, katanya peranan rakan niaga seramai 1,500 di kawasan berkenaan turut membantu pencapaian Celcom Wilayah Timur itu.

"Kita menyasarkan akan memperoleh seramai 2.3 juta pelanggan sehingga penghujung tahun ini dengan menawarkan pelbagai kemudahan, termasuk tawaran telefon pintar Blackberry pada harga serendah RM488," katanya.

Beliau berkata setakat ini perkhidmatan syarikat berkenaan meliputi hampir 95 peratus liputan di Pantai Timur, dan menjelang 2010, disasarkan sebanyak 100 lagi kawasan liputan baharu akan disediakan dengan perkhidmatan syarikat itu.

Mengulas mengenai gangguan talian perkhidmatan syarikat itu sejak kebelakangan ini, terutama di Terengganu, beliau berkata ia disebabkan kerja-kerja menaik taraf sistem pembekal talian tersebut di Dungun.

"Kita menaik taraf sistem yang ada untuk memastikan lebih banyak kapasiti talian dapat digunakan, dan Celcom memberi jaminan pada hujung bulan ni, talian kita akan kembali pulih seperti biasa tanpa sebarang gangguan," katanya.

No comments:

Post a Comment