Thursday, November 19, 2009

Pertandingan 1Malaysia 1Budaya tawar RM20,000

Penganjur Piala Monsun akan mengadakan pertandingan tarian kebudayaan 1Malaysia 1Budaya bagi memupuk kesedaran dan mempromosikan pelbagai tarian tradisional di Malaysia kepada kalangan pengunjung tempatan dan asing sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Pertandingan itu terbuka kepada individu dan kumpulan dari seluruh negara yang mana pemenang akan meraih hadiah wang tunai dan pakej percutian bernilai lebih RM20,000.

Acara ini adalah yang pertama diperkenalkan sejak Piala Monsun diperkenalkan lima tahun lalu dan bertujuan menghibur dan memberi pendedahan kepada pelancong asing dan rakyat tempatan yang dijangka melawat bandar raya ini sempena pertandingan sukan layar itu pada awal bulan depan.
Penasihat Perlumbaan Piala Monsun, Datuk Peter Gilmour, berkata pertandingan tarian kebudayaan itu adalah cara terbaik untuk mempamerkan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan ia amat bersesuaian dengan Karnival Monsun yang diadakan bersempena Piala Monsun tahun ini.

“1Malaysia 1Budaya akan memberikan peluang kepada lebih ramai golongan belia untuk berkecimpung dan menyerlahkan bakat mereka di arena yang lebih besar. Selain itu, pertandingan ini juga dianjurkan untuk menarik kumpulan tarian untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk pengunjung Karnival Monsun,” katanya.

Gilmour berkata, sehingga kini pertandingan tarian itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai kumpulan tarian yang mewakili segmen tradisional Melayu, India dan Cina.
“Kami berharap menjadikan acara ini sebagai acara tahunan,” jelasnya.

Pertandingan tarian kebudayaan 1Malaysia 1Budaya akan diadakan secara berperingkat yang mana pusingan awal akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, manakala peringkat separuh akhir akan diadakan dari 3 hingga 5 Disember, manakala peringkat akhir akan berlangsung seiring dengan pusingan akhir Piala Monsun pada 6 Disember, 2009.

Kedua-dua acara itu akan diadakan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu ketika berlangsungnya Piala Monsun.

Penginapan peserta selama tempoh pertandingan itu di Terengganu akan ditaja oleh pengelola Piala Monsun.
Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dan tidak mengira profesional atau amatur. Sehingga kini, 15 kumpulan sudah mendaftar untuk mempersembahkan tarian Melayu, bharata natyam (tarian klasik India), tarian rakyat kampung -India, bhangra (tarian tradisional Sikh) dan tarian singa (Cina).

Setiap persembahan akan berlangsung 15 minit, dan kriteria bagi pemilihan akan berdasarkan kreativiti, persembahan dan kostum.

Pemenang hadiah pertama pertandingan tarian 1Malaysia 1Budaya akan memenangi wang tunai dan hadiah bernilai RM7,000 termasuk pakej percutian.

No comments:

Post a Comment