Tuesday, November 10, 2009

KIST sasar tambahan 1,000 pelajar tahun depan

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) menyasarkan pertambahan 1,000 pelajar pada tahun depan melalui beberapa program baru yang diperkenalkan di kampus Bachok dan cawangan Terengganu.


Ketua Pegawai Eksekutif (Pengambilan Pelajar) KIST, Noor Haslina Abdullah memberitahu, ia bakal menjadikan jumlah keseluruhan pelajar menjangkau 5,000 orang dalam satu-satu masa yang mengikuti 20 program ditawarkan.

"Di Bachok, kita menyediakan dua program terbaru iaitu Diploma Pemakanan Halal (DPH) dan Radioterapi (RTP) selain 12 program kejururawatan dan sains kesihatan lain.

"Di kampus cawangan Terengganu yang mulai beroperasi April lalu, dua program baru ditambah iaitu Teknologi Makmal Perubatan (TMP) dan Pembantu Farmasi (PF) bagi pengambilan 2010," katanya DI Kota Bharu semalam.

Noor Haslina berkata, program RTP ialah bagi memenuhi peluang kerjaya di pusat-pusat perubatan seperti jururadiografi terapi di institusi pengajian tinggi, pegawai jualan syarikat pembekal mesin dan aksesori radioterapi dan pegawai perlindungan sinaran.

"DPH pula merangkumi aspek penghayatan dan pelaksanaan hukum Islam dalam sains makanan merangkumi pengeluaran, pemprosesan, pengawetan, pemasaran dan pengambilan makanan terutama isu halal dan haram," ujarnya.

Kata beliau, graduan boleh menceburi industri kosmetik selain perkhidmatan dengan agensi-agensi penyelidikan dan penguatkuasaan.

Setiap program yang ditawarkan, mata pelajaran syariah menjadi mata pelajaran khusus kepada pelajar sejajar dengan imej kolej itu sendiri.

Katanya, selain program sains kesihatan, pelajar yang akan mengikuti program diploma syariah perlu menjalani proses temuduga bagi memastikan mereka berkebolehan dalam bidang keagamaan dan mempelajari bahasa Arab.

Tambah Noor Haslina, yuran pengajian di KIST adalah pakej termasuk penginapan, pengangkutan dan uniform iaitu pada kadar yang amat sederhana.

"Namun bagi meringankan bebanan keluarga, KIST melalui yayasan yang ditubuhkan memberi elaun bernilai RM200 sebulan kepada kebanyakan pelajarnya dalam bentuk e-Purse bagi mereka berbelanja di dalam kampus.

"Bagi pelajar yang menjalani latihan praktikal di luar, peruntukan untuk mereka diberikan secara tunai," ujarnya.

No comments:

Post a Comment