Saturday, November 21, 2009

Terengganu Juara Sembilan Tahun Berturut-turut

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menitiskan air mata ketika mengumumkan Terengganu juara Sembilan tahun berturut-turut tertinggi semua A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Mungkin Ahmad Said sebak kerana anaknya juga mencapai keputusan 5A dan ia dimaklumkan oleh seorang pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu.

Ia berlaku ketika beliau mengucapkan ‘selamat tinggal’ untuk menunaikan fardu haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Khamis lalu.

Ternyata usaha kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran Terengganu membuahkan hasil memberangsangkan.



CATAT SEJARAH LAGI...calon UPSR dari SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu gembira dengan keputusan masing-masing.

Menurut laporan UKOM, Terengganu mengulangi dan mempertahankan sejarah dalam pendidikan negara apabila muncul negeri terbaik buat kali kesembilan berturut-turut dalam keputusan Ujian pencapaian Sekolah Rendah 2009.

Daripada 23,944 calon yang menduduki UPSR di 381 pusat peperiksaan, 3,664 mendapat semua A atau 15.3 peratus iaitu peningkatan satu peratus berbanding 2008. Pengarah JPNT, Haji Ariffin Embong, berkata keputusan UPSR kali ini juga meningkat dalam pencapaian minimum C kepada 68.8 peratus.

Katanya, nilai gred purata negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.22, nilai ini mengatasi pencapaian tahun lalu (2.24), selain mengatasi GPN peringkat nasional yang mencatat 2.33.

Beliau berkata, daripada keseluruhan mata pelajaran, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan baik apabila pada tahun ini, sebanyak 34.6 peratus mendapat A subjek Matematik berbanding 30.6 peratus pada 2008. Manakala Sains meningkat 7.8 peratus berbanding 21.8 peratus pada tahun lalu.




Seorang pelajar SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu diberi ucapan tahniah oleh nenek dan datuknya.

“Walaupun sasaran kita 20 peratus A tidak tercapai, keputusan 15.3 peratus mendapat semua A merupakan yang terbaik berbanding pencapaian negeri lain setakat yang dimaklumkan

“Kejayaan ini adalah hasil usaha, kerjasama dan perancangan rapi semua pihak terutama guru, murid, pentadbir sekolah, ibu bapa, komuniti masyarakat dan juga pegawai-pegawai jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Pejabat Pelajaran Daerah,” katanya ketika sidang akhbar Pengumuman Keputusan UPSR 2009, di JPNT, hari ini.

Sementara sekolah yang berprestasi tinggi berdasarkan GPN sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud apabila 47.02 peratus daripada 168 calonnya memperolehi semua A.

Manakala 39.6 peratus daripada 101 calon dari SK Tengku Mahmud II memperolehi semua A.

Dalam pada itu, SK Sultan Sulaiman II muncul sekolah terbaik di Kuala Terengganu apabila 51 calonnya memperolehi semua A berbanding 42 calon pada tahun lalu.

Menurut Guru Besar SKSS II, Haji Ahmad Muda, jumlah calon yang mendapat A meningkat 5 peratus pada tahun ini berbanding 2008 lalu , selain melebihi sasaran 50 murid mendapat 5A .

Katanya, kejayaan cemerlang itu terhasil menerusi pelan strategik bermula awal tahun, selain penekanan akademik murid sejak tahap satu melalui kelas tambahan yang bersistem.

Guru Besar SK Sultan Sulaiman II dan juga guru-guru meraikan kejayaan pelajarnya yang mendapat 5A.

No comments:

Post a Comment