Sunday, November 8, 2009

Semua Agensi Diarah Bersedia Bantu Mangsa Banjir - Shahrizat

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diarah bersedia untuk menghulurkan khidmat di kawasan yang dilanda

banjir, kata Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata agensi yang terlibat termasuk juga Jabatan Pembangunan Wanita akan memantau perkembangan banjir serta mengkaji bentuk bantuan yang wajar dihulurkan.

Berdasarkan laporan banjir yang diterima daripada JKM Kelantan dan Terengganu, pusat pemindahan banjir telah dibuka dan kebanyakan mangsa telah ditempatkan di pusat terbabit, katanya.

"Pihak kementerian dan juga JKM akan terus memantau perkembangan banjir di kedua-dua negeri di Pantai Timur itu dari semasa ke semasa bagi mengkaji bantuan yang diperlukan.

"Sehingga kini, JKM telah pun menyediakan bantuan asas termasuk makanan untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), Taman Putra Perdana, Puchong semalam.
Banjir yang melanda di Kelantan dan Terengganu bermula pagi semalam, telah meragut satu nyawa di Pasir Puteh, Kelantan, manakala kira-kira 2,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri itu sehingga kini.

Shahrizat turut menasihatkan penduduk di Kelantan dan Terenganu yang terjejas akibat banjir agar menjaga keselamatan keluarga bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa ketika musim banjir termasuk di kawasan sungai, longkang, oleh itu adalah penting penduduk di kawasan yang dilanda banjir mengamalkan sikap berhati-hati," katanya.

No comments:

Post a Comment