Wednesday, November 11, 2009

Sekolah Perlu Patuhi Garis Panduan Hadapi Banjir - Alimuddin

Semua sekolah yang terlibat dengan banjir perlu mematuhi Garis Panduan Menghadapi Banjir semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bermula Rabu depan dengan mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif.


Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata garis panduan itu telah diedarkan ke sekolah-sekolah bagi memastikan semua calon terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan terjejas untuk menduduki peperiksaan.

"Bagi sekolah yang berada dalam kawasan yang sering dilanda banjir, mereka perlu menempatkan semua bilik peperiksaan di tingkat satu," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Alimuddin berkata bagi calon peperiksaan yang berhadapan kemungkinan kampung atau kawasan perumahan mereka ditenggelami banjir, mereka perlu ditempatkan di asrama-asrama sekolah yang tidak terjejas dengan bencana alam itu.

Beliau juga berkata pengetua dan guru besar perlu mengutamakan keselamatan pelajar dalam sebarang tindakan yang perlu diambil selepas berlaku banjir.

Beliau berkata pengetua dan guru besar juga diberi kuasa untuk menutup sekolah dengan memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan Pegawai Pelajaran Daerah jika banjir itu boleh membahayakan keselamatan pelajar.

"Apabila sekolah ditutup, ia tidak perlu diganti kerana bencana alam adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Jika sekolah ditutup seminggu pun, ia tidak perlu diganti pada masa akan datang," katanya.

Alimuddin berkata sehingga kini sebanyak 103 sekolah dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir dengan 90 sekolah di Terengganu, 10 di Kedah dan tiga di Kelantan.

"Sekolah-sekolah yang terlibat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Bantuan Bencana Banjir peringkat daerah dengan memastikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan bilik mandi dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata pihak sekolah juga dibenarkan mengupah beberapa pekerja sambilan yang dibayar gaji harian untuk membersihkan kawasan sekolah bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir yang dipindahkan di sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment